Pemuda PAS “Terus Mara”

- Advertisement -

UCAPTAMA Ketua Pemuda PAS
Muktamar Pemuda PAS Ke-59
Kuala Terengganu

- Advertisement -

“Terus Mara”

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaykum warahmatullahi wabarakatuh

Yang Berbahagia Tuan Pengerusi Tetap; 

Yang Dihormati Timbalan Presiden PAS, YB Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Perasmi Muktamar DPPM Kali Ke-59;

Yang Dihormati Seluruh Ahli Majlis Syura Ulamak dan Pimpinan PAS Pusat;

Yang Dikasihi Timbalan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda DPPM;

Yang Berusaha Setiausaha DPPM merangkap Pengarah Panitia Muktamar;

Ahli-ahli Jawatankuasa Harian DPPM;

Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja dan Pengarah Jabatan DPPM;

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Kawasan dan Ahli Jawatankuasa;

Pimpinan dan rakan-rakan DHPP;

Juga rakan-rakan daripada parti Ikatan, Berjasa dan Umno;

Para Dif Kehormat dan Tetamu Jemputan;

Sidang Muktamirin dan Pemerhati yang dikasihi sekalian.

Firmanullahu Taala fi Kitabihil-Karim:  

 الم (١) أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ (٢) وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ (٣) أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ أَنْ يَسْبِقُونَا ۚ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ (٤) مَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ اللَّهِ فَإِنَّ أَجَلَ اللَّهِ لَآتٍ ۚ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (٥) وَمَنْ جَاهَدَ فَإِنَّمَا يُجَاهِدُ لِنَفْسِهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ (٦) وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَنُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَحْسَنَ الَّذِي كَانُوا يَعْمَلُونَ (٧)

“Alif…. Lam…. Mim……Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. Ataukah orang-orang yang mengerjakan kejahatan itu mengira bahawa mereka akan luput (dari azab) Kami? Amatlah buruk apa yang mereka tetapkan itu. Barangsiapa yang mengharap pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah itu, pasti datang. Dan Dialah Yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam. Dan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, benar-benar akan Kami hapuskan dari mereka dosa-dosa mereka dan benar-benar akan Kami beri mereka balasan yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.” 

[al-‘Ankabut: 1-7]

1.      Alhamdulillah, dengan izin dan perkenan Allah S.W.T jua, kita dapat berhimpun sekali lagi dalam Muktamar Ke-59 Dewan Pemuda PAS dan kali ini di Negeri Terengganu Darul Iman selaku tuan rumah – tepat dengan kemenangan yang Allah anugerahkan dan sekali gus amanahkan kepada kita dalam PRU Ke-14 lalu. InsyaAllah berkat izin Allah dan sokongan padu seluruh pendukung PAS, kita akan pimpin Terengganu sekali lagi, sebagaimana di Kelantan, atas dasar Islam dan pendekatan Politik Matang dan Sejahtera yang sudah kita sepakati. 

Mawar di taman mekar nan indah,

Harum mewangi cantik berseri;

Terukir senyuman pembuka kalimah,

Selamat datang tuan dirai.

2.     Di kesempatan ini, saya mewakili seluruh ahli dan kepimpinan Pemuda PAS, merakamkan mengucapkan tahniah atas usaha dan kerja kuat para sahabat Pemuda PAS dari seluruh negara yang telah turun ke lapangan Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu dan terbaharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia minggu lepas. Semoga usaha kalian diganjari Allah S.W.T.

3.     Setinggi tahniah juga kepada semua atlet Kebangsaan yang berjuang memartabatkan nama negara dalam Sukan Asia Ke-18 bertempat di Jakarta dan Palembang, Indonesia. Kejayaan kita memperoleh 7 emas, 13 perak dan 16 gangsa adalah pencapaian membanggakan. Kesungguhan semua atlet telah merangsang semangat patriotik warga negara yang berbetulan meraikan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Tema Muktamar DPPM-59

4.     Tema Muktamar kali ini adalah “Terus Mara”. Ia mengambil kesinambungan dasar, pendekatan dan strategi yang telah dibawa PAS dalam persada politik dan gerakan Islam tanah air. Ia juga berentetan kepada perjuangan Pemuda PAS yang telah digerakkan dengan tema “Mara Menuju Cita”.

Istiqamah dan Thiqah

Sidang Muktamar yang dikasihi,

5.     Mari kita buka bicara ini dengan firman Allah S.W.T di dalam Surah Assyura ayat 15:

فَلِذَلِكَ فَادْعُ وَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَقُلْ آمَنْتُ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ مِنْ كِتَابٍ وَأُمِرْتُ لِأَعْدِلَ بَيْنَكُمُ اللَّهُ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ لَا حُجَّةَ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ اللَّهُ يَجْمَعُ بَيْنَنَا وَإِلَيْهِ الْمَصِيرُ

“Kerana itu, serulah (mereka beriman) dan tetaplah (beriman dan berdakwah) sebagaimana diperintahkan kepadamu (Muhammad) dan janganlah mengikuti keinginan mereka dan katakanlah,” Aku beriman kepada kitab yang diturunkan Allah dan aku diperintahkan agar berlaku adil di antara kamu. Allah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami perbuatan kami dan bagi kamu perbuatan kamu. Tidak (perlu) ada pertengkaran antara kami dan kamu, Allah mengumpulkan antara kita dan kepada-Nya-lah (kita) kembali.”

6.      Buya Hamka berpendapat dengan ayat ini, Rasulullah S.A.W sudah diberi dua perintah:

Pertama; Kerja dakwah diteruskan, ajakan dan seruan tidak boleh berhenti. 

Kedua; Memperteguhkan pendirian. Harus tegak dan lurus dengan keyakinan kepada Allah.

“Kemudian suatu dakwah tidak akan jaya, kalau yang berdakwah tidak mempunyai istiqamah, dan jangan pula pedulikan hawa nafsu mereka yang hendak membawa kepada pertengkaran hingga sangat menghabiskan tenaga. Inilah pendirian Islam yang telah digariskan di Makkah. Dan setelah Hijrah ke Madinah, pendirian ini pun tetap dipegang teguh. Sehingga diperbuat perjanjian damai dengan suku-suku Yahudi di Madinah, tetapi mereka sendiri yang mengkhianati perjanjian itu.”

7.     Al-Maraghi menjelaskan bahawa Allah S.W.T menyuruh mereka agar bersatu dalam agama dan jangan berpecah belah, setelah mereka didatangi ilmu dengan berbuat aniaya dan dengki, membangkang dan sombong. Maka Allah S.W.T menyuruh Nabi S.A.W agar mengajak mereka kepada kesatuan; pada agama yang hanif dan berpegang teguh padanya, juga disuruh agar berdakwah kepada agama tersebut, dan jangan mengikuti hawa nafsu yang batil.

