Meninjau kembali krisis kewangan 1997

SyahirSulaiman
- Advertisement -

ADALAH amat sukar untuk kita memahami, punca yang membawa kepada kejatuhan matawang Ringgit pada tahun 1997, serta langkah yang diambil bagi menangani krisis yang kompleks ini.

- Advertisement -

Antara rujukan utama dalam penelitian isu ini adalah penulisan dan ucapan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri iaitu Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, serta ucapan dan laporan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Di samping itu, terdapat banyak kajian ahli akademik yang memperincikan cabaran yang dihadapi negara ketika itu, antaranya penulisan Prof. Jomo K. Sundaram, Prof. Rajah Rasiah, Prof. Cheong Kee Cheok, Dr. Mahani Zainal Abidin, serta ramai lagi ahli akademik di peringkat dalam dan luar negara.

Menurut Prof. Jomo, krisis kewangan Asia pada tahun 1997/1998 bermula dengan kejatuhan nilai matawang Baht di Thailand, seterusnya merebak ke negara serantau yang menyumbang kepada krisis matawang, krisis kewangan dan kelembapan ekonomi yang begitu pantas.

Di dalam sebuah kertas kerja berjudul ‘Malaysia’s Pathway Through Financial Crisis’, Prof. Jomo membahagikan kepada empat fasa utama yang dihadapi Malaysia sepanjang berhadapan dengan krisis kewangan 1997-1998, iaitu (1) Dasar ekonomi pengembangan oleh Tun Dr. Mahathir, (1) Dasar fiskal dan monetari yang diketatkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, (3) Dasar mengatasi kelembapan ekonomi yang agak terlambat, dan (4) Dasar kawalan modal dan tambatan nilai Ringgit yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir.

Terdapat perbezaan jelas di antara pendekatan Tun Dr Mahathir dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi menangani krisis kewangan negara, sebagaimana yang disebut oleh Prof. Jomo di dalam kertas kerja tersebut:

“In early December 1997, with considerable support and encouragement from others, Anwar switched to more pro-cyclical policies, apparently recommended by the IMF, only to exacerbate the downturn. By the second quarter of 1998, however, Anwar turned to reflationary spending policies to stem the downturn, albeit belatedly. Finally, after Anwar was purged in September 1998, Mahathir introduced currency and capital controls to help reflate the economy.”

Naratif yang sering digunakan oleh Tun Dr Mahathir bagi menggambarkan punca krisis tersebut adalah serangan ‘penyangak’ matawang seperti George Soros, dan keperluan untuk Malaysia mengurus krisis dengan pendekatan sendiri tanpa perlu bergantung kepada pihak luar seperti IMF.

Ini dirakamkan oleh Tun Dr. Mahathir di dalam memoirnya ‘A Doctor in the House’ yang menyebut:
“Di dalam negara, Anwar memulakan apa yang dikenali sebagai ‘penyelesaian IMF tanpa IMF’. Pada dasarnya, kita tidak dilanda masalah ekonomi yang teruk. Kita tidak perlu meminjam daripada IMF bagi melangsaikan hutang luar kerana kita tidak banyak berhutang.

Namun, Anwar berpendapat bahawa Malaysia perlu menerima nasihat IMF. Beliau percaya bahawa untuk mengekalkan keyakinan antarabangsa terhadap pengurusan ekonomi, kita perlu melakukan apa yang diberitahu oleh mereka dan menguruskan ekonomi kita mengikut cara yang mereka kehendaki.

Hakikatnya ubat IMF gagal menghalang penyakit itu, sebaliknya menjadi punca penyakit. Dalam pada itu pun, Anwar tetap meneruskan dasar pro-IMF beliau.”

Tun Mahathir juga menambah:
“Saya lebih takut kepada kemungkinan kita akan hilang kawalan ke atas negara kita sendiri seperti kerajaan Indonesia yang hilang kuasa kepada IMF. Thailand dan Filipina yang turut menyerah kepada IMF juga menerima nasib serupa. Hanya Korea Selatan berjaya melakukan pemulihan ketara selepas menyerah kepada IMF.

“Saya tidak sedikit pun yakin terhadap kaedah penyelesaian IMF yang dipaksakan oleh Anwar ke atas negara. Anwar mahu melihat lebihan belanjawan di mana pendapatan mengatasi perbelanjaan, tetapi mustahil boleh dicapai memandangkan kemerosotan kuasa membeli mata wang ringgit.

“Kemelesetan ekonomi akan menjadi lebih teruk dan kita mungkin terpaksa menyerahkan kedaulatan ekonomi kita kepada pihak luar.”

Tempoh di antara suku kedua 1997 hingga suku ketiga 1998 menyaksikan pelbagai langkah drastik diambil oleh pihak Kerajaan dan Bank Negara bagi memulihkan keadaan, antaranya penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), pengwujudan dana RM60 bilion untuk menyelamatkan syarikat gergasi negara, pemotongan 18% peruntukan bajet 1998, kenaikan kadar faedah oleh Bank Negara, serta pemendekan tempoh hutang lapuk oleh institusi perbankan.

Namun kesemuanya gagal untuk membendung krisis daripada berlarutan. Akhirnya pada 1 September 1998, Malaysia mengumumkan pelaksanaan dasar kawalan modal dan tambatan matawang Ringgit, sebagai langkah tersendiri bagi menyelesaikan krisis kewangan dan kelembapan ekonomi daripada berlarutan.

Menariknya, sehari selepas pengumuman dasar kawalan bagi menangani krisis kewangan negara, tercetus pula ‘krisis politik’ di antara dua pemimpin negara yang berlarutan untuk sekian lamanya, bermula dengan pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada tanggal 2 September 1998.

Walaupun krisis kewangan negara telah berjaya dipulihkan dalam tempoh yang singkat, namun krisis politik negara telah memasuki episod panjang yang tidak berkesudahan. Ternyata, politik dan ekonomi adalah elemen yang tidak dapat dipisahkan, dan sukar utuk diselesaikan.

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM
4 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 4/10/2018

- Advertisement -