Mercedes Benz dan Muktamar PAS

- Advertisement -

APABILA disebut Mercedes Benz, tak kira siapa, kecil besar, tua muda, majoriti di Malaysia ini, akan mengetahui jenama tersebut adalah jenama sebuah kereta yang masyhur. Ramai yang ingin memiliki kenderaan jenama yang dilahirkan di Jerman ini walaupun tak mampu. Setidak-tidaknya angan kakinya mahu mencuba menekan pedal minyak, sambil matanya melirik kepada jarum penunjuk kelajuan kereta. Atau paling kurang pun, boleh dibawa bersiar-siar oleh tuannya pun jadilah. Itulah kehebatan Mercedes Benz atau panggilan manjanya Merc. Kereta kategori ‘jangok’ ini, dipandang tinggi kerana prestij, prestasi serta mutunya. Ada juga sebagai umpan mencari projek. Dan sudah tentu ia juga jika tidak dikawal perasaan, ia menjadi tiket untuk tuannya berlagak sombong, lupa dunia.

- Advertisement -

Pimpinan PAS semenjak dahulu, ramai juga yang memandu Merc. Presiden PAS, mempunyai sebuah Merc buruk ketika dahulu berwarna kelabu. Ia dihadiahkan oleh orang PAS yang mahu beliau bergerak berdakwah dengan lebih cepat. Walaupun buruk, tetapi alhamdulillah, ia boleh digunakan. Terkadang, mengikut cerita orang-orang tua, Merc beliau mati di tengah jalan, dengan duit yang hanya beberapa RM di tangan, dugaan. Almarhum Dato’ Harun Taib juga ada mempunyai Merc model lama. Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia juga mempunyai Merc. Ramai pimpinan PAS yang ada Merc samada dapat percuma atau diberikan diskaun harga yang rendah oleh rakan-rakan atau ahli.

Pernah terjadi antara sebab seorang Adun PAS kalah PRU setelah Umno memainkan cerita beliau memiliki Merc. Sebenarnya Merc yang sudah agak lama itu adalah hadiah daripada kawannya kerana kereta lamanya sudah uzur. Tetapi beliau gagal menangani persepsi negatif itu walaupun telah dinasihatkan. Ada juga Adun lain yang agak kaya, mahu membeli Merc ketika menjadi Adun. Segera dinasihatkan oleh ramai orang agar menukar fikirannya supaya membeli Honda CRV sahaja. Orang kampung cukup sensitif dengan jenama Merc ini sama ada baru atau lama, mereka kira harganya mahal.

Seorang Adun lagi, mempunyai strategi yang agak baik ketika beliau mahu menukar kereta. Ia bukan Merc tetapi bagi menjaga sensitiviti dan ketidak fahaman orang kampung yang masih dengan pemikiran bahawa menukar kereta adalah lambang kekayaan bukan kerana tugas Adun dan satu keperluan. Maka beliau membeli kereta baharu, dengan jenama yang sama, Toyota, warna yang sama serta plat yang digunakan juga plat yang lama. Jadi terhindarlah dia daripada fitnah rakyat, terutama hasutan daripada parti musuh. Saya mendapat tahu hanya daripada pengedar Toyota sendiri. Bijak!

Kereta kerajaan berbeza sedikit insuransnya. Kereta-kereta Exco ini ghalibnya dipandu laju oleh pemandu-pemandu mereka. Biasanya kerana mahu mengejar program yang banyak. Pernah dalam muktamar, perwakilan bangun menasihati pimpinan terutama yang ada jawatan dalam kerajaan agar beringat dengan kelajuan yang tinggi. Pimpinan pula membalas, kelajuan itu adalah bagi memenuhi permintaan program oleh ahli, bukan kerana suka-suka. Pimpinan yang menjawab itu adalah bekas Exco Negeri Kelantan. Senyum. Oleh kerana kelajuan dan lasak cara pemakaiannyalah maka tiada pelik Merc menjadi pilihan. Sememangnya ia jenama terkenal dan terpecaya bagi tugasan sebegini.

Pasti majoriti peminat kereta eropah akan bersetuju bahawa khidmat servis Merc ini adalah jauh lebih baik daripada Proton. Pernah Proton mengalami masalah tuntutan palsu dengan Kerajaan Negeri Terengganu dengan jumlah yang tidak munasabah. Perdana yang digunakan oleh Exco Terengganu sekarang ini juga, tidaklah berapa bagus. Rungutan daripada pemandu Exco, tidak berpuashati dengan keadaan kenderaan sekarang. Namun kerajaan mengambil sikap guna dahulu yang ada. Sememangnya kenderaan berkualiti seperti Merc itu lebih baik.