8.     Inilah signal kepada kita untuk terus beristiqamah menghadapi segala ujian yang berlaku dalam kerja dakwah. Apa pun cabaran yang mendatang sejak dahulu tidak akan menjadi peluntur semangat kepada kita untuk terus berjuang di dalam harakah ini. Bahkan kemenangan tidak pula menjadikan kita alpa dan lalai dalam menunaikan tanggungjawab sebagai Khalifah Allah di muka bumi-Nya.

9.     Di antara prasyarat istiqamah yang digariskan oleh Imam al-Maraghi adalah kesatuan di dalam agama dan jangan berpecah belah. Oleh kerana itu, kesatuan di dalam harakah ini tidak dapat tidak hanya dapat dibentuk daripada taat dan thiqah (kepercayaan) pada kepimpinan. Sepertimana yang disebut oleh Allah di dalam Surah al-Nisa’: 

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Uli al-Amri” (orang-orang yang memimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (al-Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.”  

[al-Nisa’: 59]

10.     Maka dalam situasi politik hari ini, bekalan yang paling utama kepada ahli di semua peringkat ialah persiapan hati yaknilah thiqah. As-Syahid Hasan al-Banna pernah berkata: 

“Yang aku maksudkan dengan ‘Thiqah’ ialah berlapang dada atau tenang atau percaya dan yakin serta rasa puas seorang tentera (amilin atau pejuang) kepada pemimpin dalam hal berkaitan kemampuan dan keikhlasannya (pemimpin) dengan lapang dada atau tenang dan yakin yang mendalam hingga dapat menatijahkan rasa cinta, penghargaan, penghormatan dan ketaatan.”

11.     Dalam konteks ini, kita semua mesti dididik agar memiliki sifat berlapang dada, tenang, percaya dan yakin kepada Mursyidul Am dan Majlis Syura Ulamak, Presiden serta seluruh saf kepimpinan PAS. Thiqah pada kepimpinan merupakan hal dalaman dari sudut rasa ketenangan dan keyakinan ahli terhadap kemampuan, keikhlasan dan sifat amanah pemimpin dengan perasaan yang cukup mendalam.

12.     Di antara petanda gerak kerja yang menzahirkan bahawa hati para ahli mempunyai thiqah kepada pemimpin ialah hormat dan mentaati semua arahan diberi tanpa sedikit pun rasa berbelah bahagi atau rasa kekurangan, jauh sekali terselit rasa ingin mengingkari dan menyelewengkan arahan. Natijah terhasil daripada thiqah ialah rasa kasih, penghargaan, hormat dan hati yang taat sepenuhnya kepada pimpinan.

13.     Oleh sebab itulah di dalam gerakan dakwah ini seperti yang disebut oleh as-Syahid Hasan al-Banna bahawa hubungan amilin dan pemimpin itu sebagaimana hak seorang ayah dalam hubungan hati, hak seorang guru dalam pengambil manfaat ilmu, hak seorang syeikh dalam pendidikan rohani atau proses tarbiyah kerohanian dan hak pemimpin dalam menentukan percaturan politik secara umum bagi dakwah. Di mana di dalam PAS terhimpun nilai-nilai tersebut secara keseluruhan.

Cabaran Dunia Islam

Hadirin hadirat yang dikasihi sekalian:

“Akan datang umat-umat yang berkerumunan ke atas kalian seperti kerumunannya orang-orang yang makan pada satu pinggan.” Maka seorang bertanya: “Apakah jumlah kami pada ketika itu sedikit?” Baginda S.A.W menjawab: “Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai. Akan tetapi keadaan kamu seperti buih-buih di lautan. Dan sesungguhnya Allah akan mencabut dari (hati) musuh-musuh kamu rasa takut terhadap kamu serta akan ditimpakan (penyakit) al-Wahn di dalam hati-hati kamu.” Para Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah al-Wahn?” Baginda menjawab: “Cinta kepada dunia dan takut mati.”

14.     Dunia Islam terus menyaksikan penindasan yang berterusan tanpa persefahaman jitu masyarakat dunia termasuk kepimpinan umat Islam. Penindasan berterusan dan berpanjangan seperti Palestin, Syria, Iraq, Rohingya, Selatan Sudan, Selatan Thailand, Yaman masih belum nampak penyelesaian. Tambahan isu kemiskinan, kemanusiaan dan pelarian di Turki, Filipina, Bangladesh dan Negara Afrika. Masih belum dikira krisis kekayaan dan keselesaan Negara Teluk, krisis kepimpinan dalaman, krisis perang saudara yang terus menerus mewarnai hashtag Dunia Islam.

15.     Terbaru, tekanan ekonomi dikenakan terhadap Turki kerana ‘tidak mengikut telunjuk’ kuasa besar Amerika sehingga memberi kesan kepada mata wang Lira dan inflasi. Tekanan yang sama pernah dikenakan kepada Iraq, Iran dan Qatar oleh kuasa besar atau proksinya. Dunia Islam seperti Negara-negara Pertubuhan Organisasi Negara Islam (OIC) terus sugul tanpa dapat berbuat tindakan kerana kepentingan masing-masing. Situasi ini terus membimbangkan kita umat Islam dalam mendepani cabaran akan datang. Kelangsungan generasi umat ini dilihat terus ditindas dari masa ke semasa dan kekal tanpa solusi, kecuali kelompok-kelompok kecil umat memberi bantuan dan sokongan yang tidak signifikan dari perspektif kuasa besar.

16.     Sebenarnya, isu fundamental (asas) tidak timbul lagi kerana masing-masing mengaku menjuarai umat, sebaliknya kita umat Islam berhadapan dengan epistemologi dalam fundamental. Semua memperjuangkan Islam tetapi sisi kefahaman Islam masing-masing berbeza sehingga penyatuan tidak dapat ditemukan dan berjaya. Lalu datanglah Modernist Islam, Islam Liberal, Post Islamism, Islam Demokrat dan lain-lain ideologi yang mendakwa memperjuangkan Islam yang sebenar. Lebih mengelirukan, kehebatan mereka dianggap sebagai kejayaan Islam. Benarlah pesan Buya Hamka:

“Semua orang Islam yang menuntut kemerdekaan akan diberikan Allah kemenangan walaupun berbeza ideologi, fahaman dan fasiq. Ini kerana atas nama Islam, kemenangan akan tercapai. Keikhlasan dan kefahaman mereka hanya akan teruji di kala kemenangan telah tercapai.”

