Memali: Luka oleh Umno masih terasa, tetapi…

- Advertisement -
“Luka kita atas apa yang dibuat, atas kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin Umno, kita masih ingat bagaimana ramai pemimpin-pemimpin kita yang merengkok dalam tahanan ISA. Pemimpin kita dibelasah, anggota Unit Amal kita dibelasah, ketika mahu menyuraikan apa-apa himpunan.
 
“Termasuklah apa yang berlaku dalam peristiwa berdarah tahun 1985, Peristiwa Memali. Walaupun luka itu luka besar, bukan luka kecil, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Walaupun luka itu luka besar, tetapi PAS, berjiwa besar insyaAllah. 
 
“Demi survival Islam, demi untuk memastikan kita hendak menyelamatkan rakyat, yang hari ini ditipu, yang hari ini kita lihat kos hidup terus membelit rakyat. Maka kita hendak memastikan perkara ini insyaAllah direalisasikan, luka besar itu kita lupa dan kita berlapang dada. Mengambil apa yang ditunjukkan oleh Nabi kita S.A.W,” demikian ucapan bersemangat oleh Ustaz Yusni Mat Piah salah seorang anak kepada syuhada Memali.
 
Beliau yang mewakili Pulau Pinang sebagai pembahas mengajak seluruh ahli PAS agar melihat dengan kaca mata Islam terhadap perkara yang membolehkan kebaikan Islam diketengahkan.
 
Adun tunggal PAS di Dun Pulau Pinang itu juga membawa contoh pembunuhan Saidina Hamzah oleh Wahsyi, sebagaimana bencinya Rasulullah S.A.W apabila melihat Wahsyi, baginda tetap memaafkan beliau atas sifat pemaaf yang dianjurkan oleh Islam.
 
Taawun siyasi mesti dilihat dengan lebih mendalam ke arah mengadapi PRU15, bagi memastikan blok pembangkang menumpukan strategi satu lawan satu untuk menewaskan PH supaya kelangsungan Islam di Malaysia dapat diteruskan.
 
Gabungan pembangkang diyakini boleh menang besar jika cadangan ini diteruskan dengan perancangan yang teliti kerana banyak kerusi yang dimenangi PH adalah kerana pertembungan tiga penjuru.
 
Beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pimpinan bagi memutuskan segala perkara penting bagi kebaikan Islam dan ahli seharusnya mempercayai keputusan pimpinan ini.
 
Wakil Rakyat Penaga itu juga mengimbau kenyataan Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang disiarkan di dalam majalah Asia Week pada tahun 1984 di mana beliau menegaskan Umno mesti menerima Islam bagi penyelesaian masalah perpecahan umat Islam.
 
Tuan Guru ketika itu memberi kata putus bahawa bagi merealisasikan hal tersebut, Al-Quran dan hadis mesti diutamakan oleh Umno.
 
“Malangnya ketika itu Umno-BN mereka memerintah negara, mereka bukan sebagai pembangkang, maka pandangan ini ditolak. Mereka hanya mahu berdebat yang debat itu tidak boleh menyelesaikan masalah,” ujar beliau berkenaan sikap Umno ketika berkuasa dahulu. -HARAKAHDAILY 16/9/2018
- Advertisement -