Allah telah memberi amaran

- Advertisement -

FIRMAN Allah:

- Advertisement -

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ سَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي الْأَرْضِ وَالْفُلْكَ تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِأَمْرِهِ وَيُمْسِكُ السَّمَاءَ أَنْ تَقَعَ عَلَى الْأَرْضِ إِلَّا بِإِذْنِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَحِيمٌ

“Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah memudahkan apa yang ada di bumi untuk kegunaan kamu, dan (demikian juga) kapal-kapal yang belayar di laut dengan perintahNya? Dan Ia pula menahan langit daripada runtuh menimpa bumi, kecuali dengan izinNya; sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan-Nya dan rahmat-Nya kepada umat manusia.”

(al-Hajj: 65)

Inilah kenyataan Allah mengenai langit dan bumi-Nya. Semuanya dicipta untuk manfaat makhluk-Nya yang bernama manusia. Langit dan bumi adalah ‘Ayah Manzurah’ atas kekuasaan dan ketuhanan Allah. Namun manusia sering leka, alpa dan sombong. Sehingga mereka sewenangnya mendurhakai Allah. Ayat-ayat dan hukum-hakam Allah dilempar ke belakang seolah-olah mereka tidak pernah tahu kalau Allah telah pernah menurunkan kitab-Nya kepada mereka. Firman Allah:

وَلَمَّا جَاءَهُمْ رَسُولٌ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَهُمْ نَبَذَ فَرِيقٌ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ كِتَابَ اللَّهِ وَرَاءَ ظُهُورِهِمْ كَأَنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

“Dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah (Nabi Muhammad S.A.W), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui (kebenarannya).”

[al-Baqarah: 101]

Kini manusia semakin berani mendurhakai Allah. Al-Quran telah diubah-ubah pengertiannya agar sesuai dengan kehendak mereka. Apa yang mereka lakukan persis apa yang dilakukan oleh pendeta-pendeta Yahudi dan Nasrani terhadap Taurat dan Injil selepas zaman Nabi-nabi mereka. Rasul-rasul dan ulamak di kalangan mereka dicemuh dan dihina. Ajaran agama dianggap penghambat kemajuan dan kebebasan manusia. Lalu saat itu Allah memberikan amaran awal-Nya dengan memerintahkan langit dan bumi menghukum manusia.

Gempa bumi, tsunami, taufan dan apa sahaja bencana adalah amaran Allah kepada yang tahu memerhati dan memiliki Ainul Basyirah. Kepada yang buta mata hati, bencana itu semua hanyalah fenomena alam biasa. Yang pastinya tidak akan pernah merubah sikap durhaka mereka sama sekali.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat 
3 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 3/10/2018

 

- Advertisement -