Tahfiz: Tingkat kualiti, elak tanggapan negatif

- Advertisement -

INSTITUSI sekolah tahfiz menjadi fenomena di negara ini dalam tempoh dua dekad terakhir ini dengan kemunculan ratusan sekolah aliran tahfiz swasta dan juga usaha kerajaan Kelantan di zaman almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz mempopularkan tahfiz sains sebagai sekolah berasrama penuh yang akhirnya memancing pesona ibu bapa memilih aliran tahfiz. Institusi ini sering memicu kontroversi dalam masyarakat negara ini dan pernah dicadangkan untuk ditutup dengan pelbagai alasan seperti tiada plan keselamatan bangunan, anti nasional, menjarakkan ruang intergrasi sosial dan lain-lain alasan.

- Advertisement -

Pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam menjawab polemik mengenai insititusi tahfiz wajar mendapat perhatian semua pihak. Beliau meminta semua pihak agar tidak menyuburkan bibit Islamofobia di negara berbilang kaum dan agama ini dengan desakan supaya institusi tahfiz dihapuskan susulan kes pelajar sekolah itu yang didakwa diliwat pengetua mereka.

Penjelasan beliau bahawa insitusi tahfiz perlu dihormati dan kesalahan individu tidak wajar dikaitkan dengan institusi berkenaan sebagaimana pepatah Melayu, ‘Marahkan nyamuk, kelambu dibakar’. Bahkan, menurut Dr Zulkifli lagi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) sejak daripada dahulu sentiasa konsisten menentang sebarang bentuk manipulasi, penderaan, ketidakadilan dan penindasan kepada kanak-kanak.

Cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa untuk menutup pusat tahfiz di Kepong, Kuala Lumpur kerana pengetua pusat tahfiz terbabit ditangkap atas dakwaan meliwat sembilan orang pelajarnya adalah isu terpencil yang melibatkan tahfiz tersebut, kerana didapati beroperasi tanpa kebenaran. Bagi saya, jika ia melibatkan jenayah, keadilan mesti ditegakkan dan kesalahan mesti dicegah walaupun pahit untuk ditelan. Menutup pusat tahfiz kerana kesalahan seorang individu bukanlah satu tindakan yang bernas.

Kes yang berlaku sememangnya mencalar imej institusi agama dalam negara, dan kita akui umat Islam menanggung malu atas tindakan pengetua terbabit. Sekali gus kes ini menjadi rujukan dan perhatian ibu bapa, menghakis sedikit kepercayaan mereka terhadap insititusi tahfiz. Amat malang jika kepercayaan yang diberi oleh ibu bapa dan masyarakat ini dikhianati oleh individu yang paling dihormati di sesebuah pusat tahfiz, iaitu pengetua terbabit.

Akan tetapi, menghukum kesemua pusat tahfiz dengan tanggapan negatif adalah label yang keterlaluan. Kes pusat tahfiz terbabit bukan boleh dijadikan kes umum untuk kesemua insititusi tahfiz dengan alasan langkah keselamatan atau pencegahan atas kes yang berlaku itu. Ia juga bukan lesen untuk mana-mana pihak menyerang pusat-pusat tahfiz dan mendesak agar kesemua pusat tahfiz ditutup. Bukan juga sebagai alasan ampuh untuk menjarakkan masyarakat dengan Islam, mewujudkan Islamofobia dengan ketakutan yang sengaja direka-reka. Jangan pula ada mana-mana pihak menangguk di air yang keruh dengan mendesak menutup pusat tahfiz yang lain dengan alasan dangkal.

Bahkan, kes yang berlaku bukan sebab untuk menjadikan kewujudan insititusi tahfiz yang bercambah disekat, kelulusan semakin sukar untuk diluluskan, dianaktirikan, melalui pelbagai prosedur yang ketat, peruntukan yang dipotong, serta pelbagai karenah yang menyukarkan perjalanan tahfiz.

Sepatutnya apa yang berlaku menjadi pengajaran khususnya buat kerajaan, kerana mungkin kebanyakan pusat tahfiz beroperasi sendiri tanpa bantuan dan sokongan banyak pihak. Dengan dana yang terhad, tiada sokongan padu, kekurangan kepakaran dan pengalaman banyak aspek yang tertinggal dalam menjayakan pusat tahfiz ini sedangkan kesedaran dan kepekaan masyarakat terhadap kepentingan tahfiz begitu tinggi. Ia menjadi permintaan yang besar sebagai alternatif buat ibu bapa yang cintakan agama sehingga sanggup membelanjakan sejumlah wang bagi menghantar anak-anak mereka ke sekolah tahfiz.

Antara perkara yang mesti dilihat kembali adalah mekanisme pemantauan antara kerajaan dan pusat tahfiz yang ditubuhkan. Pemantauan yang berkesan amat penting bagi menyelaras kualiti pusat-pusat tahfiz, membantu aspek infrastruktur yang kurang, membekalkan modul dan silibus yang baik, guru-guru terlatih dan kompeten, mempunyai disiplin dan rekod yang baik. Selain itu, pemantauan dari sudut keselamatan premis, kebersihan premis bagi menjaga kesihatan penghuninya. Aspek kebajikan guru, ibu bapa dan pelajar juga menjadi titik penting agar kerajaan tidak terlepas pandang terhadap insititusi tahfiz ini.

Umat Islam menyedari bahawa kewujudan pusat tahfiz menyumbang kepada generasi yang berakhlak mulia, celik al-Quran, menghayati agama dan berwawasan tinggi. Kelompok generasi yang menghafaz al-Quran inilah yang diharapkan menjadi pelapis kepimpinan negara di masa akan datang, berbekalkan ilmu dan taqwa kepada Allah SWT Justeru, pusat tahfiz adalah prospek paling utama untuk dibantu, diperkemas dan dikembangkan selaras dengan mana-mana institusi pendidikan yang lain. – HARAKAHDAILY 25/9/2018

Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.

- Advertisement -