Kembali kes ke Mahkamah Tinggi

- Advertisement -

MAHKAMAH Persekutuan yang bersidang dengan tujuh hakim diketuai Ketua Hakim Negara hari ini menerima persetujuan pihak perayu (Jawatankuasa Fatwa Selangor, MAIS dan Kerajaan Negeri Selangor) dan responden (SIS dan dua lagi) untuk mengembalikan kes ke Mahkamah Tinggi untuk dihujahkan semula atas isu bidangkuasa Mahkamah Sivil dan juga isu merit.

- Advertisement -

Mahkamah Persetujuan juga bersetuju untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memutuskan isu bidangkuasa Mahkamah Sivil tidak boleh ditimbulkan oleh perayu pada peringkat hujahan substantif.

Ini kerana Mahkamah Tinggi dalam peringkat kebenaran (leave stage) telah membuat keputusan bahawa Mahkamah Sivil ada bidangkuasa sekali gus memberi kebenaran untuk meneruskan dengan Semakan Kehakiman.

Mudahnya, pendengaran di Mahkamah Tinggi nanti akan diteruskan untuk menentukan sama ada Mahkamah Sivil ada bidangkuasa atau tidak, dan sama ada permohonan SIS untuk mencabar fatwa pluralisme dan liberalisme mempunyai merit.

Selaku peguam kaunsel kepada MAIS (Perayu Kedua), saya mengalu-alukan dan menerima keputusan secara persetujuan ini, kerana secara efektifnya mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan (yang menghalang terus pihak kami dari berhujah isu bidangkuasa) dan memberikan peluang untuk hujahan semula di Mahkamah Tinggi.

Saya kekal dengan hujahan saya bahawa fatwa berada dalam domain Mahkamah Syariah, dan bidangkuasa Mahkamah Syariah boleh diambil secara tersirat melalui peruntukan enakmen negeri mahupun Senarai Negeri selaras keputusan dalam kes Md Hakim Lee, Soon Singh Bikar Singh, Lina Joy dan Siti Hasnah Vengarama Abdullah.

Ia juga menggemakan hasrat Allahyarham Prof Dr Ahmad Ibrahim, orang yang bertanggungjawab menderaf Artikel 121(1A) dahulunya.

Adalah tidak munasabah untuk merujuk fatwa yang merupakan pendapat ulama atas isu yang belum selesai yang dibuat berlandaskan kaedah dan nas syarak, kepada Mahkamah Sivil yang bukan sahaja tiada kepakaran bahkan tiada bidangkuasa.

Keputusan Mahkamah Persekutuan terkini dalam kes Indira Ghandi yang dirujuk berkali-kali oleh SIS juga tidak menyelesaikan isu pertindihan bidangkuasa, bahkan secara tak langsung mengiyakan takrifan Perlembagaan secara tersirat dan “purposive”. Ini yang akan dihujahkan nanti.

Apapun, terima kasih kepada rakan-rakan peguam yang mewakili Jawatankuasa Fatwa (Tuan Haji Sulaiman Abdullah) dan Datuk Penasihat Undang-Undang Negeri yang mewakil Kerajaan Negeri Selangor atas usaha dan kerjasama berterusan. Juga kepada yang hadir memberi sokongan, dan yang turut menadah tangan meminta doa.

Perjuangan masih jauh. Pegangan perlu terus utuh.

YUSFARIZAL YUSSOFF
Kaunsel Majlis Agama Islam Selangor – HARAKAHDAILY 25/9/2018

- Advertisement -