Tribut buat Pencegah Maksiat

- Advertisement -

MUTAKHIR ini banyak musibah berupa bencana melanda umat manusia seluruh dunia. Lalu topik bala menjadi hangat diperkatakan, mengaitkan fenomena yang berlaku adalah bala dari tuhan.

- Advertisement -

Dalam masa sama, polemik pencegahan maksiat menjadi perbualan hangat di Malaysia ekoran kenyataan prejudis seorang Pak Menteri. Akibat kenyataan yang berautoriti itu, iklim politik dan agama Malaysia berkocak hebat.

Bagaikan dirancang, kedua isu hangat ini sebenarnya saling berkait. Bala’ dan maksiat adalah dua perkara yang beriringan. Beberapa perkara yang perlu difahami berkenaan perkara ini adalah:

Bala’ tidak semestinya kemurkaan Allah 

Bahasa Arab disebut bala’ بلاء dan ibtila’ إبتلاء. Ia adalah perkataan umum dengan maksud ujian.

Tidak semestinya bala’ menjadi perkara yang negatif dan memaksudkan kemurkaan dan hukuman tuhan. Bala’ juga boleh menjadi perkara positif seperti ujian bagi meningkatkan iman manusia. Menurut hadis, para Nabi merupakan orang paling teruk menerima bala’:

أَيُّ النَّاسِ أَشَدُّ بَلاءً ؟ قَالَ : الأَنْبِيَاءُ , ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ

“Nabi ditanya manusia manakah paling teruk menerima bala’? Jawab baginda, para Nabi kemudian mereka yang mencontohi jalannya.”

[HR Tirmizi]

Adakah para Nabi menerima bala’ kerana dimurkai tuhan? Hasya Lillah. Tidak sekali! Bahkan bala’ itu adalah ujian bagi mengangkat darjat Nabi S.A.W. Justeru perkataan bala harus difahami lebih teliti, jangan difahami mengikut konotasi kefahaman Bahasa Melayu semata-mata terutama dalam memahami bahasa nas.

Bala bencana akibat manusia sendiri 

Walaupun hukum alam boleh menjustifikasikan fenoma bencana yang berlaku, tetapi orang beriman wajib memahami bahawa semua bencana ini adalah akibat salah laku manusia sendiri. Firman Allah S.W.T:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

[ar-Rum: 41]

Jangan cari salah siapa, tapi fikir tuhan mahu ajar apa 

Tidak dinafikan bala’ juga terjadi sebagai tanda murka Allah S.W.T. Ini banyak direkodkan dalam al-Quran mengenai kisah kaum-kaum terdahulu. Bagaimana Allah membinasakan kaum Sadum yang melakukan jenayah LGBT, membinasakan kaum Thamud yang ingkar, membinasakan Firaun yang zalim dan sebagainya. Walau bagaimanapun, Allah S.W.T tidak memberi garis panduan apakah bentuk bala’ yang akan menimpa bagi setiap jenayah yang berbeza.

Justeru itu, sebaiknya kita tidak mudah membuat kesimpulan mengatakan bala’ itu ini berlaku disebabkan jenayah yang kamu lakukan. Apabila sudah terjadi, bukan masanya lagi mencari salah orang. Tiada guna lagi menyalahkan itu dan ini kerana bala’ sudah terjadi. Adalah lebih baik untuk memikirkan apa perlu dibuat ketika bala’ terjadi.

Apa yang sebetulnya dari memahami bala’ adalah mengajak orang ramai supaya lebih bertaqwa, meninggalkan maksiat dan taatkan Allah. Itu adalah sikap yang lebih mudah dan bersifat serampang dua mata; sekiranya bala’ itu adalah hukuman tuhan, maka taqwa adalah cara menghentikan kemurkaan Allah. Dan jika ia adalah ujian mengangkat darjat, maka dengan menambah taqwa akan mengangkat darjat.

Bala’ kemurkaan tidak hanya menimpa pelaku mungkar 

Perkara di atas adalah langkah mengubat. Sebagai langkah pencegahan pula, kita seharusnya memastikan maksiat dan kemungkaran tidak berlaku di dalam masyarakat. Kerana ia adalah punca turunnya bala’ kemurkaan.

Apabila bala’ kemurkaan turun, ia tidak hanya menimpa pelaku mungkar sahaja bahkan ia akan turut mengenai orang lain yang tidak melakukannya. Ini dijelaskan melalui firmanNya:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.”

[al-Anfal: 25]

Orang soleh turut ditimpa bala murka 

Nabi S.A.W ketika menceritkan mengenai pecahnya tembok Yakjuj dan Makjuj dan kaitannya dengan kebinasaan kaum Arab, Siti Aisyah bertanya apakah orang Arab akan binasa walaupun terdapat orang soleh, jawab baginda:

نعم إذا كثر الخبث

“Ya, jika keburukan berleluasa.”

Soleh adalah orang yang melakukan amal yang mendatangkan kebaikan untuk diri mereka. Hadis di atas bermaksud, sekadar melakukan kebaikan untuk diri sendiri seperti beribadat dan menjaga halal haram individual, tidak mencukupi untuk menyelamatkan diri dari kemurkaan tuhan.

