PRK PD: Kepentingan peribadi dahului rakyat

pd13a
- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berpendapat pertikaian Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dianggap mencalarkan maruahnya sebagai seorang pemimpin utama parti komponen Pakatan Harapan. Sebagai seorang pemimpin yang sangat berpengalaman, beliau sewajarnya bijak membaca perkembangan politik semasa negara. Setakat ini seorang wakil pengundi di Port Dickson telah memfailkan permohonan deklarasi mahkamah dan perakuan segera berhubung status DSAI sepertimana yang telah dibantah juga oleh wakil calon PAS ketika hari penamaan calon sebelum ini.

- Advertisement -

Di peringkat nasional, kita berdepan dengan kemelut ketidaktentuan ekonomi. Banyak bantuan kepada rakyat dinafikan contohnya dalam kalangan penjawat awam, golongan B40, para nelayan dan peminjam PTPTN. Projek-projek khas bagi menjamin kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan luar bandar juga telah dimansuhkan. Bajet 2019 yang akan dibentangkan pada bulan November 2018 juga dianggap sebagai bajet berkorban. Kos yang diperuntukkan untuk PRK PD sahaja telah menelan belanja sebanyak RM3.6 juta. Namun, disebabkan kemahuan peribadi, beliau sanggup mahukan PRK diadakan untuk tujuan politik peribadi menjadi Perdana Menteri.

Mengapa ‘move’ mahu menjadi Perdana Menteri Ke-8 sentiasa diulang-ulang? Adakah ini sebagai bukti untuk menjustifikasikan ketidakupayaan Tun Dr Mahathir sebagai PM? Adakah parti-parti dalam Pakatan Harapan telah retak menanti belah? Bukankah PM sendiri telah berjanji untuk memberikan jawatan tersebut setelah 2 tahun? Tindakan ini akan menyebabkan lebih banyak ‘politiking’ dan berkemungkinan akan menjejaskan kestabilan politik negara.

Walaupun DSAI telah menjadi calon PRK PD, namun dari aspek moral, ia telah tercalar. Kerelevanan beliau sebagai calon dipertikaikan oleh banyak pihak termasuk dalam komponen Pakatan Harapan sendiri. Hal ini menunjukkan bahawa ‘move’ Port Dickson penuh dengan kepentingan peribadi berbanding kepentingan awam dan ia tidak menjamin kesejahteraan rakyat khususnya pengundi di Port Dickson. Segala kepentingan awam diperjudikan demi untuk memenuhi motif peribadi DSAI.

YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Adun Batu Burok, Terengganu – HARAKAHDAILY 3/10/2018

- Advertisement -