PAS telah lama praktik BPMS di arena dunia

KUALA NERUS: PAS telah secara giat menggerakkan agenda Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) di peringkat antarabangsa sejak sekian lama, demikian kemuka Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
 
Terang beliau, PAS pernah memberi pandangan supaya Gerakan Islam berhati-hati dalam peristiwa Arab Spring atau Arrabiul  Arrabiy yang memanaskan dunia Arab; menyebabkan rakan-rakan gerakan Islam di Negara Arab sangat bersemangat. 
 
“Laju ke depan. Saya pun runsing kerana laju sangat. Saya tulis surat kepada Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, (Dr) Muhammad Badi’ (Abdul Majid Saamy), jangan laju sangat. Masa itu Mursi dah jadi Presiden. Orang muda-muda dah angkat tangan nak hidupkan semula khilafah, belum apa-apa. Laju sangat. Saya tulis surat, jangan laju sangat, mesti matang dan sejahtera. 
 
“Kita (juga) ada pengalaman di Indonesia Parti Masyumi menang Pilihan Raya 1955. Islam memerintah Indonesia. Tak sampai setahun, dicantasnya. Di Algeria, Islam pernah menang Pilihan Raya Majlis Tempatan di Algeria, 70 peratus diharamkan Parti Islam Algeria. Jangan gopoh, mesti mengikut BPMS.
 
“Matang, jangan gopoh sangat, jangan nak 100 peratus. Jangan masuk gear empat terus. Masuk gear satu dulu, barulah gear dua, gear tiga, gear empat. Ini nak masuk gear empat terus. Ini berlaku. Mesti mengikut BPMS,” ujarnya.
 
Beliau terdahulu menegur tuntutan ahli-ahli Muktamar lebih laju daripada pimpinan Pusat yang dibimbangi tidak sempat menekan brek kerana terlalu laju ketika menyampaikan Ucapan Penangguhan Muktamar PAS Kali Ke-64 di sini hari ini.
 
“Kita berjaya. Di Kelantan kita memerintah kali yang pertama 19 tahun. Kali kedua nak masuk 30 tahun dah. Terengganu kita ambil balik dengan BPMS, dengan cara yang berlainan. PAS tidak diharamkan. Bukan kita penakut. Kita penakut? Tidak. 
 
“Kita melaksanakan politik matang dan sejahtera. Muawiyah R.A pernah berkata, kalau dihubungkan aku dengan orang, dengan seurat rambut, tak putus. Kalau orang tarik aku hulur, orang hulur aku tarik. Seurat rambut pun tak putus. Kata-kata Muawiyah.
 
“Walaupun dalam peperangan Ali dengan Muawiyah, Ali yang betul, Muawiyah yang salah. Saya bukan Syiah, bukan Syiah. Tetapi dari segi politik Islamnya Saidina Ali yang betul, diiktiraf jadi Khulafa’ ar-Rasyidin. Jangan jadi Syiah. Syiah terlajak sangat, terlajak. Kita jangan terlajak. 
 
“Jangan kita cela Nabi dan Sahabat R.A. Kita minta gunakan BPMS. Saya pergi ke Iran, saya melawat Iran. Saya paling banyak acapkali pergi daripada orang lain makan nasi minyak Iran. Berjumpa dengan imam dia, Imam Khomeini. Berjumpa dengan Presiden, Ahmadinejad, pernah jumpa,” ujarnya.
 
Jelas beliau, Syiah juga membuat islah dan pembaharuan dengan mengadakan pilihan raya sedangkan dalam mazhab Syiah tiada pilihan raya, bahkan mereka melaksanakan hukum Hudud, menukar hukuman rejam sampai mati kepada tembak hingga mati. 
 
Bahkan terangnya, Imam Khomeini juga membuat kenyataan supaya jangan mencela Sahabat dan Ummahatil Mukminin, tetapi masih ada golongan degil yang tidak berubah kerana taksub mazhab itu.
 
Menurut Tuan Guru, Presiden Turki, Reccep Toiyib Erdogan juga telah melaksanakan BPMS dalam menghadapi Israel, Amerika dan Barat yang menyerang ekonomi dan politiknya apabila Turki bergabung dengan Russia, China dan Iran menjadi tiga serangkai. 
 