Pasca PRU-14 

Sidang Muktamar yang dihormati sekalian,

17.     PRU ke-14 sudah menyaksikan rakyat menunaikan kewajiban bersuara di mana seramai 12,229,554 (82.32 peratus) warga keluar mengundi nekad terutamanya keyakinan anak-anak muda dan silent voters, sepakat menolak Kerajaan Barisan Nasional (BN) outright setelah 60 tahun mentadbir negara. Mesejnya amat jelas: rakyat tuntut perubahan dan rakyat pilih Pakatan Harapan (PH) untuk lakukannya kali ini. Rakyat sudah berikan peluang enam dekad lamanya kepada BN. Warga sudah berikan amaran dalam PRU-13 dengan menafikan majoriti dua pertiga BN. Semua telahan itu silap kerana kuasa penentu sebenar kembali kepada rakyat Malaysia. Itulah hebatnya sistem pilihan raya amalan demokrasi moden.

18.     Kuasa penolakan rakyat sangat jelas apabila undi bukan BN mencecah 66.23 peratus atau 8,001,634. BN pula hanya mendapat sejumlah 4,080,797 atau 33.7 peratus sahaja. Secara mudah, banyak faktor menyumbang kepada Tsunami berkenaan dan mengakhiri zaman kegemilangan Barisan Nasional. Kemarahan anak muda atas pelbagai isu yang menghimpit mereka seperti GST, peluang pekerjaan, kos sara hidup yang semakin naik, harga barangan meningkat dan kemudahan seperti kereta dan rumah yang mahal, amalan rasuah, ketirisan kewangan negara, kronisme dan sebagainya sekali gus menyumbang kepada swing di peti undi, selain isu-isu kebobrokan kepimpinan yang semakin terserlah. 

19.     PRU-14 juga merupakan detik yang cemerlang kepada PAS. Berbeza dengan PRU 12 dan 13, kali ini PAS mengambil sikap membentuk koalisi sendiri iaitu Gagasan Sejahtera. PAS memperoleh separuh atau 2,041,105 undi yang diperoleh oleh BN. PAS mendapat 18 kerusi Parlimen, 90 kerusi Dewan Undangan Negeri dan memimpin Kelantan dan Terengganu. Biarpun kecemerlangan PAS dilihat tidak secemerlang Pakatan Harapan yang menguasai Kerajaan Persekutuan, kita masih kekal relevan berada dalam arus perdana untuk terus mengorak langkah ke hadapan dalam persada politik tanah air. 

20.     Apa pun, jom kita turut move forward dan bersama membina sebuah ‘Malaysia pasca-BN’. Sekutu blok politik DAP-PKR-PPBM-PAN-Warisan berjaya, walaupun dengan hanya mengaut sekadar 50.5 peratus, namun kejayaannya memenangi majoriti kerusi Parlimen telah melayakkannya menjejakkan kaki ke tampuk pemerintahan di Putrajaya menerusi majoriti mudah berdasarkan agihan kerusi Parlimen dipertandingkan.

21. Kerajaan PH baru sahaja melepasi 100 hari pertamanya. Janji-janji dalam Manifesto PH masih tak dapat ditunaikan kebanyakannya. Kata YAB Perdana Menteri, PH tidak menjangka boleh menang PRU-14, malah “…kita mencapai kemenangan yang membawa bebanan yang besar. Sebelum itu kita tidak tahu setakat mana kerosakan itu dilakukan” termasuk juga bahawa “Manifesto bukan kitab suci, hanya panduan” dan “kalau kami berdosa kami tanggung” sebagai hujah tidak dapat menunaikan Janji 100 Hari PH mentadbir negara. Tidak mengapalah; dia sudah berumur dan barangkali dia sudah lupa. Kita tunggu detik untuk PAS dan sekutunya ambil alih, insyaAllah!

22.     Kemenangan PH dalam PRU ini pula adalah manifestasi kejayaan mereka membina persepsi untuk menjatuhkan BN. Mereka menguasai Kerajaan Persekutuan dan majoriti Negeri Semenanjung. Bagi PAS, ini adalah cabaran baharu, setelah sekian lama yakni sejak sebelum merdeka lagi berhadapan dengan BN dalam siri-siri pilihan raya.

23.     Natijah PRU-14 menuntut perhatian kita kepada beberapa perkara:

●     Kemenangan PH meninggikan tembok pemisahan perpaduan bangsa-bangsa di Malaysia. PH menguasai penuh segmen pengundi Bangsa Cina dan India, tetapi hanya memiliki kurang lebih 25 peratus undi Melayu. BN pula kekal menerajui segmen pengundi Melayu, sementara PAS berjaya memecah masuk dalam segmen pengundi Melayu untuk memperoleh undi yang lebih besar dari PH.

●     Gabungan PH dan kemenangan diperolehi bukanlah berasaskan kekuatan akar umbi, kerana keahlian parti tidak mencerminkan undi yang mereka peroleh. PH berjaya dalam menarik segmen undi atas pagar lebih dari keahlian mereka sendiri. Ini menimbulkan persoalan mengenai relevansi akar umbi dalam politik Malaysia.

●     Segmen pengundi muda dikuasai PH menerusi kuasa media dan persepsi yang memberikan kemenangan kepada mereka dalam saluran 4 dan ke atas. Adakah ‘trend’ ini mencerminkan pola pengundian pada siri-siri pilihan raya akan datang? 

●     Perubahan sistem pilihan raya yang belum diketahui berikutan Manifesto PH secara jelas ingin mereformasikannya. Termasuk mengadakannya pada peringkat lebih kecil seperti Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan. Sistem Proportional Representation yang dicadangkan dan penurunan umur pengundi kepada 18 tahun. Sekiranya dilaksanakan, ia akan menjadikan gerak kerja kita dalam pilihan raya berubah dan memerlukan governan yang lebih daya tahan.

●     Politik Sabah dan Sarawak yang unik di mana dilihat tidak cenderung kepada mana-mana koalisi sebaliknya mempunyai dasar protection kepada kepentingan negeri. Apakah ini satu ruang baru politik nasional yang boleh berubah bila-bila masa? Adakah parti tempatan sahaja yang mampu memecah masuk khususnya kaum Bumiputera?

24.     Oleh itu, persediaan ini harus dimulakan lebih awal. Saya menyeru kepada seluruh Pemuda agar ‘move on’ dari membangkitkan isu-isu dalaman berkait PRU-14, sebaliknya bersiap siaga untuk membina masa hadapan. Kerana bakal terbentang kepada kita kerja serta cabaran yang ternyata lebih besar dan jitu. Namun, kita juga positif jika bersiap lebih awal, peluang untuk mendahului semua parti politik dalam PRU-15 nanti sentiasa terbuka.

25.     Ditambah kegagalan PH menunaikan Janji 100 Hari telah menimbulkan polemik baharu arah tuju kepimpinan negara. Isu-isu utama rakyat seperti kos sara hidup kekal tempang tanpa penyelesaian jitu, sebaliknya menyemarakkan kembali masalah pernah dilalui negara, termasuk ‘menghidupkan’ semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Pemuda PAS berpandangan, isu Janji 100 Hari bukan sahaja menghampakan rakyat, tetapi janji keseluruhan manifesto itu bakal merosakkan negara. PH sendiri mengakui gula-gula ditabur itu bermotif memenangi pilihan raya semata-mata, bukan untuk membina semula negara. Lalu mereka longlai akur tidak mampu menunaikan sebahagian besar segala yang digariskan.

