Lombok sebahagian daripada kita

- Advertisement -

TIADA yang istimewa di tanah bekas jajahan Belanda ini kecuali paduan panorama pantai Malibur dan Gunung Rinjani yang memukau. Kecantikan faunanya hampir ranap setelah gempa bumi berskala 6.4 magnitud pada 29 Julai lalu. Diikuti dengan lima lagi rauman gempa susulan dengan skala yang kuat. Sekali gus menjadikan rakyat Lombok yang belum pernah diganggu  gempa berada dalam keadaan trauma.

- Advertisement -

Saya berusaha sampai di bumi Lombok ini setelah lebih dua bulan kejadian gampa bumi terjadi. Kerja amal ini tidak putus walaupun kerajaan Indonesia mengisytiharkan fasa menyelamat bencana berakhir pada 25 Ogos lepas.

Kerajaan Indonesia telah membuat kenyataan rasmi bahawa fasa pemulihan (rehabilitation) bermula, namun menghadkan jumlah pasukan luar yang datang untuk membantu. Mungkin atas sebab-sebab sosiopolitik, sekatan ini dikenakan.

Pun begitu rakan NGO kami daripada PKS menyatakan semakin banyak santunan yang wajib mereka dilakukan. Kerja-kerja pembersihan, pemeriksaan kesihatan, bantuan makanan asas dan pembinaan semula kehidupan rakyat Lombok harus diteruskan. Relawan PKS sudah hampir dua bulan berkampung di setiap penjuru Lombok. Boleh dikatakan setiap Posko (Pusat Operasi Bencana) yang dibangunkan oleh PKS terdapat 10 orang relawan.

Lombok adalah salah satu dari tiga pulau utama di bawah penguasaan pentadbiran Nusa Tenggara Barat Indonesia. Pulaunya sejajar dengan Bali dan Sumbawa. Tetapi tiga juta daripada lima juta penduduk bangsa Sasak ini tertumpu di Pulau Lombok. Ini kerana mungkin Pulau Lombok lebih nyaman dan mendamaikan. Sesuai dengan gelaran Negeri Lombok adalah negeri Sejuta Masjid dan Sejuta Maling.

Majoriti penduduknya adalah muslim. Apabila masuk waktu solat, laungan azan akan bertali-talian. Sesiapa sahaja yang hadir di bumi Lombok ini akan termaling (curi) hatinya. Di samping keindahan bahasa yang digunakan, rakyatnya amat penyantun.

Seluruh kepulauan Indonesia terletak dalam Lingkaran Api Pasifik. Dengan makna, bila-bila masa sahaja titik tumpu gunung merapi boleh meletus dan akhirnya boleh mengakibatkan gempa bumi dan tsunami.

Berlakunya siri gempa bumi di Lombok dan Sulawesi ini akan memberi kesan iklim yang buruk seluruh dunia. Manusia secara keseluruhannya dijangka akan menghadapi perubahan cuaca yang melampau. Pergerakan angin dan arus lautan juga terkesan sehingakan bongkah ais di kutub dunia akan mencair.

Kehadiran kami seramai 18 orang sukarelawan gabungan terdiri daripada Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan dan Perlis, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma), wakil daripada Iman Care, Warga Cakna dan beberapa NGO lain lagi bertujuan menyampaikan sedikit bantuan yang telah diamanahkan untuk santunan rakyat Lombok.

Seperti yang dijanjikan, kami tiba di Lombok Tengah, Barat, Timur dan utara selama tiga hari berturut-turut itu dengan bekalan makanan harian. Saya, Dr Zuraizi Jaafar dan Dr Afiq Fahimy mewakili Papisma juga turut membuat rawatan kesihatan sekadar mampu. Terima kasih kepada pihak PKS yang telah pun menyediakan keperluan ubat-ubatan kepada mangsa kejadian gempa. Bekalan ubatan yang telah tersedia itu digunakan untuk rawatan pesakit.

Namun, hasil daripada penilaian yang dilakukan, mereka sudah tiada rintihan yang ketara tentang penyakit fizikal. Sakit badan, sakit sendi itu tidak terlalu mendesak kehidupan mereka. Begitu juga dengan luka kecil, demam selsema dan rengat seluruh badan tidak mematahkan semangat mereka untuk terus hidup.

Penyakit fizikal ini berlaku mungkin kehidupan yang tidak menentu, siang hari penuh dengan kerja-kerja pembersihan puin-puin bangunan yang roboh, badan mereka sakit sana sini. Jauh dalam renungan anak mata setiap penduduk Lombok ini sama ada tua mahupun muda, adalah kerencaman dan apakah kesudahan nasib hidup mereka pada masa mendatang.

Mereka seolah-olah putus harap dengan pihak lain yang hanya datang untuk mengolah ceria serta cerita bahagia yang sementara. Kemudian selfie sana sini dan lambai pulang ke negeri masing-masing. Tiada satu kata jaminan ajaib yang membolehkan mereka bangkit semula daripada trauma gegaran gempa ini. Apa lagi yang harus kita lakukan?

Akhir sekali, Saudara Abdul Hamid Seman, Pengerusi Yayasan Amal Cawangan Kelantan mengucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan relawan yang terlibat. Yayasan Amal Malaysia hanya sebagai perantara.

Kejayaan misi kemanusiaan selepas gempa bumi ini adalah hasil kerjasama daripada semua pihak termasuk para penyumbang tabung kemanusiaan gempa bumi Lombok. Beliau meletakkan azam untuk terus mengatur pelan bantuan ke Palu, Sulawesi yang baharu sahaja berlaku gempa bumi dan tsunami.

Catatan misi kemanusiaan #CintakuDiBumiLombok 2018.

Dr Suhazeli Abdullah
Kg Senggigi, Lombok Tengah
1.10.2018 – HARAKAHDAILY 1/10/2018

lb1

lb2

lb3

lb5

lb7

lb12

lb14

- Advertisement -