Globalisasi: Agenda Barat jatuhkan Islam

- Advertisement -

POKOK SENA: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, gerakan globalisasi adalah satu agenda Barat untuk menjatuhkan Islam.

- Advertisement -

Terdahulu dalam ucapannya, Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia itu menerangkan gerakan Kristianisasi yang bertujuan untuk mengkristiankan umat Islam.

Menurut beliau, penjajah Barat antaranya Perancis, Inggeris, Itali dan Belanda membuka berbagai-bagai jenis sekolah di negara jajahan mereka seperti sekolah Methodist dan Sekolah Convent.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Konvokensyen Kolej Islam Darul Ulum buat kali ke-14, hari ini.

Sambung beliau, apabila usaha mengkristiankan umat Islam gagal, Barat mengubah pendekatan kepada “harakah taghribiyyah” iaitu membaratkan orang Islam.

Tujuan pembaratan orang Islam ini adalah supaya umat Islam meninggalkan ajaran Islam lalu dibuka Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Tambahnya, MCKK menjadi tempat mengajar pelatih guru Melayu untuk mengajar tulisan rumi demi menghapuskan tulisan jawi.

Dalam masa yang sama, di MCKK juga pelajar belajar sejarah Majapahit, sejarah Hindu namun meninggalkan sejarah Islam dan melumpuhkan pengajian Islam melalui pengajian kebangsaan.

Namun kata beliau, orang Islam tidak menyerah kalah dengan meneruskan pengajian berkaitan Islam seperti penjajian muqaddam dan kitab perukunan di rumah.

Di samping itu tambahnya, mereka membuka pondok untuk pengajian Islam walaupun tidak mendapat gaji dan pusat-pusat pengajian di masjid dan surau.

Ahli Parlimen Marang itu juga menerangkan bahawa mereka yang mendapat pengajian kebangsaan kembali kepada Islam seperti guru-guru MCKK dan pelajar-pelajar di England yang mempunyai semangat Islam.

Hal ini jelas beliau menyebabkan Barat menjadi bingung melihat orang yang dididik mereka kembali kepada Islam seperti Malik Bennabi yang belajar di Perancis.

Menurut beliau, sekolah-sekolah agama yang diiktiraf oleh Al-Azhar dibatalkan pengiktirafan.

Malah katanya, ditutup majlis halaqah di Mekah dan Madinah, khutbah jumaat dikawal, pengajar pengajian agama perlu berlesen dan bertauliah supaya dapat dikawal.

Namun ujar beliau, semua usaha ini gagal apabila tumbuh pusat-pusat pengajian Islam seperti muassasah di Kelantan, Terengganu, Johor, Pahang serta di Indonesia, Kemboja, Thailand dan Eropah.

Dalam masa yang sama katanya, mereka yang belajar di Barat juga mempelajari ilmu agama. – HARAKAHDAILY 29/9/2018

- Advertisement -