Sulawesi Menangis: Di mana Malaysia?

- Advertisement -

TANGGAL 28 September yang lalu, Sulawesi Tengah telah dilanda gempa bumi bermagnitud 7.4 pada skala Richter pada jam 5.02 petang mengakibatkan tsunami setinggi tiga meter di pantai Kota Palu.

- Advertisement -

Ini merupakan kecemasan dan krisis kemanusiaan yang sangat dahsyat dengan mangsa korban melebihi 1000 orang dan semakin meningkat mengakibatkan Kerajaan Indonesia mengisytiharkan darurat.

Sebagai tanda solidariti jiran tetangga terdekat serumpun dalam ASEAN, Kerajaan Malaysia sepatutnya dengan pantas menjadi yang negara terawal menghantar bantuan kecemasan untuk membantu pihak berkuasa Indonesia.

Special Malaysia Disaster assistance and Rescue Team (SMART) atau agensi lain sepatutnya sudah siap bergerak misi membantu penduduk di Sulawesi yang sedang ditimpa bencana ini.

Telah dilaporkan oleh The ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on Disaster Management (AHA Centre) bahawa lebih 1.5 juta penduduk di bandar Palu, Donggala, Parigi, Moutong dan Sigi wilayah Sulawesi telah dan akan menerima kesan langsung mangsa kepada bencana gempa bumi dan tsunami ini.

Tidak memadai bagi kerajaan hanya mengucapkan takziah kepada Indonesia walhal bencana ini meruntun hal kemanusiaan yang tiada batas sempadan.

Dalam pada itu, sekalung tahniah diucapkan kepada NGO-NGO Malaysia yang nampaknya lebih pantas bertindak menghulurkan bantuan awal seperti PASRelief, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Yayasan Amal dan lain-lain yang sangat cakna akan situasi ini.

Sekali lagi saya menyeru atas semangat serantau dan saudara kemanusiaan, Kerajaan Malaysia dan juga negara ASEAN yang lain perlu segera menghantar bantuan kepada Indonesia menggunakan aset kepakaran yang ada.

“Islam Memimpin”
“Sejahtera Bersama Islam”

YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Sik / Ahli Jawatankuasa PASReleif /
Ahli Parlimen Sik

21 Muharram 1440 / 1 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 1/10/2018

- Advertisement -