Perutusan Hari Malaysia 2018 MB T’ganu

- Advertisement -

TANGGAL 16 September 1963 menyaksikan pengisytiharan penubuhan persekutuan Malaysia. Peristiwa ini sangat bermakna bagi rakyat Malaysia dan juga rakyat Terengganu yang disambut saban tahun dengan semangat patriotisme yang tinggi.

- Advertisement -

Pembentukan Malaysia amat unik kerana di dalamnya terdiri daripada rakyat berbagai komposisi agama, kaum dan etnik tetapi hidup harmoni di bawah suatu Perlembagaan yang menjamin hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat.

Kebebasan ini bukan sahaja terhad kepada amalan agama, bahkan juga terhadap bahasa, adat resam dan budaya.

Namun begitu, kebebasan yang dinikmati harus dipandu dengan ilmu yang membezakan hak dan batil supaya tidak timbul kemudaratan dan kerosakan pada diri, agama, bangsa dan negara di kemudian hari.

Era dunia tanpa sempadan masa kini mencetus ledakan berita dan informasi yang dapat dicapai dengan mudah dan cepat daripada pelbagai sumber.

Rakyat yang bebas dan bijak sewajarnya meneliti dan menyemak maklumat yang diterima dengan merujuk sumber yang benar sebelum membuat sesuatu ulasan atau komentar.

Usaha ini walaupun dipandang kecil tetapi mampu mencegah perbalahan dan perpecahan dalam negara akibat ketidakfahaman dan manipulasi informasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kepada rakyat Negeri Terengganu, saya menyeru agar melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang luas, jadikannya sebagai perisai diri dan negeri daripada musuh yang sedang menguji kita.

Di samping itu, terus berpegang teguh pada ajaran Islam yang syumul berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah yang membawa kepada kemajuan, keberkatan dan kesejahteraan untuk semua.

Di kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia dan sayangi Malaysia kita.

“Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
16 September 2018 – HARAKAHDAILY 16/9/2018

- Advertisement -