Tun M punca sebenar perpecahan Melayu

- Advertisement -

MELAYU berpecah-belah ini banyak berlaku zaman Tun. Umno berpecah banyak kali bawah Tun. Mula-mula Tun dengan Tengku Razaleigh Hamzah hingga wujud Semangat 46. Kemudian berseteru dgn DS Anwar hingga lahir PKR. Sekarang dengan Najib pula hingga lahir Bersatu. Jurang kaya dan miskin terlalu melebar di zaman Tun oleh amalan Kronisme dan Nepotisma yang memberi habuan ekonomi kepada segelintir peratus yang kecil dari kalangan elit Melayu yang rapat dengannya dengan alasan ‘hak istimewa orang Melayu’. Walhal jumlah besar orang Melayu terpinggir hanya kerana berbeza pegangan politik dengan Umno yang dipimpin Tun.

- Advertisement -

Kelantan dan Terengganu adalah negeri lebih 90 peratus orang Melayu. Tapi Tun sanggup nafikan hak negeri menguruskan royalti petroleum untuk pembangunan negeri. Anak jati kedua-dua negeri majoriti ini menyaksikan dengan mata kepala sendiri bahawa yang menjadi taikun-taikun industri petroleum ini adalah anak-anak kandung Tun Mahathir sendiri dan kroni-kroni elit yang rapat dengan Umno.

Ini disebut ketidak-adilan. Adalah semula jadi jika ketidak-adilan mewujudkan ketidakpuashatian, tuntutan, rasa marah dan dizalimi. Inilah punca sebenar perpecahan orang Melayu.

PAS konsisten membawa mesej Islam. Kami dilabelkan dengan imej yang bukan-bukan sedangkan apa yang dibawa adalah selari dengan apa yang difatwakan dan diterbitkan pihak berautoriti dalam urusan agama.

Ada satu dua insiden terpencil yang tidak selari pendirian umum PAS yang tidak disokong oleh PAS tidak seharusnya dianggap pendirian PAS. Bila berlaku salah faham PAS banyak kali mengajak kepada perbincangan, muzakarah.

Umno zaman Tun yang tidak berani dan mengelak kerana tidak mahu rakyat faham perjuangan PAS. Media dinafikan untuk PAS.

Lihatlah bagaimana sampai sekarang Tun mempersalahkan pegawai agama kononnya tidak mahu bersuara menyalahkan PAS.

Puncanya mudah. Cuma Tun yang merasa PAS salah kerana ia tidak selari kemahuan Tun dan kefahaman agama yang Tun sendiri bukan ahlinya.

Walhal pegawai-pegawai agama, majoriti para ulamak, tahu apa yang PAS suarakan berasaskan landasan yang benar dan selari pemahaman yang betul mengenai agama.

Jika Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah menyeleweng dan salah dalam ilmu agama dan pemahamannya, layakkah beliau diangkat pemimpin peringkat dunia dalam kepimpinan keilmuan Islam? DS TGHH adalah Timbalan Pengerusi Kesatuan Ulamak Sedunia dan satu satunya dari negara bukan Arab yang berada pada kedudukan itu.

Di saat Muktamar PAS di bawah kepimpinan DS TGHH jelas menyeru perpaduan ummah, yang sedang memecah belahkan adalah Tun Mahathir juga yang rela melihat Islam dan Melayu seperti mengemis sokongan DAP dan Liberalis.

HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
20hb September 2018 – HARAKAHDAILY 20/9/2018

- Advertisement -