“Best offer, but not so best marketing”

- Advertisement -
KUALA TERENGGANU: Segala medium yang ada sesuai dengan perubahan zaman perlu diambil sebagai peluang untuk menyampaikan ajaran Allah S.W.T dengan hikmah dan kebijaksanaan sebagaimana seruan di dalam ayat 125 surah an-Nahl.
 
Perwakilan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Ir Ahmad Rafaie Dato’ A Rashid berkata, mesej Islam mesti disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami sebagaimana pelbagai kaedah digunakan oleh para Nabi terdahulu kepada masyarakat.
 
Seruan tersebut diutarakannya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Ucaptama Ketua Pemuda pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Kali Ke-59 di Duyong Marina & Resort, di sini semalam.
 
Menurutnya, PAS telah menghasilkan bahan-bahan yang sangat baik untuk disampaikan kepada rakyat seperti huraian mengenai Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS), mnifesto dan sebagainya.
 
“Adakah kita telah ‘explore’ sehabis baik ‘al-Hikmah’ melalui segala macam media yang kita ada? Belum. Sebab itulah tidak sampai, tidak menyeluruh penyampaian kita (kepada rakyat). (Siaran langsung) Muktamar hari ini pun yang ‘view’ dalam 300 orang sahaja.
 
“Silap-silap dalam dewan ini lebih ramai daripada ‘view’ dekat luar. Mereka tidak minat, kita tidak boleh salahkan siapa-siapa. Tetapi untuk berubah, kita ada kuasa untuk mengubahnya. Kita ada ‘best offer, but not so best marketing’. Tidak sampai kepada rakyat.
 
“Siapa di sini menjadikan Harakahdaily sebagai sumber berita utama? Berapa ramai yang beli akhbar Harakah setiap keluaran? Berapa ramai yang selalu tekan ‘button share’ pada ‘posting’ oleh ‘website’ rasmi PAS?” muhasabahnya.
 
Beliau menyenaraikan tujuh perkara yang perlu diberi perhatian iaitu pertama, PAS tidak serius kepada media sosial, sebaliknya mengambil mudah; dan kedua tiada ‘master mind’ untuk memikirkan ‘master plan’ untuk perancangan sistematik media.
 
Ketiga bentangnya, tiada pasukan yang betul-betul berfungsi dalam media; keempat, kurang promosi dan kelima, ketidakselarasan pengurusan media di mana kenyataan rasmi pimpinan PAS keluar di laman individu atau tempat lain sebelum ke medium rasmi.
 
Sementara keenam kesalinya, tidak dapat bergantung maklumat daripada Twitter dan Instagram rasmi PAS sendiri; dan ketujuh, cabaran jualan Harakah cetak yang merudum kerana pelan pemasaran yang dilaksanakan tidak berjaya.
 
Sehubungan itu, mewakili Pemuda PAS Pulau Pinang beliau mengenengahkan tujuh cadangan tajdid media iaitu pertama; pasukan pemasaran dengan mewujudkan satu jabatan atau unit berfokus dan kedua, mewujudkan perancangan utama (master plan).
 
“Ketiga, dana. Sudah semestinya kita perlukan dana besar untuk projek ini. Kemudian keempat, latihan teknikal berkaitan media sosial yang belum ada lagi setakat ini. (Macam) Jabatan Pilihan Raya ada latihan PACA.
 
“Keenam, penyelarasan nama-nama media sosial dan terakhir, menyeleras dan melatih ‘cybertrooper’,” ujar beliau pada pembentangan perbahasannya dihadapan hampir 1,500 perwakilan, pemerhati dan tetamu serta pihak media itu. -HARAKAHDAILY 15/9/2018
- Advertisement -