26.     Sikap ketidakbertanggungjawaban dan tidak beretika dalam memberi janji kepada rakyat seperti ini hanya mencemar dan menghodohkan wajah politik yang telah sedia mendapat tanggapan negatif. Pemuda PAS menentang keras sikap politik seperti ini yang hanya bermatlamatkan memancing undi. Ia hanya menjadikan politik sebagai bidang paling tidak dipercayai dalam kalangan rakyat, sedangkan ia adalah penentu halatuju negara, serta soal kepimpinan yang bakal berhadapan perbicaraan di Mahkamah Allah.

27.     Alhamdulillah, di peringkat pentadbiran PAS yakni di Kelantan dan Terengganu, kita berjaya melaksanakan sebahagian besar manifesto yang dijanjikan. Pun begitu harus diingatkan, dasar negara bakal kita corakkan di masa depan yang terkandung dalam Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) memerlukan peranan kita semua untuk diteruskan kupasannya agar menjadi cita-cita bersama rakyat Malaysia. Usaha terancang berkaitannya bersama pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) insyaAllah dapat menyuntik keyakinan bahawa PAS adalah government in waiting dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Menongkah cabaran baharu 

28.     Hidup kita sebagai insan pastinya diuji di atas dunia yang fana’ ini, dari dilahirkan sehinggalah ke liang lahad. Itu adalah Sunnatullah yang pasti dan dihisab oleh Allah S.W.T. Segala mehnah (ujian) dan fitnah dilalui itu, adalah saringan buat keimanan yang kita garap; daripada kepercayaan menjadi kefahaman sehingga kepada penghayatan sebagai bekalan buat kehidupan abadi kita di akhirat nanti. Tribulasi dan mehnah yang direntasi akan mematangkan kita, membuatkan kita lebih bersedia dan berpengalaman untuk hadapi hari-hari mendatang agar tidak menyimpang dan terseleweng daripada landasan asal.

29.     Mengungkap kembali pesanan Almarhum Syaikh Hasan al-Banna:

“Saya tidak bimbangkan keadaan kamu dan ancaman musuh-musuh Islam, tetapi apa yang saya bimbangkan ialah diri kamu sendiri. Saya tidak takutkan ancaman orang-orang Inggeris terhadap kamu, atau orang Amerika atau Rusia atau lainnya. Yang saya takutkan ialah kamu melakukan dua perkara:

(a)     Kamu mengenepikan Allah, lalu Allah mengenepikan kamu; 

(b)     Kamu berpecah belah sesama sendiri, maka kamu tidak akan berguna lagi.”

30.     Kata-kata itu juga mengingatkan kita akan sepuluh ayat pertama dalam Surah al-Baqarah bahawa manusia itu dapat diklasifikasikan kepada tiga kumpulan asas: 

(i)     Yang beriman (Mukmin) dengan Allah S.W.T; 

(ii)     Yang berpura-pura beriman (Munafiq); dan 

(iii)     Yang tidak beriman (Kafir).

31. Selaku antara pemain utama politik negara, segala kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman PAS sangat berhubung kait secara rapat dengan parti-parti politik lain. Setelah lebih enam dekad menghadapi BN, kini kita menempuh cabaran di bawah Malaysia Baharu yang diterajui PH. Namun, sehingga lebih 4 bulan Kerajaan PH menerajui negara, dapati ia hanyalah indah khabar dari rupa. Semua hasrat tertumpu kepada janji perubahan atau manifesto yang terkandung di dalam Buku Harapan. Ini sebahagian realiti bakal dihadapi negara bukan setakat untuk 100 hari, tetapi setidak-tidaknya 5 tahun menjelang PRU Ke-15.

●     Cabaran aqidah dan survival Islam

32.     Kegetiran mempertahankan aqidah dan survival dilihat menjadi cabaran terbesar dalam fasa kepimpinan Malaysia Baharu ini. Di sebalik laungan slogan “Rahmatan lil ‘alamin”, kelompok-kelompok seperti LGBT, Islam Liberal, Syiah dan ajaran sesat dilihat mendapat tempat dan diraikan dalam kerajaan baharu. Atas terma kebebasan serta hak asasi, mereka vokal menyuarakan pelbagai tuntutan dan persamaan serta memperagakan penampilan. Bahkan kerana ‘dibela’, berani mencabar dan memperlekehkan pelbagai pihak termasuk agensi yang memiliki kuasa dan tindakan perundangan. Sebelum ini, situasi seumpama tidak pernah berlaku secara terang-terangan.

33.     Turut menyentak, keputusan terhadap ajaran Qadyani yang dibenarkan bergerak bebas atas nama hak keluar dari kelompok Muslim, menjadikan usaha membendung ajaran bercanggah Ahli Sunnah wal Jamaah bertambah sukar. Lebih merisaukan, mereka yang berkedudukan untuk menjaga agama, rupanya umpama bom jangka. Selepas memberi tafsiran berbeza mengenai Maqasid Hifz ad-Din yang diseret kepada pengertian menjaga hak agama lain. Manakala paling terbaru, mempersoal tindakan sebatan syarak di khalayak ramai oleh Mahkamah Syariah Terengganu.

34.     Kami tidak mahu melontar kesangsian lebih-lebih lagi daripada persepsi dan spekulasi atau yang membibitkan keduanya. Namun, tabiat dan kecenderungan serta lingkungan pihak berkenaan sentiasa membuka unsur gugatan, hingga tidak sedikit agamawan termasuk kalangan Mufti membuat teguran. Pun begitu, kami Pemuda PAS sedikit pun tidak teragak-agak untuk mengembleng umat andai Islam diancam. Sungguh, dalam segala kemungkinan ini, gamitan sinar baharu tetap kami harapkan di atas penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam oleh Majlis Raja-raja agar dapat meredakan kegusaran yang mulai bersarang dalam masyarakat Muslim ketika ini.

●     Cabaran kuasa politik Melayu

35.     Kebangkitan rakyat dan pemikiran politik baharu memerlukan peranan dan pengurusan harmoni yang selaras dengan prinsip dan garis Perlembagaan Negara. Politik wajib menjadi wadah tercapainya tujuan penubuhan negara dan penyatuan rakyat, bukannya bagi meraih kepentingan sempit. Natijah yang menimpa BN wajar menjadi pengajaran kepada semua parti politik. Sebagaimana Umno yang mengetuai BN mendakwa membela Melayu, sebenar-benar sejarah pemerintahan telah menzahirkan betapa mereka hanya membela sebahagian Melayu sahaja yakni kroni. 