Pencegah kemungkaran menahan bala’ tuhan 

Walau bagaimanapun, Allah turut menerangkan bahawa sesuatu bala’ kemurkaan tidak akan menimpa di dalam komuniti yang melakukan kemungkaran, sekiranya terdapat pihak yang berusaha mencegahnya. Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ

“Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman yang berlaku, selagi ada penduduknya yang musleh (membaiki keadaan).”

[Hud: 117]

Selagi terdapat orang yang berusaha menghalang dan mencegah kemungkaran daripada terus berlangsung, maka itu menjadi asbab bala’ Allah tidak turun. Jika tidak kerana mereka, sudah lama bala’ murka membinasakan mereka. Pelaku maksiat ini sebenarnya terhutang budi dengan pencegah maksiat.

Kelebihan musleh berbanding soleh 

Itulah kelebihan musleh berbanding soleh. Orang soleh hanya membawa kebaikan untuk diri mereka. Sebaliknya orang musleh membawa kebaikan untuk seluruh umat.

Orang musleh bukan sekadar mengajak buat baik, tetapi mereka turut mencegah kemungkaran. Ajak buat baik perkara senang, tetapi halang orang buat jahat itu susah. Tetapi tugas nahi mungkar adalah lebih penting dari amat makruf. Mengikut satu kaedah fiqh:

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

“Menolak keburukan adalah lebih utama berbanding mendatangkan kebaikan”

Cegah mungkar tugas semua muslim 

Ketahuilah tugas mencegah kemungkaran adalah fardu ain kepada semua orang beriman, mengikut kemampuan masing-masing. Ini bersandar sabda Rasulullah S.A.W:

مَنْ رَأَى مِنْكُم مُنْكراً فَلْيغيِّرْهُ بِيَدهِ ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطعْ فبِلِسَانِهِ ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبقَلبهِ وَذَلَكَ أَضْعَفُ الإِيمانِ

“Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka dia perlu mencegah dengan tangannya. Jika tidak mampu maka dengan lidahnya. Jika tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman.”

[HR Muslim]

Kewajipan paling utama digalas oleh pemerintah. Mereka bertanggungjawab menghalang kemungkaran berlaku dengan kuasa yang dimiliki. Permit, peraturan dan penguatkuasaan perlu diteliti supaya tidak memungkinkan maksiat daripada berlaku.

Di peringkat kedua pula adalah orang awam normal. Walaupun mereka tidak memiliki kuasa, tetapi mereka juga tetap wajib mencegah dengan bersuara menegur, melapor, membantah dan apa jua ruang yang boleh digunakan selagi tidak melanggar undang-undang. Kelebihan alam siber hari ini sepatutnya digunakan dalam mencegah kemungkaran dengan pencerahan, kecaman, desakan dan mobilisasi massa.

Peringkat paling rendah adalah mereka yang dianggap abnormal (cacat). Bagi mereka yang tidak mampu bersuara langsung walau sekecil ruang, maka sekurang-kurangnya lahirkan kebencian di hati. Jangan sekali-kali redha, jauh sekali tertarik dan tergoda dengannya. Jika tidak, maka periksalah diri, apakah masih punya iman berbaki.

Terima kasih buat pejuang nahi mungkar 

Kesimpulannya, dengan berbagai kemungkaran yang berlaku di segenap ruang dunia hari ini, umat manusia sebenarnya terhutang budi kepada golongan musleh. Kemungkaran ekonomi yang berpaksi sistem ribawi, kemungkaran politik yang menafikan kekuasaan tuhan, kemungkaran undang-undang yang membelakangkan nas, kemungkaran urus tadbir yang penuh dengan korupsi, kemungkaran sosial sehingga menghalalkan LGBT, seks bebas, dadah, arak, ikon lucah, hiburan tanpa batas dan sebagainya. Sebutkan mana tempat yang tidak dilanda kemungkaran ini.

Berterima kasihlah dan hargailah pencegah kemungkaran di sekeliling anda, walau apa jua kekurangan yang mereka miliki. Mereka juga manusia yang sering terkhilaf, namun janganlah dengan sedikit kesalahan mereka kita terus membentuk persepsi negatif sehingga menjatuhkan mereka.

Mesej buat pejuang nahi mungkar

Kepada pejuang Islam yang menggalas peranan nahi mungkar dalam berbagai ruang, teruskan kerja mulia kalian. Bersabarlah dengan dugaan. Usah pedulikan celaan mereka yang mencela, usah risau mereka yang cuba menjatuhkan kalian, kerana kalian adalah golongan Allah (hizbullah).

Asbab bala’ Allah tertahan adalah kerana sikap mencegah kemungkaran yang dilakukan secara realiti, bukan sekadar retorik atas nama Menteri penjaga agama semata-mata, bukan juga bergantung kepada nama Kerajaan Islam atau bukan, ataupun jemaah, parti itu dan ini. Bukan kerana teori, tetapi kerana praktik.

Teruskan menentang mencegah kemungkaran walau apapun ancaman yang diterima. Kerana tanpa kalian, dunia ini mungkin sudah lama kiamat.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 8/10/2018

 

- Advertisement -