Saya setuju, cadangan Bersih bagus

- Advertisement -

CALON PRK Port Dickson (PD), Lt. Kol (B) Haji Mohd Nazari Mokhtar bersetuju dengan cadangan pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (Bersih) bagi setiap calon menandatangani akujanji untuk bertanding dengan bersih dan adil dalam pilihan raya ini.

- Advertisement -

Akan tetapi, beliau mempersoalkan cadangan itu yang dikatakan sudah dipersetujui oleh hampir semua calon, dalam masa yang sama, ada calon yang menggunakan kenderaan kerajaan ketika berkempen.

“Masuk dalam kem tentera, berucap kepada pengundi, sedangkan itu satu kesalahan dalam (peraturan) SPR dan Bersih kata apa?

“Kita pakat berikrar buat akujanji, tapi hakikatnya, rakyat menilai, pengundi menilai, wallahualam,” kata beliau sinis.

Beliau ditemui ketika berkempen di pasar malam Bukit Pelanduk petang tadi, memberikan jawapan demikian setelah ditanya wartawan berkenaan pendapat beliau mengenai akujanji yang dicadangkan oleh Bersih itu.

Beliau dalam pada itu menafikan dakwaan bahawa beliau tidak mahu menandatangani akujanji itu bersama seorang lagi calon bebas, Tan Sri Isa Samad dan memaklumkan bahawa beliau tidak diberitahu mengenai hal itu.

Ditanya mengenai kerinduan beliau kepada Port Dickson yang pernah menjadi kawasan beliau bertugas dahulu ketika dalam perkhidmatan tentera, beliau menjelaskan sememangnya selepas bersara, dia paling kurang dua bulan sekali akan datang ke Port Dickson.

“Saya dahulu datang dalam keadaan sebatang kara, kita berada dalam kem sebatang kara, melakukan latihan sebagai pejuang dan hidup sebagai pejuang.

“Dan alhamdulillah saya melepasi pahit getir dan itu semua meninggalkan kesan nostalgia kepada diri saya.

“Hari ini saya berdiri di sini kembali dengan sebahagian kecil gerak gempur saya, saya bersama rakyat PD menggempur untuk membuat pembelaan sebagai pejuang kepada rakyat,” tegas beliau. Tamat. – HARAKAHDAILY 6/10/2018

- Advertisement -