Isu Merc juga pernah menjadi bahan panas di Muktamar ke-43, tahun 2000 yang kebetulannya berlangsung di Kuala Terengganu. Seingat saya, wakil Wilayah Persekutuan bangun bertanyakan tentang penggunaan harta kerajaan oleh pimpinan PAS dari Kerajaan Terengganu dan Kelantan. Turut terheret sama ialah Almarhum Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana beliau datang menggunakan kereta kerajaan. Lalu dijawab dengan baik bahawa kereta kerajaan adalah untuk kegunaan ketua-ketua kerajaan secara rasmi atau peribadi. Boleh dibawa kemana-mana. Begitulah sensitifnya orang ramai dengan jenama Merc dan juga harta kerajaan. Maka ia agak sesuai bagi memainkan isu untuk menjatuhkan orang lain. Sama macam isu DS Najib, sehingga sekarang belum didapati bersalah walaupun cerita sebelum itu, bagaikan semua bukti sudah ada di tangan. Persepsi.

Hal yang sama juga berlaku kepada kerajaan Negeri Pulau Pinang apabila membali Merc pada tahun 2013. Jawapan yang hampir serupa diberikan termasuk “keselamatan” pemimpin. Malah pada tahun 2004 ketika Kelantan membeli Merc (walaupun recond) ianya dipertahankan oleh Husam dengan alasan yang sama diberikan ketika ini, iaitu kos penyelenggaraan, keperluan. Nik Amar ketika itu menjadi Ahli Parlimen Pengkalan Chepa. Persiapan yang terbaik bagi pimpinan menjalankan tugasan mereka adalah satu keperluan. Dan sememangnya kereta seperti Merc, Volvo, BMW mempunyai piawai keselamatan yang tinggi. Soal pembaziran tidak timbul jika boleh menguruskan hutang dengan baik. Dan sehingga kini, hanya sebuah pembelian baharu Merc yang dilakukan dan ke hadapan, akan dibeli mengikut keperluan. Sesetengah kenderaan Exco Kelantan sekarang sudah melebihi 10 tahun.

Jika mahu berbicara tentang pembaziran, pembelian ini adalah jauh lebih murah dan jutaan ringgit yang digunakan itu adalah untuk ramai pemimpin. Berbanding dengan pembaziran oleh seorang tua yang masih bernafsu untuk menjadi PM dan sehingga sekarang sudah tiga PRK yang dipaksa dibuat kerana Adun atau Ahli Parlimen dipaksa melepaskan kerusi mereka bagi memberi ruang kepada beliau dan bini beliau bertanding. Anggaran RM1.6 juta untuk belanja PRK Langkah Kajang yang bodoh itu. Untuk Parlimen Permatang Pauh, pasti lebih lagi. Dan kini Parlimen Port Dickson. Ini semua tidak lebih daripada strategi perang orang tua dengan seorang lagi orang tua yang masih berdendam dengan kisah lama mereka. Ditambah ketika Kerajaan PH sedang mengemis menadah tempurung kepada rakyat bagi sama-sama menanggung hutang negara. Rakyat menjadi mangsa. Tetapi bagi tukang sorak atau kumpulan ‘pom-pom’ mereka, ini bukan pembaziran. Ia adalah hasrat rakyat kata mereka.

Saya kira cerita saya adalah cukup mudah untuk difahami. Menggunakan isu pembaziran, kereta jenama Merc, adalah isu yang mudah hinggap di fikiran rakyat. Tetapi mereka lupa yang rakyat masih ingat, pembawa cerita ini adalah orang yang sama yang sehingga kini tiada satupun daripada puluhan tuduhan beliau kepada PAS, lekat di mahkamah. Sebaliknya beliau yang menolak daripada menerima surat saman daripada Kerajaan Negeri Kelantan suatu ketika. Saya mencadangkan supaya beliau mengaitkan pembelian Merc ini dengan bayaran RM90 juta oleh Umno dahulu. Saya percaya cerita beliau pasti akan menjadi sedikit lojik atau mendapat belas daripada rakyat. Ditambah dengan gambar cek potostat yang beredar sekarang sebagai ‘bukti sangat kukuh’ PAS menerima duit Umno. Maka tiadalah rakyat tercengang dengan Merc Kerajaan Kelantan ini.

Seeloknya bagi seluruh ahli dan penyokong PAS melupakan isu picisan yang hanya bagi mencari publisiti murahan oleh beberapa orang setelah kekecewaan besar tidak mampu memberikan apa-apa kepada PH di Kelantan dan hanya mendapat ihsan Senator. Semoleknya, ahli dan penyokong PAS menumpukan hala tuju PAS di Muktamar ini bagi memartabatkan Islam di Malaysia. Apakah boleh diteruskan gabungan dengan Umno yang sudah bukan Kerajaan Pusat lagi. Atau perlukah menumpang PH untuk melaksanakan Islam? Apakah rancangan dan sumbangan kita kepada Jemaah dalam mengharungi penggal ini bagi mengekalkan kemenangan yang ada dan menambah lagi kekuatan? Bagaimana tindakan kita dalam menangani sikap kebencian kepada Islam? Ini semua jauh lebih penting daripada Merc. Jangan kita yang menjadi tukang edar cerita orang yang laparkan ‘glamour’.

Selamat Bermuktamar. Semoga mendapat petunjuk Allah bagi membuat keputusan terbaik untuk agama, bangsa dan negara.

Mohd Nasir Abdullah
13 September 2018
KLIA – HARAKAHDAILY 13/9/2018

- Advertisement -