MRT2: Tuntut penjelasan Menteri Kewangan

khalil
- Advertisement -

EKORAN keputusan Kementerian Kewangan untuk menamatkan kontrak dan membuka semula tender bagi kerja-kerja pembinaan bawah tanah MRT2 pada 7 Oktober (Ahad) yang lalu, terdapat beberapa persoalan yang memerlukan penjelasan yang tuntas dari Menteri Kewangan. Persoalan ini harus dijawab dengan telus bagi memberikan hak keadilan kepada semua pihak.

- Advertisement -

Pertama, berapakah jumlah sasaran sebenar pengurangan kos yang dimahukan oleh Menteri Kewangan bagi pembinaan kerja-kerja bawah tanah MRT2? Difahamkan pihak MMC-Gamuda telah menawarkan 24% daripada jumlah asal kos iaitu RM16.71 bilion. Menteri Kewangan seharusnya meletakkan sasaran ini sebelum membuat keputusan menamatkan kontrak semasa yang memberikan implikasi yang lebih besar.

Kedua, siapakah firma jururunding kejuruteraan yang telah dilantik oleh Kementerian Kewangan bagi menjalankan kajian rasionalisasi kos tersebut kerana difahamkan pihak jurutera MRT Corp juga telah mengeluarkan kajian kepada MMC-Gamuda dan terdapat percanggahan dapatan antara kedua-dua pihak. Malah, pihak MMC-Gamuda berpandangan dapatan kajian daripada pihak jururunding Kementerian Kewangan terlalu mudah (simple).

Ketiga, berapakah jumlah pampasan yang sedia dibayar oleh Kementerian Kewangan terutamanya untuk menjaga kebajikan lebih 20,000 pekerja yang telah diberhentikan kerja serta merta dan bukan kerana kesilapan mereka. Pembatalan projek-projek mega berkepentingan rakyat adalah sikap yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan seperti projek ECRL dan HSR, tetapi berapakah pula pampasan yang terpaksa dibayar akibat daripada pembatalan tersebut?

Islam Memimpin
Terus Mara

YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Adun Batu Burok, Terengganu
29 Muharram 1440 | 9 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 9/10/2018

- Advertisement -