Budaya kritikan, dialog dan debat bil-hikmah

- Advertisement -

“SERULAH ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk” (Maksud An-Nahlu: 125)

- Advertisement -

Pada hari Jumaat yang lepas, saya dijemput sebagai panelis untuk sebuah forum yang dianjurkan oleh pihak MPP UIAM, bertempat di Auditorium Utama UIAM, Gombak.

Forum yang bertajuk “Peranan Kritikan, Dialog dan Debat Dalam Pembinaan Negara” telah membariskan panelis yang mewakili tiga blok utama politik negara, iaitu Saudara Shahril Hamdan (Naib Ketua Pemuda Umno), Saudara Syukri Razab (Setiausaha Kerja AMK), dan saya mewakili Pemuda PAS.

Di awal diskusi, saya memuji keberanian dan keterbukaan pihak MPP dan HEP UIAM menyediakan pentas kepada pemimpin parti politik untuk berbahas dan berdialog di hadapan para mahasiswa, bagi membincangkan topik penting negara.

Saya memulakan pembentangan dengan mengungkapkan prinsip menegur, berdialog dan berdebat secara berhikmah, yang terkandung di dalam Surah An-Nahlu, ayat 125 sebagai panduan perbincangan.

Saya menegaskan bahawa dalam konteks pembinaan negara, budaya hujah dan kritikan adalah penting untuk menghapuskan budaya politik ketakutan (politic of fear) yang menjadi penghalang kepada usaha menyeru yang makruf dan mencegah yang mungkar.

Saya juga menyatakan prinsip umum kebebasan bersuara yang perlu dijaga, antaranya dengan menasihati semua pihak ke arah kebaikan dan Taqwa, bukannya bebas bersuara sehingga membawa kepada fitnah, dusta dan permusuhan.

Sesi soal-jawab sangat menarik, dan panelis dilontarkan dengan soalan yang sangat ‘berani’ oleh para mahasiswa. Antara isu sensitif yang disentuh adalah sikap PH, PAS dan Umno terhadap kritikan dan perbezaan pendapat, pendirian terhadap beberapa isu politik semasa serta pendekatan bagi mewujudkan kematangan berpolitik dalam negara.

Ternyata forum tersebut berjaya membuka dimensi baharu kebebasan bersuara dan kebebasan akademik secara lebih matang, seterusnya menjadi asas pembinaan negara di atas prinsip menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

SYAHIR SULAIMAN
Pengarah Strategi DPPM
23 September 2018 – HARAKAHDAILY 23/9/2018

- Advertisement -