Fahamkan ahli kerjasama PAS-Umno

- Advertisement -

PERKEMBANGAN terbaru politik negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menyaksikan kejatuhan Barisan Nasional telah membawa kita kepada era baru politik Islam.

- Advertisement -

Pada zaman Datuk Asri dahulu, Peristiwa 13 Mei 1969 telah menguji perjuangan PAS apabila kedudukan Islam dan orang Melayu tergugat, sehingga mendorong kepada pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan dan akhirnya tertubuh Barisan Nasional.

Dewan Ulamak PAS Pusat yang ketika itu dipimpin oleh Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memainkan peranan utama dalam mengawal dan menentukan dasar PAS terhadap kerjasama politik ini.

Para ulamak ketika membahaskan dengan panjang lebar tentang hukum kerjasama politik dengan Umno-Perikatan, yang akhirnya memutuskan untuk mengharuskannya dengan syarat-syarat yang ketat. Sedangkan ketika itu, hubungan PAS dengan Umno sangat tegang ekoran isu kafir-mengkafir yang menghumban beberapa ulamak PAS ke dalam ISA.

Kenapa para ulamak ketika itu mengambil sikap demikian. Ia adalah pertimbangan politik demi memastikan survival politik Islam di negara ini dipertahankan, ketika ia dicabar oleh kebangkitan DAP.

PAS memandang ketika itu bahawa soal kerjasama dengan Umno ialah perkara “mutaghayirat” yang boleh berubah mengikut keadaan semasa dan syarat-syarat yang digariskan. Atas asas itu, kita mengambil pendekatan siyasah syar’ieyah supaya maslahah yang lebih besar dapat dijaga, selagi mana perkara-perkara pokok tidak terancam.

Di sinilah titik kefahaman yang mesti dibina oleh para ulamak kepada masyarakat, khususnya ahli-ahli PAS dan orang Melayu tentang hakikat terkini kedudukan umat Islam dan orang Melayu di negara kita selepas Pakatan Harapan menjadi kerajaan. Musuh-musuh politik kita terus mengapi sentimen-sentimen perpecahan supaya orang Melayu Islam jangan bersatu dan lumpuhlah kekuatan politik kita.

Sejak Pilihan Raya Kecil Dun Sungai Kandis dan Seri Setia, kita melihat penerokaan terhadap kerjasama PAS-Umno sebagai parti pembangkang telah mulai bergerak positif. Dengan tidak mempedulikan fitnah yang cuba dibakar oleh musuh-musuh politik kita, kita harus melihat realiti politik hari ini yang sangat berhajat kepada perpaduan orang Melayu Islam dalam mempertahankan agenda Islam dan maruah bangsa.

Kita sedar sepenuhnya tentang kebobrokan politik yang pernah dilakukan oleh Umno sepanjang lebih 60 tahun menjadi kerajaan. Tetapi dengan jiwa daie yang ada pada kita, kita harus berusaha untuk memperbetulkan kefahaman pemimpin dan ahli Umno terhadap Islam, dengan cara kira mendekati mereka.

Kita tidak boleh melihat Umno dan ahli-ahlinya sebagai musuh, sebaliknya mereka adalah sasaran dakwah kita sehingga kita boleh mengembalikan mereka kepada landasan Islam.

Dalam hal ini, menjadi tanggungjawab besar para ulamak untuk memahamkan ahli-ahli PAS bahawa persoalan kerjasama dengan Umno adalah perkara mutaghayyirat. Apa yang penting, PAS mesti memainkan peranan untuk menjadi pemimpin dalam agenda perpaduan ini. Islam mesti menjadi teras bagi segala bentuk hubungan dan kerjasama, dengan al-Quran dan Sunnah menjadi sumber rujukannya.

Apapun bentuk kerjasama yang akan berlaku, PAS mesti memastikan bahawa ia akan memberikan keuntungan kepada Islam. Kita tidak boleh bersikap keras dengan lawan politik kita yang juga beragama Islam, semata-mata kerana rekod kejahilan mereka, pengaruh sekular dalam pemikiran mereka dan juga catatan-catatan amalan korupsi yang pernah mereka laku.

Inilah medan dakwah yang membawa agenda rahmatan lil alamin yang sebenar. Dalam soal perpaduan dengan Umno, ia bukanlah perkara thawabit yang menyebabkan kita tidak boleh berganjak langsung dan sanggup membiarkan maslahah ummah terpinggir oleh sentimen politik yang sempit. – HARAKAHDAILY 13/9/2018

Petikan Ucapan Perasmian Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat Kali Ke-57 di Hotel Permai, Kuala Terengganu pada 13 September 2018.

- Advertisement -