Kenalpasti kapasiti, keupayaan dan keutamaan

- Advertisement -

SEARCH And Rescue (SAR) adalah tugas pertama pihak berkuasa dan relawan yang punya kapasiti mencukupi. Pantas, cekap dan jumlah anggota yang punyai kemahiran. Selepas 10 hari, SAR semakin mencabar, kemahiran dan peralatan juga makin canggih. Peluang menemui mangsa yang masih hidup semakin tipis. Relawan yang punya tenaga dan masa boleh jadi pembantu mengangkat dan menguruskan jenazah jika ditemui, tidak lebih dari itu. Ini menjadi ruang menimba pengalaman dan kemahiran relawan.

- Advertisement -

Merawat yang cedera dan trauma boleh dilakukan para anggota dan kakitangan perubatan. Relawan yang memiliki keupayaan dalam kategori ini boleh bergabung dengan pasukan tempatan untuk memberi khidmat merawat dan membekalkan ubat. Kami perhatikan Indonesia memiliki fasiliti yang mencukupi untuk menanganinya. Bantuan luar boleh meringankan bebanan kerja mereka. Bantuan kepada pesakit untuk kembali menjalani kehidupan selepas mereka menerima rawatan sangat diperlukan.

Justeru PASRelief membekalkan sedikit bantuan kewangan (RP5 juta) kepada Bahagian Perhubungan Masyarakat Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Sayang Rakyat di Makassar untuk membantu pesakit keluar dari hospital dan mencari anggota keluarga mereka di khemah-khemah penempatan.

Di Makassar sahaja terdapat 10 hospital yang menempatkan mangsa-mangsa cedera. Lebih 3,000 mangsa sedang dirawat di seluruh Sulawesi. Kehidupan selepas keluar dari pusat rawatan tentunya amat sukar. Ini patut menjadi perhatian pihak-pihak yang ingin membantu.

Setakat semalam, terdapat 74,000 orang ada di penempatan di khemah-khemah sementara, manakala 1,944 orang telah disahkan meninggal.

Seramai 5,000 mangsa belum dijumpai. Angka sebenar tidak dapat dipastikan, sehingga Ketua Desa menyenaraikan warga desa mereka yang didapati hilang. Angka ini dikatakan berlipat kali ganda, terutama di Patobo dan Belaroa.

Sebanyak 90 peratus fasiliti kesihatan sudah berfungsi. Belarua dan Petobo yang tenggelam dalam pusaran lumpur sedalam 8 hingga 10 meter bakal dijadikan kubur besar kerana tidak mungkin mangsa yang terbenam bersama kediaman dievakuasi lagi.

Had waktu SAR ditetapkan 7 hari ditambah 3 hari. Pihak berkuasa memutuskan SAR hanya dilakukan sehingga 11 Oktober (14 hari).

Bantuan awal PASRelief berupa sumbangan bekalan makanan dan minuman dilakukan dengan kerjasama kakitangan Kementerian Kelautan dan Perikanan (KKP) di Mamuju dan Palu. KKP kini dipimpin oleh Dr (K) Susi Pudjiastuti.

Sebanyak 3 tan (3,000 kilogram) beras dan 2,400 botol minuman telah dihantar menggunakan fasiliti KKP di Mamuju dan akan diagihkan kepada nelayan dan penternak ikan yang paling teruk terjejas akibat tsunami, kini mendiami khemah-khemah sementara di beberapa lokasi. MAPIM Wilayah Utara turut menyumbangkan 1,000 kilogram beras.

PASRelief turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa yang mendiami khemah di Posko agak jauh dari pusat kota.

Membangunkan semula kediaman memerlukan kawasan baru mengikut ketetapan pihak pemerintah kerana kebanyakan kawasan kediaman yang musnah tidak boleh lagi didiami. Ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk mereka kekal di pusat penempatan sementara.

Warga di pusat penempatan sementara masih memerlukan bekalan makanan, air bersih, pakaian, keperluan bayi (susu, lampin mainan) dan bantuan kewangan, lebih-lebih lagi dana untuk membina semula rumah yang musnah. Dijangkakan waktu yang diperlukan untuk membangunkan semula Palu dan Donggala antara 2 hingga 5 tahun.

Selain bantuan material segera di pusat penempatan, PASRelief turut berhasrat membangunkan institusi masjid dan pusat pendidikan Islam yang sangat diperlukan sebagai agen pembangunan semula kota ini. Semua program ini akan dilakukan sesuai dengan ketetapan pihak berkuasa Indonesia dan akan bekerjasama dengan beberapa organisasi masyarakat (ormas) tempatan yang telah dikenalpasti.

Rancangan penghantaran bantuan berikutnya khusus untuk mangsa gempa dan tsunami di Palu, Donggala dan Sigi akan dilaksanakan pada penghujung Oktober ini. Bantuan dan sumbangan orang ramai sangat diperlukan.

Atas dasar agama dan kemanusiaan, warga Malaysia wajar menghulurkan bantuan melalui badan-badan NGO yang terbabit melakukan misi bantuan kemanusiaan di kawasan terlibat. PASRelief mempelawa orang ramai menyumbang melalui Tabung Kemanusiaan Antarabangsa (5640 7061 1352) atau Akaun PASRelief 5640 7061 2333 di Maybank.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Pengarah
Pusat Bantuan dan Kemanusian PAS (PASRelief)
9 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 9/10/2018

IMG 20181009 WA0031

IMG 20181009 WA0027

IMG 20181009 WA0026

IMG 20181009 WA0028

IMG 20181009 WA0029 01

- Advertisement -