Lombok: PASRelief akan rangka bantuan susulan

- Advertisement -

LOMBOK, Indonesia: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) telah menyelesaikan Misi Bantuan Kemanusiaan Lombok 2.0 di Provinsi Nusa Tenggara Barat itu hari ini.

- Advertisement -

Delegasi ini akan berangkat pulang pada tengahari nanti setelah melaksanakan misi selama lima hari melibatkan kawasan penempatan gempa bumi di Pulau Lombok dan Pulau Sumbawa.

Misi kali ini turut disertai sama NGO daripada MAPIM Wilayah Utara, Yayasan Kubra, Syabab Care dan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kedah dengan keseluruhan 28 anggota delegasi di mana telah dibantu NGO Indonesia, Gerak Bareng.

Ia telah membawa sumbangan berupa Rumah Sementara Untuk Kemanusiaan (RUSUK), beras, telekung solat, perigi, tong air dan pemeriksaan perubatan serta pembinaan musolla.

Misi dipimpin Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor ini telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa melibatkan 9 tan beras, 22 RUSUK, 10 musolla, satu perigi dan 26 tangki air.

Antara lokasi tumpuan sumbangan kali ini adalah Desa Bengkaung dan Desa Sandik di Lombok Barat, Desa Malaka dan Desa Berora di Lombok Utara, Desa Sembalun Bumbung di Lombok Timur dan Desa Usar Mapin di Sumbawa.

Menurut Sanusi, sumbangan disampaikan masih terlalu jauh dari memenuhi keperluan asas kebanyakan mangsa dan kawasan dilanda gempa di mana misi susulan akan terus dirangka.

Di semua lokasi dikunjungi delegasi mendapati kesan gempa bumi telah meranapkan banyak kediaman penduduk, infrastruktur awam termasuk merosakkan bangunan-bangunan kerajaan.

Walaupun telah dua bulan sejak kejadian pertama, penduduk kelihatannya masih trauma apabila mahu kekal berada di khemah sementara ketika ini, setelah pula gempa kecil-kecilan masih lagi berlaku menjadikan kebanyakan bangunan tidak selamat.

Lebih memilukan disebalik korban nyawa dan kemusnahan harta benda, penduduk Lombok umumnya dan mangsa khususnya menghadapi desakan ekonomi berikutan banyaknya aktiviti tergantung.

Turut dikenali sebagai Pulau Seribu Masjid, hotel-hotel dan kawasan kunjungan pelancong kini lengang, selain aktiviti pertanian serta lainnya tidak berlangsung sebagaimana sebelumnya, menjadikan keadaan seolah-olah lumpuh.

Sehubungan itu, PASRelief menurut Sanusi akan terus menggerakkan usaha bantuan pasca-gempa dengan lebih giat dan mengharap sokongan serta keprihatinan rakyat Malaysia untuk terus memberikan sumbangan.

Segala sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 5640 7061 1352 atas nama Tabung Kemanusiaan Antarabangsa atau 5640 7061 2333 atas nama PASRelief.

Turut serta dalam delegasi ini adalah Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman. -HARAKAHDAILY 27/9/2018






- Advertisement -