36.     Dalam memperkasakan kuasa politik Melayu, agenda Bumiputera perlu diperjuangkan dan DPPM menyambut seruan Perdana Menteri untuk terus mempersadakannya. Malah, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin juga telah menyatakan perancangan untuk membantu Bumiputera bagi memastikan pertumbuhan ekonomi lebih saksama. Walau bagaimanapun, kami memandang serius golongan-golongan pengambil kesempatan dengan menyalahgunakan kelebihan status Bumiputera yang diberi.

37.     Teramat penting juga supaya kepentingan berhubung Raja-raja Melayu tidak diusik atau dipermainkan, juga hal ehwal Tanah Rizab Melayu dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan untuk sentiasa diutamakan. Sebarang sensitiviti yang boleh menggugat keharmonian dan ketenteraman awam haruslah dijauhi atau disentimenkan secara salah dan tidak wajar. Begitu juga dolak-dalih berkaitan pembayaran Royalti Petroleum kepada negeri berkaitan, pembatalan ECRL, tiadanya pelan jaringan jalan raya Kuala Lumpur – Kota Bharu; menjadi antara isu-isu contoh yang meruntuhkan institusi hak Melayu dalam Perlembagaan.

●     Cabaran perundangan

38.     Turut terpalit isu di bawah Kerajaan Malaysia Baharu yang berisiko menimbulkan konflik sistem adalah sektor perundangan. Berawal dari pelantikan Speaker Dewan Rakyat apabila Sub Peraturan Mesyuarat 4 (1) Dewan Rakyat diabaikan dari tatacara sepatutnya. Diikuti pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara dan Tommy Thomas selaku Peguam Negara yang tersohor dilihat kalangan warga perundangan dipengaruhi atau dibayangi tujuan politik. Sentakan awalnya berlaku kurang sebulan menjawat Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard mencadangkan agar kes ‘Bin Abdullah’ dibicarakan semula beralasankan kepentingan awam.

39.     Sensitiviti umat Islam kembali terusik lebih-lebih lagi ketika mana konflik perundangan antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah masih membengit. Kekhuatiran umat sememangnya berasas memandangkan kuasa besar seorang Hakim Mahkamah Persekutuan terutamanya dalam mentafsir, sudah pasti akan menyentuh Islam yang terpasak dalam Perundangan dan Perlembagaan. Apabila jawatan tersebut disandang oleh bukan Islam, seolah-olah benteng Islam di dalam institusi perundangan mulai rapuh. Kedudukan kritikal ini menuntut perhatian serius masyarakat Islam Malaysia yang perlu lebih berjati diri dan bermaruah dalam perkara membabitkan agama Islam dalam negara.

40.     Hal serupa terjadi dalam keghairahan PH meluluskan Rang Undang-undang SST yang jelas digubal terburu-buru tanpa mewujudkan Select Committee di Parlimen sebagaimana amalan termaktub. Paling membangkitkan ‘kejutan’ juga apabila kes tuduhan rasuah banglo Lim Guan Eng berakhir dengan pembebasan, menerbitkan pelbagai kecurigaan. Pelbagai persoalan mulai timbul di benak kesangsian; adakah ‘Rule of Law’ itu didefinisikan dengan ‘bias’ oleh Kerajaan PH? Apakah ada definisi baharu kepada tiap-tiap reformasi yang dicanang?

41.     Ramai pemimpin dan warga menyuarakan jangan ada perasaan dendam dalam kepimpinan baru PH ke atas pimpinan lama. Tiada guna dan bezanya yang baru daripada yang lama jika berdendam. Dakwalah sesiapa yang bersalah atas Rule of Law yang acapkali disebut oleh Tun M sendiri sebagai asas pentadbiran barunya. Ramai masih mendesak kerajaan supaya jangan berundur takut mendakwa mereka yang bersalah sedangkan semasa kempen PRU-14, itulah muzik yang didendangkan. Dikatakan kononnya cukup banyak bukti untuk jatuhkan dan tangkap pemimpin yang dikatakan korup dan bersalah. Bagi Pemuda: Hadapkan ke muka pengadilan di mahkamah, bukan menjatuhkan hukuman di media. Itu baru Rule of Law

42.     Cukup-cukuplah… Jangan malukan ‘Malaysia Baru’ dengan pelbagai retorik atau kenyataan statistik kebudakan yang akhirnya boleh memperlihatkan ketidak-bijaksanaan yang melulu hanya kerana ingin mendapatkan sedikit political mileage. Pepatah orang tua-tua ada menasihatkan: Biduk berlalu kiambang bertaut. Inilah sebahagian mutiara kehalusan budi dan wisdom yang kita warisi. Kerajaan PH sepatutnya bermula di atas prinsip yang mulia ini, bukan retorik hampas dan masih bermain muzik lama selaku pembangkang. Hormatilah pilihan rakyat dan jadilah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab membawa Malaysia ke alaf baru.

43.     Tegas kami Pemuda PAS, konsep ‘The Rule of Law’ atau Prinsip Kedaulatan Undang-undang itu wajar terus dipertahankan bagi membantu semua pihak untuk terus memeliharanya dan tidak menggunakan taktik ancaman atau intimidasi bagi menakut-nakutkan rakyat.

●     Cabaran ekonomi tempatan dan global 

44.     Hutang Negara telah menjadi suatu isu tersensasi dibicarakan; bermula apabila Menteri Kewangan mendedahkan perincian yang menurutnya sudah mencecah angka RM1.08 trilion atau 80.3 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Rentetan itu, Malaysia telah menerima reaksi dan akibat pelbagai, baik daripada rakyat tempatan mahupun pelabur asing yang melabur di Malaysia, termasuk mengundang kritikan dan teguran balas pelbagai pihak.

45.     Malah, pada 24 Mei lalu, Kolumnis Bloomberg, Andy Mukherjee dalam ruangan Bloomberg Opinion, menyatakan bahawa Menteri Kewangan sepatutnya mengambil langkah bijak dalam menguruskan permasalahan 1MDB. Di samping turut menegur sikap ‘terlalu jujur’ Guan Eng menceritakan kesemuanya sehingga melahirkan sentimen yang negatif kepada pelabur. Tidak terkecuali, Moody’s Investor Service yang merupakan salah sebuah firma penarafan (rating firm) juga memberi reaksi terhadap kenyataan Menteri Kewangan itu.

46.     Pemuda PAS berpandangan Menteri Kewangan seharusnya berhati-hati terhadap setiap tutur bicaranya serta bijak meyakinkan pelabur. Bukannya lancang memberi tumpuan kepada pendedahan skandal oleh kerajaan terdahulu yang sepatutnya menjadi tanggungjawab pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Ini kerana, beliau hari ini sedang menggalas posisi penting iaitu Menteri Kewangan Malaysia. Dalam erti kata lain, kenyataan yang dikeluarkannya dari masa ke semasa akan sentiasa menjadi tumpuan dan rujukan pelabur serta memberi kesan yang cukup besar kepada pasaran semasa.

