Menyingkap serangan pengganas di Iran

- Advertisement -

SABTU lalu, 26 rakyat Iran terkorban manakala lebih 60 lagi cedera dalam peristiwa serangan bersenjata pada upacara ketenteraan di Ahvaz, Barat Daya Iran. Dua lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah sejumlah besar penonton yang menonton perbarisan di bandar itu dan cuba menyerang pegawai kerajaan sebelum ditembak mati oleh pasukan keselamatan.

- Advertisement -

Umat Islam harus mengutuk serangan yang berlaku di Iran itu. Ini kerana ia adalah tindakan yang bersalahan dengan syariat Islam membunuh orang awam yang tidak bersalah. Aplikasi jihad yang bertentangan dengan Fiqh Jihad hanya akan merosakkan lagi imej Islam. Bukan sahaja di Iran, bahkan sekiranya serangan berlaku di negara Barat juga perlu dikecam.

Ahvaz merupakan sebuah bandar di wilayah Khuzestan. Walaupun turut beraliran Syiah, namun mereka daripada etnik minoriti Arab. Ini kerana Khuzestan berada di sempadan Iraq yang turut berbahasa Arab.

Perbezaan ras ini mendorong kepada penentangan rakyat terhadap Kerajaan Iran yang berpusat di Tehran sejak sekian lama. Penentang di Khuzestan menuntut kuasa autonomi dari Kerajaan Iran.

Khuzestan menjadi wilayah paling sulit untuk Kerajaan Iran uruskan. Sejak Revolusi Iran 1979, Khuzestan sering menjadi titik kekacauan. Pejuang pemisah Arab sudah menuntut kemerdekaan dari Kerajaan Pusat yang tidak lagi memberi wala’ kepada Barat seperti kerajaan sebelumnya.

Perang Teluk Pertama antara Iraq dan Iran yang menyaksikan US menaja ketenteraan Iraq telah menjadikan Khuzestan sasaran utama Iraq di bumi Iran. Dalam tempoh 9 tahun perang berlangsung, Iraq pernah berjaya menguasai Khuzestan tetapi ditolak oleh majoriti Arab tempatan sendiri.

Bahana Arab Spring turut melanda Khuzestan. Pejuang pemisah melancarkan kempen menuntut kemerdekaan dan autonomi dari Kerajaan Iran, menyaksikan siri-siri protes jalanan yang membawa kepada pertumpahan darah.

Sehingga ke hari ini, konflik politik di wilayah tersebut masih tidak berkesudahan. Protes besar-besaran terhadap kerajaan bermula akhir 2017 hingga sekarang di beberapa wilayah Iran turut tidak mengecualikan Ahvaz. Bandar tersebut mencatat angka kematian yang tinggi daripada rusuhan yang berlaku.

Dari segi geo-strategi, Khuzestan adalah kawasan yang sangat penting bagi mempengaruhi iklim politik dan ekonomi serantau. Ia berada di sempadan Iraq, yang mana negara tersebut sudah berjaya dipengaruhi seteru Iran dari blok Barat. Khuzestan juga kaya dengan telaga minyak, selain berada di pesisir Teluk Parsi yang menjadi medan gas terbesar di dunia. Khuzestan turut berkongsi sempadan laut dengan Kuwait dan Saudi, dua negara sekutu US.

Tuduhan yang dibuat oleh Kerajaan Iran bahawa serangan didalangi oleh Barat dan negara teluk ada asasnya. Selain fakta di atas, mengikut rancangan pemetaan semula Asia Barat yang didalangi oleh US, Iran turut tidak terkecuali. Khuzestan secara khususnya akan digabungkan dengan sebahagian Iraq, Saudi dan Bahrain bagi mewujudkan negara baharu yang disebut dengan berbagai nama seperti Shiistan dan Arabistan, merujuk kepada etnik Arab bermazhab Syiah.

Selepas Afghanistan, Iraq dan Syria berjaya dikuasai, sudah tiba masanya Barat melancarkan fasa berikutnya bagi mengacau Iran pula. Selepas pembaharuan sekatan ekonomi, peminggiran dari komuniti OIC, seruan terhadap Negara Islam bagi memerangi Syiah, dan terbaru pembatalan perjanjian nuklear adalah tindakan-tindakan keras US yang menjadi tanda besar akan berlakunya serangan besar terhadap negara bekas empayar Parsi itu.

Khuzestan pernah disebutkan oleh Nabi S.A.W dalam sebuah hadis akhir zaman:

لا تقوم السَّاعَة حتى تقاتلوا خُوزاً وكَرْمَانَ من الأعاجم: حُمْر الوجوه، فُطْس الأنوف، صغار الأعين، كأن وجوههم المجان المطرقة، نعالهم الشعر

“Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah kamu memerangi Khuz dan Kerman di kalangan orang bukan Arab. Wajah mereka merah, hidung mereka penyet, mata mereka sepet dan muka mereka ibarat perisai yang diketuk (bulat), alas kaki mereka diperbuat daripada bebulu.”

[HR Bukhari]

Bagi maklumat lanjut mengenai kupasan hadis di atas juga mengenai Khuzestan, Iran dan geo-politik serantau, boleh dapatkan buku saya bertajuk Huraian Hadis Geo-Eskatologi; Jejak Lokasi dan Kronologi. Banyak lagi maklumat lanjut berkenaan hadis-hadis akhir zaman yang sering menimbulkan tanda tanya. InsyaAllah buku ini membantu kita untuk sama-sama berfikir seterusnya mengambil langkah yang perlu. Boleh berhubung dengan Ustaz Hafiz (0104646295).

14 Muharram 1440
24 September 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 24/9/2018

FB IMG 1537762117386

FB IMG 1537762146906

FB IMG 1537762152198

FB IMG 1537762159637

 

- Advertisement -