PAS yakin tambah undi PRU15

r3
- Advertisement -

KUALA NERUS: Muktamar Tahunan PAS ke-64 pada tahun 2018 ini diadakan pada pertengahan bulan September, di luar kebiasaan muktamar yang biasanya diadakan pada bulan Jun setiap tahun.

- Advertisement -

Penangguhan itu adalah untuk memberi ruang yang seluasnya kepada persiapan dan gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 14 yang telah berlangsung pada 9 Mei lalu.

Menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, PAS dan rakan-rakan Gagasan Sejahtera turun ke gelanggang PRU14 di padang yang tidak sama rata bersaing dengan Pakatan Harapan yang menguasai media sosial tanpa batasan akhlak dan moral.

Dalam serba kekurangan ini ujarnya, PAS telah menempa pencapaian yang baik, menyaksikan kerusi Dun PAS bertambah dan jumlah negeri yang dikuasai juga telah bertambah.

Tambah beliau, PAS berjaya mempertahankan Kelantan, mengambil semula Terengganu, hampir menguasai Kedah dan menambah kerusi di Pahang.

Malah katanya, sokongan pengundi teras dan pengundi atas pagar kepada PAS juga bertambah.

Tambah beliau, ia dilihat daripada peningkatan satu kali ganda keseluruhan undi yang diterima melebihi 2.04 juta, atau 18% undi popular.

“Saya berkeyakinan bahawa angka ini akan terus meningkat, dan insya Allah PAS mempunyai potensi yang lebih cerah dalam PRU15,” katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan PAS ke 64 di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, PAS telah menjalankan kajian ‘post-mortem’ terhadap pencapaian dalam PRU14, dengan mengambil kira pandangan semua pihak, sama ada dalaman parti melibatkan jentera negeri dan kawasan, serta pandangan luar di kalangan ahli akademik, badan pemikir dan tokoh masyarakat.

Semua maklumbalas dan pandangan yang diterima akan diperhalusi oleh Jawatankuasa Post-Mortem, katanya.

Ia, ujarnya adalah bagi mengemukakan syor dan tindakan yang perlu diambil bagi menghadapi PRU15 kelak.

Atasi kelemahan

Perkara yang dititikberatkan kata beliau adalah, aspek kelemahan yang perlu diperbaiki.

Beliau berkata, antaranya dalam penguasaan media sosial, penyampaian mesej kepada bukan Islam dan pengundi muda, serta pendaftaran pengundi.

Tambah beliau, aspek positif yang perlu dikekalkan dan ditingkatkan, antaranya penambahan ahli dan cawangan, kesediaan jentera, kualiti calon dan tawaran manifesto yang boleh dilaksanakan.

“Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh jentera dan calon PAS yang bekerja siang dan malam untuk memenangkan PAS dan Gagasan Sejahtera.

“Juga ucapan terima kasih tidak terhingga kepada para pengundi dan dermawan yang memberikan kepercayaan kepada PAS dan Gagasan Sejahtera dalam PRU14 yang lalu. Semoga semuanya diterima sebagai amal soleh di sisi Allah SWT,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 15/9/2018

- Advertisement -