LGBT: Pendirian PM tepat, Kabinet perkukuh

takiri1
- Advertisement -

PENDIRIAN YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menolak perlakuan LGBT daripada diterima di negara ini adalah langkah tepat sesuai dengan ajaran Islam, undang-undang negara, norma masyarakat setempat dan nilai kemanusiaan sejagat.

- Advertisement -

Seperti gesaan oleh Timbalan Presiden PAS, YB Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu supaya semua usaha mempertahankan dan mengiktiraf perlakuan LGBT ditolak, saya juga berharap agar tokoh dan pertubuhan yang memanipulasi prinsip hak asasi manusia untuk tujuan tersebut juga dikenakan tindakan sewajarnya tanpa mengira kedudukannya.

Sebagai menegaskan pendirian tersebut juga, Perdana Menteri digesa supaya membawanya kepada Kabinet dan mengeluarkan suatu kenyataan rasmi Kerajaan berhubung perkara ini agar usaha mempromosikan perlakuan songsang ini sama ada dalam bentuk pemikiran atau amalan dapat disekat secara menyeluruh.

Saya juga menyeru rakyat di negara ini agar menolak para pemimpin yang mesra, menyokong dan mendukung agenda LGBT.

Agenda LGBT ini perlu ditentang bagi memelihara jati diri budaya dan sistem kekeluargaan masyarakat di negara ini daripada dirosakkan seperti yang berlaku di negara-negara Barat pada hari ini.

“Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
24 September 2018 | 14 Muharram 1440 – HARAKAHDAILY 24/9/2018

- Advertisement -