PAS sokong penuh penegasan PM

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Malaysia tidak boleh menerima sepenuhnya nilai-nilai hak asasi manusia diamalkan di negara-negara Barat, yang merangkumi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta perkahwinan sejenis.

- Advertisement -

PAS juga menyambut positif ketegasan Tun Mahathir mengkritik pembentangan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkenaan amalan LGBT bahawa nilai-nilai yang dipegang oleh Malaysia adalah berbeza dengan masyarakat Barat.

Sehubungan dengan itu, PAS dengan ini tuntas menolak sebarang cadangan atau tindakan dalam apa jua bentuk bagi mempertahankan amalan LGBT, termasuk mempertikaikan undang-undang yang bertujuan untuk mencegah dan menghukum mereka yang terlibat dengan amalan LGBT.

PAS tegas dengan prinsip bahawa sesiapa sahaja yang dipilih sebagai pemimpin negara Malaysia mestilah mempunyai akhlak yang baik dan budiman dan tidak terlibat langsung dengan gaya hidup songsang dan luar tabii. Pemimpin yang dipilih haruslah berakhlak mulia, berintegriti dan mempromosi gaya hidup fikrah semulajadi yang telah ditentukan oleh Allah SWT, tuhan yang mencipta manusia.

Pemimpin perlu menjadi model baik bagi rakyat yang dipimpinnya dan ia bertanggungjawab di dunia dan akhirat.

YB Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Kubang Kerian
22 September 2018 – HARAKAHDAILY 22/9/2018

- Advertisement -