47.     Melepasi garisan penamat 100 Hari, Hutang Negara dijadikan alasan ampuh menangguh atau membatalkan segala agenda dijanjikan dari dilaksanakan yang kini mula diratapi rakyat sebagai satu pembohongan atas kecundangnya sebuah harapan. Ketara juga apabila pelan pengurusan ekonomi negara masih tidak menampakkan arah tuju jitu dan dasar fiskal yang kabur apabila lebih banyak perbelanjaan dicadang, sedangkan sumber pendapatan sedia ada dihapuskan. Apakah akhir kesudahan kepada episod ini akan mensasarkan rakyat juga untuk menanggungnya nanti?

●     Cabaran Sektor Pendidikan dan Sosial 

48.     Gegaran turut melanda sektor pendidikan bahana pendekatan kerajaan baharu. Setelah tunduk kepada desakan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam perkhidmatan awam, Menteri Pendidikan melantik pula ahli G25, kumpulan pengkritik pentadbiran dan Undang-undang Islam sebagai Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK). Warga pendidik dan para ibu bapa mulai direnjat kebimbangan terhadap jarum Liberal yang terdedah disuntik menerusi pendidikan.

49.     Pasca PRU-14 juga menjadikan medan terbuka sekelompok kumpulan untuk mengubah silibus sejarah negara bagi mengangkat perakuan terhadap Komunis sebagai sebahagian pejuang bagi negara ini. Sekalipun ia peringkat cadangan, PAS membaca ia satu ancaman di kala tidak ada pihak yang berani menimbulkan persoalan sebegitu rupa sebelum ini. Prinsip kebebasan suara itu seolah-olah tiada batasan dan tiada kesalahan.

●     Cabaran kebajikan dan kesihatan 

50.     Ke arah membina tamadun bangsa dan membentuk sebuah negara maju, aspek kebajikan antara elemen teras yang perlu sentiasa segar. Ia melambangkan muamalah yang berlaku dalam negara melibatkan individu, kelompok, parti, agensi, pemimpin dan pemerintah itu sendiri melibatkan segala kemampuan dan pemilikan. Namun, dalam realiti yang ada, kelihatannya hal ehwal kebajikan masih bersimpang-siur. Golongan yang sangat dimaklumi memerlukan perhatian dan sokongan melibatkan anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal, warga emas, Orang Kelainan Upaya, pesakit kronik, veteran atau bekas penyumbang khidmat jasa bakti kepada negara; masih terdengar bunyi rintihan dan pengabaian.

51.     Sedihnya, harapan untuk dibela dan disantuni sudah mula diremehkan dan bidasan sinikal. Selain impian yang tidak pasti terhadap golongan tersebut, para petani dan nelayan sepertimana para pesawah dan peneroka FELDA, terus terhimpit sengsara atas kelemahan iltizam Kerajaan PH untuk menangani isu mereka. Sudahnya BR1M pula direnggut dan mungkin segala bantuan lain lagi, termasuk Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) yang tidak jadi dtangguhkan pembayarannya sebagaimana dijanjikan.

●     Cabaran perpaduan rakyat

52.     Seiring pandangan Tokoh Sosiologi Politik, Ibnu Khaldun yang diiktiraf seluruh dunia, perakuan terhadap kaum dan agama yang majoriti harusnya tidak diganggu gugat oleh sebarang usaha. Penghormatan terhadap hak agama Islam dan kaum Melayu yang merupakan majoriti dan teras negara ini adalah kunci keharmonian hidup rakyat Malaysia pelbagai bangsa. Tidak dapat tidak perpaduan antara Islam dan Melayu perlulah mempunyai kekuatan.

53.     Walaupun berlainan parti, ideologi dan fahaman politik, titik persamaan bagi kekuatan umat di negara ini mestilah dijalin dan diikat sekukuhnya. Islam wajib menjadi teras kepada penyatuan Melayu di negara ini selaras dengan pengenalan bahawa Melayu itu sendiri adalah Islam menurut tafsiran Perlembagaan. Hak Islam dan Melayu tidak harus semudahnya ‘diswastakan’ atau terpercayakan pihak lain. Namun, harus diingat bahawa penyatuan ini bukanlah untuk menafikan hak kaum lain atau membina kekuatan menindas pihak lain. Tetapi dengan melindungi kepentingan Islam dan Melayu selaku majoriti dalam negara ini merupakan formula sejagat melahirkan keamanan dan kesejahteraan:

وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعاً وَلاَ تَفَرَّقُواْ وَاذْكُرُواْ نِعْمَةَ اللَّهِ
عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُم أَعْدَآءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَاناً

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai berai dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu (kerana) nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara”

[ali-‘Imran: 103]

Tajdid DPPM

Sidang Muktamirin sekalian,

54.     Bahawa menyampaikan dakwah dan melaksanakan tajdid (perubahan) itu merupakan suatu kewajiban dan hakikat yang pasti seperti yang dituntut oleh Syara’ dan tidak pernah timbul sebarang khilaf di kalangan ulamak mengenai hukum ini. Maka pelaksanaan prinsip-prinsip wajib berdakwah itu dapat dilakukan melalui dua keadaan: secara Fardiyy (perseorangan) dan Jama’iyy (berkumpulan atau kolektif). Nas yang terkuat menunjukkan bahawa pelaksanaan dakwah secara Jama’iyy adalah lebih dituntut yang mesti dilaksanakan oleh setiap umat Islam sehingga tertegaknya Din dan Hakimiyyah Allah di atas muka bumi ini dan kaedah ini akan menyebabkan kesan dakwah lebih terasa. Dan di atas dasar itulah para ulamak tanah air yang menyedari hukum ini mewujudkan Parti Islam Se Malaya atau ringkasnya PAS, 67 tahun yang lalu.

55.     Aspek selanjutnya dalam dakwah kita ialah bagaimanakah sesuatu Jamaah Islam itu dapat menyusun organisasinya (Tanzim) secara teratur dan kemas ke arah mencapai matlamat yang telah digariskannya. Kita juga dapati kelemahan dan kegagalan kebanyakan Jamaah Islam di dunia pada masa kini adalah berpunca daripada kelemahan aspek pengurusan organisasi atau tanzim Jamaah. Berjaya-tidaknya sesuatu Jamaah Islam amat bergantung kepada bagaimana Pimpinan (Qiyadah) dan pengikutnya (Jundiyyah) mengendalikan penyusunan organisasi Jamaah itu. Dan di dalam mengendalikan Jamaah itu, prinsip dan adab ber-Jamaah itu menjadi amat penting sekali kepada semua peringkat, dari Ahli Biasa PAS ke Mursyidul ‘Am.

