Isu Orang Asal bertujuan burukkan Kerajaan Negeri

- Advertisement -

KUALA NERUS: Masalah di Kelantan berkaitan Orang Asal ialah tuntutan didalangi oleh NGO Jaringan yang memainkan peranan menjadi dalang dan menghasut sebahagian Orang Asal untuk menuntut tanah adat di negeri itu.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sedangkan dalam amalan di Malaysia, tanah adat hanya terdapat di Sabah dan Sarawak sahaja dan tiada di negeri-negeri Semenanjung.

“Kelantan sendiri kita menggunakan Kanun Tanah Negara dan juga Enakmen Rizab Melayu yang digubal tahun 30-an lagi. Lebih tua daripada Akta Orang Asal. Akta Orang Asal ini baru sahaja.

“Dan 90 peratus lebih tanah di Kelantan ini ialah Tanah Rizab Melayu. Jadi itu asas, sebab itu Kerajaan Negeri tidak menerima tuntutan tanah adat di Kelantan. Tetapi kita menghormati hak pendudukan Orang Asal itu.

“Maka sebab itu Kerajaan Negeri berdasarkan saranan yang diberikan telah angkat cadangan-cadangan (untuk) kawasan Orang Asal yang perlu dirizabkan atuapun diwartakan. Dan kita telah mewartakan empat kawasan.

“Lebih kurang 1,000 ekar semua sekali. Dan ada beberapa lagi cadangan yang dalam proses penelitian dan juga semakan akhir oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan,” terangnya.

Penjelasan beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan itu diberikannya dalam Ucapan Penggulungan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini.

Pendirian kerajaan itu juga menurutnya, menepati keputusan mahkamah apabila baru-baru ini Orang Asal membawa kes tuntutan tanah adat tersebut, tetapi keputusan mahkamah tidak mengiktiraf tanah adat.

Cuma katanya, mereka meminta Kerajaan Negeri merizabkan dua kawasan untuk Orang Asal iaitu kawasan penempatan dan kawasan bercucuk tanam bagi Orang Asal.

Keputusan mahkamah ini ujarnya, bertepatan dengan dasar dan pendirian Kerajaan Negeri yang mengiktiraf kawasan penempatan dan kawasan bercucuk tanam Orang Asal.

“Sebab itulah tak ada kampung-kampung Orang Asal yang kita ceroboh, tak ada kampung yang diceroboh. Kawasan bercucuk tanam pun tidak diusik.

“Lesen-lesen yang diberi kepada syarikat-syarikat sama ada untuk pembalakan ataupun untuk ladang-ladang hutan tidak melibatkan kampung dan juga kawasan bercucuk tanam Orang Asli.

“Cuma dalam proses perizaban ini, memakan masa kerana dia melibatkan perkara yang bersifat teknikal,” jelasnya lagi.

Maklum Dato’ Amar juga, pihak Kerajaan Negeri telah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan NGO Jaringan tetapi mereka tidak mengiktiraf peruntukan yang ada sedangkan mereka bukan badan berdaftar.

Menurut beliau, sebahagian daripada tuntutan mereka itu tidak masuk akal dan tidak boleh dilaksanakan contohnya dalam memorandum dikemukakan meminta satu keluarga Orang Asal, diberi tanah 50 ekar.

“Kita kira-kira secara kasar, Kerajaan Negeri terpaksa mengeluarkan 200,000 ekar tanah kepada seluruh masyarakat Asli yang berada di Kelantan. Maknanya, habis Gua Musang.

“Jadi harap kita boleh faham pendirian dan juga dasar kerajaan kita. Kita tidak sama sekali menindas Orang Asal. Hak mereka kita berikan.
Dan Jaringan ini ditolak oleh hampir semua Tok-tok Batin dan juga 90 peratus masyarakat Orang Asal.

“Yang datang ke kampung-kampung di Kelantan ini orang yang di luar daripada Kelantan. Yang datangnya kemudian mengadakan ‘blockade’ dan sebagainya,” ujarnya memaklum tindakan pihak tersebut untuk memburuk-burukkan Kerajaan Negeri. -HARAKAHDAILY 16/9/2018

- Advertisement -