PM 4.0 pernah nafikan hak rakyat Kelantan

- Advertisement -

RAKYAT benar-benar berharap Malaysia Baharu ada perubahan. Berubah cara berfikir, pendekatan dan strategi. Namun malangnya kata orang kampung ia sekadar mimpi siang hari.

- Advertisement -

Lebih-lebih lagi kaedah berpolitik. Ada orang sebut – sekadar salin kulit. Dahulu biru tua, sekarang biru muda.

Kalau sebelum ini ada menteri BN asyik menjaja, kerajaan pusat banyak membantu Kelantan. Sekarang drama lama itu juga diulang-ulang.

Pada 21 Julai 2017 bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, kerajaan pusat komited membantu Kelantan demi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya peruntukan terus disalur untuk pembangunan negeri berkenaan yang tertinggi dalam Rancangan Malaysia Ke-11. Jumlahnya RM12.7 bilion.

“Selama 27 tahun Barisan Nasional menjadi pembangkang di negeri tersebut tapi kita tetap berbuat baik dengan rakyat Kelantan,” katanya pada satu program di Ketereh.

Kenyataan Kelantan mendapat peruntukan pusat bukan sekadar dijaja menteri, sebaliknya pegawai di Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) juga membebel isu serupa.

Nawaitunya jelas, mahu menggambarkan PAS tidak mampu mentadbir Kelantan. Dan babak-babak seperti itu diulang semula di bawah Malaysia baharu sekarang.

Lalu berkatalah Menteri Kewangan, bantuan kewangan pendahuluan daripada kerajaan pusat kepada Kelantan berjumlah RM913 juta.

Ia bagi tempoh 2013 hingga 2017, pemberian bagi negeri yang kekurangan wang dalam akaun mengurus.

Kata seorang pemimpin, samalah dengan seorang ayah mempersoalkan pemberian wang kepada anaknya. Lalu disebut tanpa bantuan ayah, anaknya berdepan kesukaran.

Sedangkan bantuan seperti itu disenaraikan dalam perlembagaan. Negeri yang menghadapi geran defisit perlu dibantu kerajaan pusat.

Kadang-kadang menteri PH masih terbawa stail pembangkang. Sejak merdeka sehingga 9 Mei lepas mereka juga pembangkang seperti PAS.

Mungkinkah adegan seperti itu menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad belum berpuas hati terhadap prestasi menteri-menterinya.

Nampaknya Lim Guan Eng menteri yang paling kerap membuat latah. Isu hutang negara RM1 trilion, silap baca titk perpuluhan dan harga rumah tidak turun mempopular menteri terbabit.

Guan Eng seperti tidak mahu diakronim lagi dengan Omar Abdul Aziz. Beliau dilihat seperti berbangga dapat memperlecehkan Kelantan.

Sedangkan sketsa seumpama itu sudah berpuluh tahun disebut menteri Umno sebelum ini. Menteri PH perlu ada anjakan baru, biar nampak ada wibawa.

Itu belum didedah lagi sebahagian bantuan kerajaan pusat tersebut dalam bentuk pinjaman dan bukan sumbangan.

“Yang kerajaan bagi RM550 juta itu hanyalah pemberian dalam bentuk pinjaman,” kata Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Selongkar

Isu pokok yang patut diselongkar mengapa Kelantan masih lagi berdepan kekangan sumber hasil. Semua orang pun tahu.

Kelantan tiada pelabuhan, airport bertaraf antarabangsa dan lebuh raya.

Permohonan pelabur membina pelabuhan di Tumpat diketepikan begitu sahaja kerajaan pusat.

Begitu juga jajaran Lebuh Raya Pantai Timur hanya berakhir di Terengganu. Pembesaran lapangan terbang juga tinggal di atas kertas.

Pulau Pinang, Selangor atau Johor pun senasib dengan Kelantan kalau tiada infrastruktur tersebut.

Menteri PH tidak perlu perah otak untuk mendamaikan ekonomi Kelantan. Bayar royalti milik Kelantan yang sekian lama tertunggak. Sedangan pengeluaran hasil di perairan Kelantan dipunggah sejak 2004.

Mungkin hasil maksum milik rakyat Kelantan itu dialir arwah kerajaan BN ke negeri-negeri lain. Malah isu royalti pernah menjadi perjuangan pemimpin PH yang bergelar pembangkang sebelum ini.

Lalu bersuaralah cendikiawan di pusat pengajian tinggi. Mereka mahu kerajaan PAS menerima teguran Guan Eng dengan dada terbuka.

Sebagai sarjana sepatutnya mereka cuba belek sejarah. Kelantan menjadi mangsa diskiriminasi sejak 1990 sehingga sekarang.

Sifir politik agak mudah. Kerajaan PH juga perlu menebus dosa Perdana Menteri (PM) 4.0 yang pernah menafikan pendaratan gas di bumi Kelantan.

Ini kalilah masanya. Jangan pula jadi macam si Tanggang, lupa segala-galanya selepas bermenantu anak raja. – HARAKAHDAILY 13/9/2018

- Advertisement -