56.     Sehubungan itu, seiring dengan perubahan landskap politik nasional, DPPM juga sejak awal merencanakan idea perubahan agar kita terus up to date dengan perkembangan semasa. Allah S.W.T berfirman: 

إنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” 

[ar-Ra’d: 11]

57.     Dengan memahami ayat ini, kita menyedari tuntutan melakukan tajdid dan perubahan menerusi penyusunan dan strategi hingga membolehkan sentiasa relevan dalam gerakan massa. Perubahan yang didambakan mestilah dimulai dari sekarang. Kerana sudah menjadi Sunnatullah bahawa Allah tidak akan merubah apa pun selama tidak ada perubahan dari kita sendiri. Jika sudah ada keinginan dan usaha untuk berubah, maka Janji Allah untuk memberi bantuan dan kemudahan akan segera datang:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

“Dan orang-orang yang berjihad (berusaha) untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan Tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah bersama orang-orang yang berbuat baik.”

[al-Ankabut:69]

58.     Allah S.W.T berjanji bahawasanya golongan yang mendapat petunjuk adalah mereka itu berusaha dalam mengejar redha-Nya. Bukan hanya duduk berpeluk tubuh dan mengkritik tanpa menjadi sebahagian dari keringat perjuangan ini atau lebih malang lagi, posisi penting di dalam parti disalahgunakan. Oleh itu, DPPM tidak menunggu lama setelah PRU-14 untuk merencanakan perubahan itu dan kini kita telah bersedia untuk mengorak langkah. Idealisme dan governan pengurusan sektor yang dicadang merangkumi aspek berikut.

●     Politik anak muda (Tajdid Siasi)

59.     Bagi memastikan persediaan PRU-15 yang dijangka kurang dari 5 tahun ini, maka persada dan pentas politik anak muda perlu digembleng semaksimum mungkin. Sudut pandang politik perlu menggabungkan semua kekuatan dalam satu sektor yang khusus dan tidak lagi bergerak sendirian. Pertindihan fungsi dan peranan perlu dikeluarkan agar gerak kerja tersusun dan lebih terarah. Dengan objektif meletakkan DPPM sebagai platform pemerkasaan politik anak muda Malaysia, kita mahu Jabatan Pilihan Raya, Strategi dan Penyelidikan, Alam Sekitar, Kepenggunaan, Tanah dan Peneroka, Hal Ehwal Antarabangsa, Pemuda DHPP untuk bersama dalam satu sektor besar dan saling melengkapi.

60.     DPPM mahu pengorganisasian politik anak muda ini juga berlaku di peringkat negeri. Kita mahu engagement bersama stakeholders dibesarkan ruang lingkupnya. Kebebasan engagement ini harus dimanfaatkan sama ada kepada parti politik, jabatan dan agensi kerajaan dan swasta, NGO dan NGI, Mahasiswa (seperti MPP, persatuan pelajar dan GAMIS) dan pelajar sekolah dan organisasi luar negara. Semua ini akan meluaskan ruang lingkup menggerakkan politik anak muda anjuran PAS untuk mendahului massa.

●     Sumber manusia dan latihan (Tajdid Binaie

61.     Walaupun sektor politik mencambahkan ruang, tetapi peranan PAS tidak terhad semata-mata politik. Idealisme politik tidak memadai tanpa proses kaderisasi yang komprehensif. Silibus tarbiyyah PAS versi Malaysia sudah padu dan berstruktur, namun proses kaderisasi ini tidak mudah kerana ia bukan pembentukan sehari dua, tetapi memerlukan istiqamah dan komitmen yang jitu. Kita bukan hanya membentuk pemikiran dan idealisme politik, tetapi fokus kepada pembentukan Fardu al-Muslim (Individu Muslim) yang berilmu, bertaqwa dan berakhlak. Acuan tarbiyyah PAS fokus kepada pembentukan aqidah sahih, syariah yang hidup dan tasawwuf muktabar.

62.     AKTAR, AKP, JPR, JPM, JPMLN, JPG dan JPro akan saling bergandingan bagi memastikan objektif melahirkan 12,000 pemuda dapat direalisasikan.

Sabda Rasulullah S.A.W:

“Sebaik-baik teman 4 orang, sebaik pasukan tentera 400 orang, sebaik-baik ketumbukan tentera 4000 orang dan sama sekali tidak akan dikalahkan 12 ribu orang oleh golongan yang sedikit.”

(Riwayat Tirmizi dan Abu Dawud)

●     Pengurusan (Tajdid Idari

63.     Governan dan pentadbiran yang baik akan lebih memudahkan usaha mengurus organisasi besar ini. Sektor ini akan diketuai oleh Setiausaha bagi penyelarasan pengurusan kepejabatan, pemerkasaan dan perancangan, audit dalaman, hubungan serantau dan dibantu oleh JUHAM. Best Practice Governance yang akan diperkenalkan oleh DPPM diharapkan akan turun ke semua peringkat hatta ke Cawangan. Penyeliaan yang baik bakal menjadikan ahli dan kepimpinan lebih berdaya saing untuk ke hadapan, dan isu-isu pentadbiran akan terus diminimumkan.

Inilah yang diajarkan oleh melalui firman Allah S.W.T dalam Surah al-Sajadah ayat 5:

“Allah mentadbirkan makhluk-makhluk-Nya; (bagi melaksanakan tadbir-Nya itu, Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepada pengetahuan-Nya (segala yang berlaku dari pelaksanaan tadbir-Nya itu untuk dihakimi-Nya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa.”

●     Kewangan dan ekonomi (Tajdid Mali atau Iradi)

64.     Kelangsungan parti politik seperti PAS tidaklah bergantung kepada dana tertentu dari pihak tertentu, sebaliknya melalui voluntary convention seperti infaq dan sadaqah. Walaupun kita yakin sumbangan dan infaq ahli dan bukan ahli terhadap usaha murni PAS mendominasi pergerakan parti, kita juga perlu menyediakan model pendapatan yang bersifat lestari bagi menambah nilai usaha dilakukan. Di pihak DPPM, kita berusaha memastikan tadbir urus kewangan yang telus dan berdaya saing, melalui gabungan jabatan terlibat di dalam satu sektor seperti Bendahari, Lujnah Ekonomi (LEPU), Tabung Kebajikan dan Jawatankuasa Kewangan. Bahkan DPPM akan berusaha menstruktur sumbangan agar lebih telus.

65.     Ahli-ahli juga diingatkan agar kita tidak terlibat dengan semua usaha-usaha pendapatan dan perniagaan yang meragukan, melanggar undang-undang dan ‘skim-skim cepat kaya’ atas nama perjuangan Islam kerana itu bakal memberikan imej negatif kepada organisasi dan agama, bahkan membimbangi kesan kepada amalan dan taqwa. 

