Pohon Nurul Izzah dapat fakta tepat

- Advertisement -

SAYA tertarik dengan kelantangan YB Nurul Izzah yang menyuarakan hukuman gantung terhadap kes seorang lelaki dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana memiliki, memproses dan mengedarkan ganja yang diproses untuk tujuan perubatan.
Hujah beliau: “Ganja semakin diterima ramai di banyak negara sebagai tumbuhan yang mempunyai banyak faedah, terutamanya rawatan pelbagai penyakit kronik”.

- Advertisement -

Dari sudut perubatan, saya memohon agar YB mendapatkan maklumat yang tepat dari pihak yang berwibawa. Terdapat dua isu di sini yang perlu difahami.

1. Ganja boleh mengubati penyakit? Tidak terbukti setakat ini. Pihak Berkuasa Ubatan (FDA) hanya meluluskan pemberian minyak ganja terhadap penyakit sawan (epilepsy) jenis dravet syndrome sahaja. Itupun sebagai sebagai rawatan tambahan dari kaedah rawatan sedia ada. Bukti kajian lain masih lagi tidak melepasi kajian klinikal sehingga membolehkan ianya digunakan secara meluas oleh masyarakat. Lagipun apa-apa ubat yang dikategori sebagai dadah wajib mematuhi akta Racun Negara 1952 dan Akta Dadah Merbahaya. Andaikata undang-undang membenarkan, tidak semua orang bebas memiliki, memproses dan mengedar ganja. Ianya wajib diseliakan oleh pegawai yang diberi kuasa oleh undang-undang seperti doktor dan ahli farmasi. Contohnya morfin, sejenis ubat yang termaktub dalam Akta Racun, hanya doktor dan ahli dalam bidang perubatan sahaja boleh memiliki dan memberikan kepada pesakit atas indikasi khusus.

2. Isu kedua adalah hukuman gantung yang dijatuhkan ke atas pesalah. Jika dilihat dari sudut keadilan, ianya mungkin tidak bersesuaian dengan perjuangan hak asasi. Dalam Islam terdapat hukum yang boleh dikiaskan bagi penggunaan ganja yang boleh merosakkan ini. Kias hukumnya adalah kesalahan penggunaan arak. Namun saya tidak mahu ulas lanjut kerana ianya bukan bidang saya. Para alim ulama Islam muktabar perlu dirujuk bagi menentukan hukum yang bersesuaian. – HARAKAHDAILY 18/9/2018

Penulis ialah Pengerusi Majlis Penasihat Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma).

- Advertisement -