4,000 PMR: Menteri Kewangan mesti jawab

nasrudin3
- Advertisement -

PAS telah menuntut penjelasan berhubung lebih 4,000 Projek Mesra Rakyat (PMR) di setiap parlimen seluruh negara yang telah diluluskan tapi dibatalkan.

- Advertisement -

Projek-projek tersebut sangat memberikan faedah langsung kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar tetapi dibatalkan oleh kerajaan.

PAS telah menunggu penjelasan selama empat hari dari Menteri Kewangan tetapi masih tiada jawapan.

Sebenarnya untuk pengetahuan umum, lebih 4,000 projek tersebut adalah projek khas dan melibatkan peruntukan dana daripada Kerajaan Persekutuan serta diseliakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

Hanya terdapat beberapa projek sahaja yang diberikan kepada pejabat daerah sebagai pelaksana tetapi ia masih lagi tertakluk kepada Kerajaan Persekutuan.

Selain daripada 4,000 projek yang dimansuhkan itu, Menteri Kewangan juga harus menjelaskan satu lagi dakwaan mengenai tuntutan pembayaran projek yang masih tidak dilunaskan kepada kontraktor Bumiputera berjumlah puluhan juta ringgit.

Berdasarkan maklumat yang diterima, dalam minggu ini juga, pihak persatuan kontraktor telah menghantar satu surat tuntutan pembayaran segera kepada pihak ICU.

Semua pembayaran kepada kontraktor Bumiputera tersebut dikatakan telah disekat oleh Menteri Kewangan. Oleh itu, PAS menuntut dua isu utama ini dijelaskan dengan segera dan penuh tanggungjawab oleh Menteri Kewangan.

Islam Memimpin

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
25 Muharram 1440 | 5 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 5/10/2018

- Advertisement -