Politik keluar parti

shahir adnan
- Advertisement -

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia tertarik dengan beberapa laporan media pada hari ini mengenai beberapa pemimpin utama Umno yang telah membuat keputusan untuk keluar parti.

- Advertisement -

Memang benar, setiap individu tersebut mempunyai hak masing-masing untuk menentukan wadah perjuangan mereka. Sehingga hari ini, tiada mana-mana parti politik termasuk Umno yang boleh menghalang wakil rakyat melompat parti atau menjadi bebas berdasarkan perundangan negara. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa wakil-wakil rakyat di pihak Gagasan Sejahtera (PAS) untuk mengusulkan akta “Anti Lompat Parti” agar mana-mana wakil rakyat yang melompat parti atau keluar parti menjadi wakil bebas, kerusi yang ditandingi tersebut mesti dikosongkan bagi membolehkan rakyat memilih semula.

Walaupun tidak menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang sekarang, namun tindakan keluar parti tanpa mengosongkan kerusi bagaikan tindakan mengkhianati amanah rakyat, mengkhianati perjanjian parti, dan mengkhianati keyakinan pengundi di kawasan mereka.

Pemimpin seharusnya sedar bahawa kemenangan mereka semasa pilihan raya adalah disebabkan oleh jentera parti, khidmat ahli-ahli parti akar umbi, manifesto parti dan kesepakatan antara pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parti yang mendukung calon-calon parti di setiap Parlimen atau Dun.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berharap tindakan sebegini harus diberhentikan agar proses demokrasi terus subur. Rakyat telah memilih pada PRU14. Seharusnya setiap wakil rakyat bekerja keras sehingga PRU15 dan tidak terbabit di dalam sebarang percaturan politik untuk menentukan mana-mana individu terus berkuasa atau menghalang mana-mana individu mendapat kuasa di peringkat tertinggi dalam negara kita.

Demi Bangsa Malaysia!

Shahir Adnan
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera
19 September 2018 – HARAKAHDAILY 19/9/2018

- Advertisement -