Sembilan usul diterima muktamar

- Advertisement -

KUALA NERUS: Sebanyak sembilan usul telah diterima oleh perwakilan dalam Muktamar PAS Pusat Ke-64 dengan tiganya diterima sebulat suara dan enam lagi diterima tanpa bahas.

- Advertisement -

Usul pertama diterima ialah usul antarabangsa iaitu solidariti Baitul Maqdis dibawakan oleh Jawatankuasa PAS Pusat di mana menyatakan mengenai adanya tangan-tangan yang gigih mencetuskan situasi peperangan secara proksi.

Usul dibentangkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor tersebut juga menyebut bahawa pihak berkenaan mengambil peluang daripada pemerintahan kuku besi serta zalim di negeri-negeri yang menindas itu.

Maka usul tersebut mengajak seluruh rakyat Malaysia bersolidariti bagi mengembalikan dan memperjuangkan Baitul Maqqdis dan memperhebat usaha boikot, lupus dan sekat terhadap Zionis-Israel.

Daripada PAS Kawasan Kota Raja dan Lenggong pula, usul politik bagi memastikan peranan berkesan PAS dalam gerakan pembangkang di mana hala tuju bagi kepentingan Islam dan rakyat Malaysia dibacakan oleh Yang Dipertua PAS Kota Raja, Mohamed Diah Baharun.

Usul ketiga yang dibentangkan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat, melalui wakilnya Ustaz Zulkifli Ismail iaitu berkaitan bantahan Unified Examinations Certificate (UEC) yang dikatakan sebagai tidak menggunakan sukatan pelajaran Malaysia secara menyeluruh.

Manakala enam usul yang telah diterima tanpa bahas oleh perwakilan kali ini ialah, mempertahankan akidah dan kedudukan Islam di dalam negara oleh Dewan Ulamak PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Juga usul penubuhan ‘Task Force’ PAS untuk Malaysia Timur diusulkan oleh PAS Kawasan Labuan, dan usul memantapkan Dewan Himpunan Penyokong PAS daripada Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Manakala usul pengiktirafan untuk sekolah agama dibawa oleh PAS Kawasan Lenggong dan usul mengukuhkan Gagasan Sejahtera dan usul kesatuan umat daripada Dewan Pemuda PAS Malaysia. -HARAKAHDAILY 16/9/2018

- Advertisement -