“Ustaz….kami rindu pada ustaz”

- Advertisement -

SUBUH 25 September saya menerima panggilan telefon daripada isteri beritahu anak Cikgu Puji (pemilik kedai nasi Arab Puji) Iman, telah pergi buat selamanya.

- Advertisement -

Teresak-esak isteri menangis, arwah Iman, Cikgu Puji, isteri dan anak-anaknya sudah seperti keluarga kami sendiri.

Anak sulung yang menjadi rakan baik arwah Iman bergegas pulang dari KL ke Alor Setar, saya tahu dia pasti balik, mereka cukup rapat.

Belum kering benar air mata mengenang baik jasa Cikgu Puji sekeluarga pada keluarga kami, berita pemergian Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah, Ustaz Md Rejab pula menyusul.

Allahuakbar, ingatan beralih kepada arwah Ustaz Md Rejab. Semua kenal dia tegas, bibir sentiasa lontarkan ilmu agama saban hari dan waktu.

Pernah selepas satu kuliah Subuh, arwah ajak saya minum, katanya “ana dapat maklum anta dalam susah, ana nak bantu anta.

Saya luahkan segalanya pada arwah, tenang arwah mendengar dan nasihatkan agar saya tenang dan banyak berdoa.

Bertalu mesej masuk khabarkan pemergian Ust Md Rejab, tak kurang yang ingatkan saya esok (hari ini 26 September, genap 5 tahun pemergian arwah Ust Azizan Abdul Razak). Ada yang minta saya tuliskan sikit mengenai arwah.

Bagaimana saya mahu menulis, saya masih bersedih hilang dua orang yang rapat dalam hidup saya, Iman dan Ust Md Rejab.

Seolah tak tahu apa yang nak saya mulakan. Dengan arwah Ustaz Azizan terlalu banyak kisah.

Orang tahu dia garang, tegas. Siapa tak pernah kena marah dengan Ustaz Azizan bohonglah.

Sebelum dia jadi MB Kedah, saya antara tukang teman arwah selepas Isyak hingga tengah malam di bangunan PAS Kedah di Jalan Kota, Alor Setar.

Mie hang mai sat, hang ada duit dak, beli sat kat aku…..sat lagi aku ganti balik duit hang

Pak Chop Husin, Wan, Azri tahulah apa yang selalu Ustaz suruh saya beli.

Bila jumpa sedia maklumlah ustaz dengan uniform rasmi dia, baju pagoda dengan kain pelekat, rambut kembang ke tepi.

“Hang tolong tengok sat Tok Guru Haji Hadi minta aku tulih sikit pasai Penyakit Umat Islam.”

“Ada hat tak kena hang habaq aku nak pebetoi”

Waktu mood dia tengah elok siapa pun berani melawak, saya kata amboi takkan saya nak perbetul, saya bukan reti.

Itulah hangpa, mengaji hangpa tak mahu, ilmu bukan nak rugi. Dia mula dah, habis segala zaman dia mengaji naik gerek di Yan sampai masuk Maktab Mahmud dia akan ungkit.

Kadang lajak sampai dia mengaji Mesir, main tenis, kerja KFC di London, sambil belajar anak dok kelitin bawah meja, itu susah aku mengaji, aku dulu ambil Law di University Kentsssss.

Sebutan ‘S’ Ustaz Azizan selalunya akan lebih.

Sambil ajak duduk di biliknya, ustaz hulur setambun kertas A4.

Kertas putih bergaris biru muda terkandung tulisan tangan ustaz dengan pen dakwat merah.

“Hang tengok sat ayat bagi betul, aku nak minta Azri tolong taip balik Bahasa Arab esok, tak balik dah kita malam ini” – dalam hati saya kata menyesal dah aku malam ini.

Perkara yang sama berlaku lagi hampir setiap kali sepanjang berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar Ustaz Azizan.

Kali ini tidak lagi di Jalan Kota tetapi di rumahnya di Jalan Sultanah.

Uniform masih sama, baju pagoda dengan kain pelekat. Ustaz teliti sepatah demi sepatah ayat ucapan yang saya sediakan.

Jumpa pukul 9 malam keluar rumah dia pukul 2 pagi itu dah biasa.

“Itu esok kita jumpa hang perbetul elok-elok, hang jangan bagi silap, orang nak dengar kita berucap, hang habaq dekat Syahril mai awal, dekat Mie Yahya aku habaq dah dia kena mai awal tengok apa yang patut.”

Waktu-waktu macam ini kita jangan jampuk, kalau jampuk nanti ada benda baru Ustaz nak pesan, baik kata ‘ya’ sahaja.

Ustaz cukup teliti dan cukup kerap bagi kata-kata pesanan.

PAS menang di Kedah 8 Mac 2008, saya mula bertugas 13 Mac.