“Bukan jadi Komunis. Tetapi strategi politik yang mesti BPMS, ini dia. Oleh kerana PAS telah menunjukkan BPMS, PAS diberi kepercayaan untuk melibatkan diri dalam krisis antarabangsa, khusus di negeri-negeri umat Islam. Isu Palestin, isu Bosnia, isu Aceh, isu Selatan Thailand, isu Selatan Filipina, isu Rohingya, PAS dilibatkan. 
 
“Maka berlakulah ta’awun PAS dengan Umno. Ini bukan baru. PAS berta’awun dengan Umno dalam isu-isu ini. Itu saya pakai baju sedondon itu. Ada orang itu tak boleh pakai baju sedondon ini sama. Sama dengan Najib, dah (dianggap) ikut dia (Najib) dah. Ini BPMS. 
 
“Kita menyaksikan bagaimana kejayaan kita mendamaikan Aceh. Kerajaan dengan kerajaan, G to G. Kita dengan Gerakan Aceh Merdeka. Saya pergi ke Sweden tiga kali, ditemani Dr Samsuri Mokhtar Setiausaha Politik pada masa itu, pergi ke sana, Dato’ Mustafa Ali, berjumpa dengan pemimpin GAM, Almarhum Tengku Hasan Tiro Raja Aceh dengan Tengku Malik Mahmud, ini Raja Aceh, dianggap Raja oleh orang Aceh. 
 
“Dengan pemimpin-pemimpin dia. Kita mengambil kesempatan kerana Dato’ Asri, Tuan Haji Yusof Rawa almarhum, dan lain-lain menjadi pelindung kepada pemimpin ini ketika mereka di Malaysia. Masa konfrontasi dengan Indonesia dulu, mereka ramai di sini, datang. Kita menjadi sahabat yang ikrab dengan mereka. 
 
“Bila habis konfrontasi dengan Indonesia, mereka terpaksa keluar, tinggal di Amerika dan dapat suaka politik di Sweden. Kita jadikan hubungan baik ini jalan untuk mendamaikan Aceh. Kita pergi. Kerajaan Malaysia tahu kita pergi di sana, diizinkan,” ceritanya.
 
Maklumnya, beliau juga terlibat dalam perdamaian krisis Yaman walaupun PAS parti pembangkang, di mana Kerajaan Malaysia di masa itu melalui Wisma Putra mengarahkan Kedutaan Malaysia di Sana’a supaya melayan beliau sebagai wakil untuk menyelesaikan. 
 
“Duta Malaysia pun terkejut, bagaimana parti pembangkang melibatkan diri dalam krisis Yaman. Dia disuruh gunakan kereta kedutaan, kedutaan Malaysia. Dia kata bahaya sikit, bendera Malaysia ini berjalur macam bendera Amerika. Nanti kalau al-Qaeda tengok, tembak, dia ingatkan Amerika. 
 
“Tapi tak apalah. Dan kita bertemu dengan Presiden Yaman, Ketua Ulamak dia, dan Ketua-ketua Kabilah pergi ke Bahrain, pergi ke Iran, jumpa Menteri Luar dia kerana Houti adalah Mazhab Syiah. Supaya mereka libat sama dalam perdamaian. 
 
“Pada awalnya kita berjaya. Tapi akhirnya kembali balik. Itu cerita lain. Apa yang penting ialah kita terlibat dalam isu antarabangsa. Dalam isu Rohingya. Kami jumpa dengan Surin, Menteri Luar Thailand. Almarhum, nama dia Abdul Halim. 
 
“Surin ini orang Islam, jadi Setiausaha Agung Asean. Dia seorang Menteri Luar Thailand. Berjumpa dengan Surin, bincang, supaya dia menenangkan orang Buddha di Thailand.
 
“Agama Buddha melarang kekerasan, macam mana boleh berlaku di Myanmar? Orang Buddha begitu ganas. Ini bercanggah dengan ajaran Buddha. Kita bincang dengan Surin,” jelas Tuan Guru menunjukkan Budaya Politik Ta’awun sudah dilaksanakan tetapi tidak semestinya diumumkan dalam surat khabar. -HARAKAHDAILY 16/9/2018