Bersosial dan bermasyarakat dengan akhlak Nabi

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Amilin PAS perlu bersosial dan bermasyarakat dengan akhlak Rasulullah S.A.W supaya mendapat kepercayaan daripada rakyat, demikian seru Perwakilan Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Khalil Yahaya.

- Advertisement -

Jelas beliau, dengan akhlak juga akan memastikan masyarakat mendapat pentarbiyahan daripada yang ditetapkan oleh Allah S.W.T dan juga sunnah ditinggalkan oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W.

Pernyataan itu diutarakannya dalam perbahasan Ucaptama Ketua Pemuda pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Kali Ke-59 di Duyong Marina & Resort, di sini semalam.

“Dalam kita bersosial, bagi melaksanakan tuntutan syahadah, pada zaman sekarang, kita terpaksa berhadapan dengan golongan-golongan yang mungkin 10 tahun hari itu kita tak dengar. Golongan era baru, golongan wow, golongan viral.

“LGBT, Sosialis, Liberalis, dan golongan-golongan yang menolak agama Allah S.W.T. Tetapi golongan ini perlu kita dekati mereka dengan penuh hikmah yang diajar oleh Nabi Muhammad S.A.W. Dan kita kena jujur dengan agama Allah, kita kena jujur dengan agama yang dibawa oleh Nabi.

“Jangan ada sikap daripada kita seorang pendakwah sombong dengan Nabi Muhammad, sombong dengan Allah. Kita larang supaya masyarakat jangan menipu, kitalah yang menipu. Kita larang masyarakat jangan berasuah, kitalah yang berasuah.

“Kita melarang masyarakat jangan terima itu ini daripada orang-orang yang tak tertentu, kitalah puncanya,” tuturnya memberi peringatan di hadapan perwakilan Pemuda PAS dari lebih 180 Kawasan.

Katanya, PAS kini membawa ‘trademark’ baru yang dipandang oleh masyarakat, walaupun PRU14, hanya kekalkan Kelantan, mendapat Terengganu, menjadi tunggal di Selangor, selain di beberapa negeri lain.

Menurutnya, cabaran-cabaran tersebutlah perlu ditangani menerusi kerja dalam masyarakat dengan membawa wadah yang telah ditinggalkan Nabi Muhammad S.A.W.

Antaranya perinci beliau, amilin PAS harus berperanan penting dalam masyarakat sekeliling, bermula daripada keluarga sendiri, kejiranan dan masyarakat daerah yang didiami.

“Amilin PAS harus bangkit memenuhi surau dan juga masjid terutamanya pada waktu solat Subuh. Tatkala ada majlis-majlis keramaian, kenduri-kendara di tempat masing-masing, kitalah yang turun akan membantu setiap majlis-majlis yang berlaku di tempat kita.

“Tatkala ada penduduk yang susah, kitalah pembuka jalan penyelesaian. Ingat dalam perkara kebajikan, kita daripada pemudalah yang akan menjuarai isu kebajikan masyarakat terutamanya yang berada di ceruk di hujung-hujung dunia. Di daerah kampung yang amat miskin.

“Kita buka kitab sirah perjuangan sirah Nabi-nabi yang terdahulu. Bagaimana umat yang terdahulu diuji oleh Allah S.W.T,” ujarnya membaca dan mengaitkan cabaran itu sebagaimana ayat 214 surah al-Baqarah. –HARAKAHDAILY 15/9/2018

- Advertisement -