Selepas sembang itu ini, satu pesan yang saya ingat sampai sekarang dan InsyaAllah sampai bila-bila.

Kata Ustaz, kalau nak kerja, nak bantu dia, nak bantu rakyat kerjalah elok-elok.

Tapi kalau niat nak kerja untuk jadi kaya, kenal tauke-tauke besar, nak makan rasuah, nak khianat amanah dan rakyat baik berhenti hari pertama itu saja.

“Sebab esok aku tak perlu pikiaq dah pasal hang” – tajam buah Ustaz Azizan.

Itu hari pertama kerja. Pesan dan bertanya khabar sepanjang 5 tahun bertugas tak pernah lekang dari mulut Ustaz.

Kebajikannya banyak, tetapi dia memesan keras dari kami hebohkan.

Beristeri dua dan beranak 16, sibuk macam mana sekalipun dia berselang seli harinya antara rumah keduanya tanpa gagal.

Hari cuti kalau nak balik ke Sungai Limau dia tak pernah naik kereta kerajaan, malah pernah dia naik kereta Satria pengawal peribadinya, Syahril. Dia duduk sebelah, Syahril bawa kereta.

Tak pernah ada perbualan untuk kayakan dirinya. Tiap soalan mesti pasal kebajikan rakyat.

Makan Maggi bersama kami bila sampai di rumah sewa di KL itu satu kemestian.

Kadang di KL dia yang masak untuk kami, masak cukup cermat, elok kita tengok saja daripada tolong sebab kalau silap potong tomato atau timun dia ungkit sebulan.

Bukan laguuu tuuuu, tak boleh buat lagu tuuuu” – ayat wajib Ustaz, punch line-lah kot kalau bahasa anak-anak Gen-y.

Itulah ayat hiburan kami ketika itu malah bila kami berjumpa atau berwhatsapp ayat itu masih kami kenang sampai hari ini.

Kalau di KL, dia buat kami macam ‘budak-budak’.

Nak menguit (bergerak) sikit pun dia akan tanya. Tambah-tambah kalau kita spray perfume.

Bau saja dia akan tanya, “Aiiii wangi-wangi hangpa nak pi mana?

Kadang naklah juga merasa beli baju di KL, kalau dia tanya harga kami tak akan bagi tahu harga yang betul.

Kalau sebut harga lebih dari RM25, dia akan kata, “haissssshhhh, mahai, hangpa balik beli di Simpang Empat Kangkong, aku selalu beli situ, Kedai Timor, baju Orlando original 19 ringgit saja

Rupanya baju itu brand Ormlando, bukan Orlando.

Hidupnya cukup sederhana, ada anaknya tidak ada kerja yang tetap ketika ayah mereka jadi MB.

“Anak aku mesti marah aku, pak dia jadi Menteri Besaq, tapi dia tak dak kerja”, kadang Ustaz sebut macam itu.

Saya kata, itu waktu Ustaz masih ada, kalau nanti Ustaz dah tak jadi MB, dah tak ada, dunia akan kata Ustaz tak guna kedudukan, tak ambil kesempatan sumbat anak guna kabel untuk dapat kerja.

Lima tahun terlalu banyak untuk nak diceritakan, 5 Mei 2013, kita tempuh PRU13.

Ustaz agak uzur, tapi masih tetap penuhi jadual undangan apatah lagi itu ketika kempen PRU.

Minggu akhir sebelum PRU, Ustaz banyak jumpa pimpinan PAS secara peribadi, kebanyakan dia ajak saya teman.

Ada juga dia tanya, hangpa semua dah kemas ke barang di pejabat, kalau menang alhamdulillah, kalau kalah pun kita terima, kata Ustaz.

Hari mengundi, Ustaz nampak letih sangat, lepas mengundi saya jumpa Ustaz di Sungai Limau.

Lepas tanya perkembangan suasana tempat mengundi, dia mula berbicara.

Di atas kerusi rotan usang di ruang tamu dia minta saya tolak sikit TV yang diletak atas sebuah kerusi plastik kedai makan.

“Aku letih sangat hari ini Mie, aku nak rehat sat, ada apa lagi dak hari ini, hang ada janji dengan siapa-siapa lagi ke?,” kata Ustaz.

Saya tanya Ustaz dah mengundi atau belum, kalau belum jom kita jumpa wartawan sat, ramai nak jumpa Ustaz, kita jumpa di Bukit Besarlah Ustaz, Ustaz mengundi situ boleh terus jumpa wartawan.

Balas Ustaz, depa mahu lagi ke jumpa aku, nak buat apa dah, lepas ini bukan ada sangat dah cerita pasal aku.

Bukan sehari kami dengan Ustaz, itu ‘bukan’ Ustaz, Ustaz dah tak cengei (garang) Ustaz dah tak melawak macam selalu, itu ‘bukan’ Ustaz Azizan.

