PAS sentiasa buka kerjasama termasuk MCA

taki3
- Advertisement -

SAYA merujuk kepada kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, pada Konvensyen MCA 2018 yang disiarkan antaranya oleh Malaysiakini bertajuk “Bubar BN atau singkir Umno: MCA tolak gabungan Umno-PAS” dan portal nst.com bertajuk “We can kick Umno out of BN, warns MCA”.

- Advertisement -

PAS merasakan walaupun MCA bebas dan berhak menyatakan apa saja sama ada menyokong atau menentang sesuatu perkara, namun saya agak kabur tentang telahan mereka terhadap PAS. Semua pihak amat maklum bahawa PAS adalah sebuah parti politik yang berdaftar secara sah, bersikap demokratik dan bergerak dalam kerangka undang-undang negara dan perlembagaan partinya.

Adalah suatu makluman yang mantap juga bahawa PAS sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk MCA, demi untuk kebaikan rakyat dan negara. Walaupun MCA seolah-olah menafikan kerjasama dengan PAS semasa PRK Balakong baru-baru ini, mereka perlu sedar PAS bukan sahaja bekerjasama dengan UMNO atas dasar solidariti pembangkang, tapi juga dengan MIC dan beberapa parti serta individu lain lagi.

Dengan penuh hormat, bagi saya kenyataan Presiden MCA bukan sahaja tidak realistik malah berupa ‘takut kepada bayang-bayang sendiri’. Jangan kerana bimbang kehilangan sokongan orang Cina kepada DAP, MCA beralih kepada PAS yang kononnya tidak mempertimbangkan realiti masyarakat majmuk di Malaysia dan tidak mementingkan keharmonian kaum di negara ini. Pimpinan MCA juga dalam hal ini bolehlah melawat Kelantan dan Terengganu dengan dada yang lapang melihat sama ada wujud keharmonian kaum serta keamanan hidup di sana.

PAS mengharapkan MCA bertindak sebagai parti politik yang matang dengan bersikap lebih terbuka serta menunjukkan semangat demokratik dalam menghadapi suasana landskap politik yang sudah berubah kini, bukannya dengan menghalakan serangan malah ugutan kepada pihak lain bagi menutup prestasi buruk dalam PRU ke-14 yang lalu. Apakah PAS juga yang menyebabkan rekod politik MCA terjunam teruk dengan hanya memenangi satu kerusi Parlimen sahaja?.

PAS masih dan sentiasa membuka pintu kerjasama dengan sesiapa sahaja, termasuk MCA, atas dasar kepentingan negara dan rakyat jelata.

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 24 September 2018 – HARAKAHDAILY 24/9/2018

- Advertisement -