Ahli PAS perlu sokong Harakah

- Advertisement -

KUALA NERUS: Ahli-ahli PAS diseru menyokong Harakah dengan menjadikan akhbar lidah rasmi parti sebagai rujukan utama bagi membantu Harakah berkembang dan meningkatkan pencapaian.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah mengharapkan sokongan sepenuhnya ahli-ahli PAS untuk membaca Harakah dan menjadikan akhbar itu rujukan utama yang terkandung maklumat tepat, terkini dan sahih mengenai parti.

“Kalau kita sebagai ahli PAS tidak baca Harakah memang susahlah Harakah ini nak berkembang dan meningkatkan pencapaian, sebab itu tuan-tuan boleh jadikan Harakah sebagai rujukan utama sebelum melihat media lain,” katanya yang juga Pengerusi Harakah dalam ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan di sini hari ini.

Jelasnya pengeluaran Harakah cetak akan terus dikekalkan dalam masa yang sama memperkasakan edisi atas talian, Harakahdaily.

“Kandungan Harakah, sebagaimana kita tahu bahawa media cetak hari ini menghadapi masalah bukan hanya kepada Harakah termasuk media cetak lain.

“Kita akan kekalkan pengeluaran Harakah cetak dalam masa yang sama kita akan memperkasakan edisi online, Harakahdaily. Kita akan usaha supaya Harakahdaily ini boleh bekalkan maklumat yang terkini, tepat dan sahih bagi pihak parti.

“Untuk makluman Harakah sedang dalam penyusunan semula yang melibatkan pengurusan dan kakitangan selepas akhbar ini diletakkan di bawah pengurusan Galeri Media Serbanika,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/9/2018

- Advertisement -