Malam menunggu keputusan Ustaz banyak berhubung melalui handphone, saya kata saya tunggu Ustaz di Batu 9 (Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut).

Hingga jam 12 malam lebih, secara rasminya kami menerima ketentuan bahawa PAS gagal membentuk kerajaan di Kedah.

Saya ditemani rakan, Azamin Amin ketika itu. Dia mungkin tahu mood saya cukup, amat dan sangat tidak elok.

Lebih kurang jam 1 pagi saya ajak Azamin ke rumah Ustaz.

Masuk saja dalam rumah, Ustaz terus sebut, “Mie aku minta maaf kat hangpa, kita kalah, pasal aku hangpa dah tak dak kerja, aku minta maaf Mie

Saya hanya diam. Ustaz sambung lagi, “Aku sakit sangat malam ini Mie, aku dah tak lama kot, hang dah tak dak kerja, kesian Kat hang, mcm mana hang nak jamu makan anak bini hang lepas ini Mie

Itulah pertama kali Ustaz sebut dia sakit, payah dia nak serah diri untuk cakap dia sakit.

Saya pegang tangan Ustaz, Saya kata “Jom kita berubat Ustaz, jangan pikiaq pasai Saya, kita pi hospital Ustaz na

Tak apa kot“, jawab Ustaz buat saya serba salah untuk terus bercakap lagi.

Tak lama saya pun keluar dari rumah Ustaz, rupanya lebih kurang jam 4 pagi Ustaz ke hospital dengan Syahril dan Abang Noh.

Lebih kurang pukul 9 pagi dia panggil Helmi Yahya, Setiausaha Sulit Kanannya, bila Helmi keluar dia minta saya masuk jumpa Ustaz.

Sekali lagi Ustaz minta maaf sebab kami dah hilang kerja, saya kata Ustaz, kita berubat Ustaz dulu. Bab kami, insyaAllah ada rezeki mana-mana nanti.

Dia terbaring sambil jalani dialisis. Ustaz panggil saya rapat badannya. Ustaz peluk saya dan bisik bermacam.

Ustaz mengadu hal, Ustaz berpesan dan menangis.

Basah baju saya dengan air mata Ustaz. Pelukan kami dilerai bila seorang nurse panggil nama Ustaz.

Datuk Seri, ini anak Datuk ke, Datuk dah nak habis dialisis, nanti Datuk rehat ya

Dalam nada yang cukup lemah Ustaz masih nak menjawab soalan nurse tadi.

Ini pegawai saya, depalah yang dok jaga sakit demam saya, dia dah macam anak saya.

Rupanya 6 Mei itulah kesempatan terakhir saya mendengar suara Ustaz Azizan.

Tengaharinya Ustaz diiring keluarga dan Setiausaha Politiknya, Haji Sanusi Md Nor ke Hospital Pulau Pinang.

Malamnya saya sampai dengan Azamin. Suara Ustaz sudah makin lemah.

Sanusi cuba ikhtiar untuk satu rawatan di sebuah klinik swasta pada Ustaz.

Ketika itu dengar suara lemah Ustaz minta makan. Azamin cicah sekeping biskut dengan air Milo pada Ustaz.

Malam semakin lewat, kami tidak lagi dibenarkan teman Ustaz.

Kawalan dan rawatan pada Ustaz makin rapi. Suaranya sudah semakin tenggelam.

Ustaz kadang sedar kadang tidak. Ustaz tidak boleh diganggu.

Selang beberapa hari, saya masuk ke bilik rawatannya, tiba-tiba Ustaz membuka mata.

Amat lemah keadaannya. Kak Faikah ada di sisi Ustaz. Dengan pandangan yang amat lemah, suara antara keluar dan tidak, dari gerak mulut Ustaz tanya kerja apa?

Ya Allah dalam keadaan dia yang sebegitu rupanya Ustaz masih fikir pasal orang lain.

Saya tipu, saya jawab dah dapat kerja, Ustaz jangan bimbang. Nampak Ustaz tenang dan kembali pejam mata.

Mei hingga Ogos kami berkampung dan bergilir menjaga Ustaz di Hospital Pulau Pinang.

September, atas permintaan keluarga, Ustaz dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyyah Alor Setar.

Di sisi ahli keluarga diiringi bacaan Yasin salah seorang sahabat karib sejak zaman sekolahnya, Sheikh Ismail Kamis Ustaz Azizan menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 11 pagi lima tahun yang lalu.

Al-Fatihah, terima kasih Ustaz. Kami rindukan Ustaz. Tenanglah Ustaz di sana, negeri yang kekal abadi.

Catatan oleh Saudara HELMI KHALID (mantan Setiausaha Akhbar Ustaz Azizan Razak) – HARAKAHDAILY 27/9/2018

- Advertisement -