Jamin PAS beristiqamah dengan aqidah perjuangan

- Advertisement -
KUALA NERUS: PAS akan hidupkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera melalui pelaksanaan Tahaluf Siyasi dan Ta’awun Siyasi, demi kebaikan rakyat dan negara dengan ketegasan dan kewajipan beristiqamah terhadap akidah perjuangan. 
 
Demikian jaminan disebut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Ucapan Penangguhan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini.
 
“Akidah perjuangan tak ada tolak ansur. Islam memimpin, memimpin bersama Islam tak ada tolak ansur, tak ada tolak ansur. Mana-mana parti yang cuba nak hilangkan Islam memimpin, tak boleh kerjasama dengan kita. Mana-mana parti yang nak tolak kepimpinan Islam, tak boleh terima. 
 
“Kita menolak reformasi tanpa Islam. Orang ajak kita reformasi, taghyir, reformasi, di mana Islamnya? Tak tahu. Kita tak boleh ikut. Sekerat jalan saja bila tak nyata Islamnya kita tak boleh ikut. Kita menerima perlunya perubahan yang diizinkan oleh Allah dan Rasul-Nya. 
 
“Nabi kita Muhammad S.A.W mengajar kita, bagaimana apabila pemimpin-pemimpin Quraisy menemui Nabi S.A.W untuk menyelesaikan masalah krisis di Makkah, sanggup menawarkan Nabi jadi Raja di Makkah. Nak diberi harta kekayaan yang melimpah ruah, tapi jangan Islam memimpin, jangan Islam ditegakkan. 
 
“Apa jawapan Nabi? Demi Allah, sekiranya diletakkan matahari di kananku, bulan di kiriku, supaya aku meninggalkan Islam ini, aku tak berganjak walaupun aku mati kerananya. Ini bukan bulan matahari bumi, nak beri Putrajaya saja dah tak tahan, tak tahan, tak tahu Islam di mana. Kita tak boleh terima pendekatan ini. Kita tegas,” ujarnya.
 
Tambah beliau, sikap Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali ketika menjadi khalifah juga tidak berganjak dengan Islam kerana membawa keadilan dan kebaikan untuk semua di mana perlu PAS membina kekuatan dengan mewujudkan kepimpinan berilmu dan berpengalaman. 
 
Tindakan itu anjurnya, melibatkan campuran ulamak yang mengetahui ilmu-ilmu dunia, dan kalangan profesional, namun mengetahui ilmu agama. 
 
“Wakil Pahang yang berucap tadi pakai kopiah itu bukan ustaz itu, jangan ingat dia ustaz, tak. Itu engineer, lulus Universiti Amerika di Barat. Jangan kata Ustaz. Ada pula orang duduk keliru pasal Ustaz-ustaz ini, biar ke dialah. Tak boleh mengguna perkataan Ustaz, tak boleh guna.
 
“Ustaz ini bahasa Arab. Bahasa Melayu (selayaknya) Professor. Professor (para) ustaz ini sebenarnya. Orang Arab bila sebut usstaz itu (merujuk) professor, tinggi. Orang Melayu bila sebut ustaz, orang yang tahu agamalah. 
 
“Dan semua orang PAS, orang Umno panggil ustaz. Ini yang menariknya. Termasuk Pak Subky kita, orang panggil Ustaz juga,” ujar Tuan Guru merujuk pihak yang cuba mempolemik hal tersebut. 
 
Sambung beliau, PAS membina parti dengan ilmu dan pengalaman di mana tema “Islam Memimpin” mesti dihayati dan orang Melayu jangan marah dengan keputusan PRU yang didominasi bukan Islam. 
 
Perkara itu terjadi menurut Tuan Guru, kerana orang Melayu juga yang memberi undi kepada orang bukan Islam di mana mereka mendominasi Kerajaan PH kini.
 
“Kita kena sedar tema Islam Memimpin. Bukan kita taksub, tidak. Kerana dalam sejarahnya hanya Islam memimpin boleh mewujudkan keamanan. Lain daripada Islam tak boleh mewujudkan keamanan. Orang Melayu mesti faham, bukan dengan Melayu dia, dengan Islam dia. 
 
“Dalam sejarah Islam, orang Turki asal bukan Islam, memimpin Kerajaan Uthmaniyyah. Salahuddin al-Ayyubi Qurisy, bukan Arab. Turki bukan Arab. Bila Turki menegakkan Islam, Turki jadi pemimpin. 
 
“Qurdisy menegakkan Islam, Salahuddin al-Ayyubi jadi pemimpin. Begitulah Melayu kalau tegakkan Islam, Melayu layak. Kalau orang Cina India dia terima Islam, dia anut Islam, dia dominasi, dia layak memimpin dengan Islam. Ini dia, boleh begitu,” ujarnya memuhasabahkan. -HARAKAHDAILY 16/9/2018
- Advertisement -