Sabda Rasulullah S.A.W:

“Daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda: “Sesungguhnya Allah Taala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang Mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Taala berfirman: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh). (Surah al-Mukminun 23:51) Dan Allah Ta’ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu).(Surah al-Baqarah 2:172) Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?” 

(Riwayat Ahmad no. 8348, Muslim no. 1015 dan al-Tirmizi no. 2922)

     Komunikasi korporat (Tajdid Ittisali)

66.     DPPM menyedari bahawa faktor utama kemenangan PH dalam PRU-14 adalah penguasaan media baru dan penyelarasan di peringkat penerangan. Mereka memanfaatkan sepenuhnya akses kepada media baru serta big data analytics. Mereka berjaya membentuk segmen-segmen pengundi, menerobos emosi dan memasukkan sentimen yang memberi kelebihan kepada kempen.

67.     DPPM mengakui PAS agak jauh ketinggalan dalam sektor ini. Bagi mendepani PRU-15, DPPM melalui komunikasi korporat akan membina satu strategi bagi memastikan kita mampu menangkis segala tohmahan serta memujuk pengundi muda bersama dengan PAS. Sikap ‘wara’ dan ‘tawadhuk’ dalam politik yang disalah difahami oleh ahli-ahli dan penyokong PAS memerlukan mindset ini perlu diubah tetapi masih perlu kekal berpandukan politik nilai dan akhlak.

     Tanggungjawab sosial dan khidmat masyarakat (Tajdid Ijtimaie)

68.     Tiada siapa boleh menafikan usaha-usaha kebajikan yang dilakukan PAS. Jabatan Amal gagah dengan gelaran tentera merah, DACS kekal alternatif sukan dan kebudayaan anak muda, Lujnah Dakwah menyantun masyarakat sivil di tengah belantara dan Lajnah Perpaduan Nasional kukuh membina kelestarian perpaduan masyarakat Malaysia. Pengiktirafan yang diberikan seharusnya tidak melekakan sebaliknya memberi semangat untuk terus berkhidmat luar dari batasan politik, agama dan bangsa.

69.     DPPM mahu usaha sebegini disemarak dengan kewujudan pelbagai lagi kelompok-kelompok nasional di kalangan ahli parti. Kita mahu setiap segmen masyarakat disantuni tanpa label, kerana PAS yang difahami kita adalah gerakan massa, bukan tertumpu kepada politik semata-mata.

     Pendidikan (Tajdid Tarbawi)

70.     Aspirasi yang dimiliki PAS berbeza dengan mana-mana parti politik. Kita bukan hanya ingin mencetak kepimpinan parti dan negara, sebaliknya kita memiliki acuan sendiri berteraskan Islam untuk membina negara dan bangsa. Kita memiliki rantaian pendidikan bukan hanya untuk ahli, sebaliknya terbuka kepada semua masyarakat. Ini semua bertujuan untuk membina negara ini dengan generasi mulia, yang cinta kepada agama dan negara. Usaha kita bukanlah syok sendiri tetapi memiliki pengiktirafan dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam bersama memartabatkan pendidikan negara.

71.     Jumlah PASTI kini mencecah 2,800 premis dengan kekuatan 8,000 guru dan 130,000 pelajar dan lebih sejuta alumni. Bagi SRITI, walaupun agak baru tetapi kita boleh berbangga memiliki 115 premis. Forecast kita untuk 10 tahun akan datang agar jumlah ini dapat ditingkatlan lagi sekali ganda. InsyaAllah juga, penyelarasan SMITI akan dimulakan sedikit masa lagi untuk terus sama dalam agenda besar pendidikan ini.

Dinamika politik menuju PRU-15

72.     BPMS yang baharu diperkenalkan PAS ternyata telah menampakkan kesan positifnya hingga mengundang keterbukaan dan kematangan saingan politik PAS. Lebih ketara, ia menarik hati banyak pihak untuk mengenali, mendekati, menjalin kerjasama dan hubungan bersama PAS demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Namun, pendekatan ini perlu sentiasa digilap sebagaimana langkah diambil Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertemu Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad.

73.     Begitu juga pendekatan kasih sayang oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, termasuk tidak mengambil tindakan politik terhadap kakitangan awam yang berbeza kepartian, selain tetap meneruskan projek kerajaan terdahulu demi kebaikan kepada rakyat. Di Kelantan pula Menteri Besar, Dato’ Ustaz Ahmad Yakob meneruskan legasi Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat membawa Serambi Makkah itu ke arah pentadbiran yang lebih baik hingga menerima pengiktirafan banyak pihak.

74.     Semua itu termasuk antara BPMS yang perlu terus dihidang kepada rakyat hingga ia benar-benar membudaya dan sentiasa relevan dalam menempuh massa. Asas berkaitan perlu diteguhkan lagi dengan kemampuan mengadun gerakan kita dengan pertimbangan yang terbaik menurut neraca syarak. Fiqh Muwazanat dan Fiqh Awlawiyat boleh menjadi antara pedoman untuk melakukan pertimbangan bagi memutuskan langkah. Ia membantu PAS untuk tetap dipacu antara kedudukan-kedudukan yang ‘mendesaknya’ mengadakan pilihan.

75.     Berdasarkan sikap semasa yang terang dapat dilihat, PH tidak mempunyai halatuju jelas hingga ramai mengambil kesempatan menggugat Islam dan hak Melayu. Bahkan, retorika perpaduan dicanang PH, bukan sahaja bersifat sementara, tetapi turut dibayangi agenda ‘Malaysian Malaysia’ yang dicita-citakan DAP sejak sekian lama. Ini demi memelihara keharmonian dan perpaduan rakyat dari segala sentimen sebagaimana tragedi lampau 13 Mei dan kebangkitan Himpunan Kesatuan Melayu-Islam 1946.

76.     Begitu juga ‘desakan’ kerajaan baharu terhadap isu berkait Survival Islam dan Melayu menuntut kita membuka minda lebih besar dan keluar dari kepompong liga politik selama ini. Harus diingat, dinamika politik hari ini benar-benar berubah. Kita berpolitik dengan dasar syariat demi kelangsungan umat Islam dan masyarakat Melayu sebagai majoriti dalam demografi populasi negara.

77.     Kedudukan politik semasa perlu dinilai semula dan Pemuda mesti bersedia untuk menerima dan mendukung sebarang keputusan bagi memastikan survival utama masyarakat Islam dan Melayu kekal di dalam negara kita. Benar ada pihak bermasalah dan kalah, tapi demi Islam kita mengajak kepada kesatuan. Benar ada pihak memimpin dan menang, tapi demi Islam kita juga sedia berpadu. Maka, kita menyerahkan kepada Majlis Syura Ulamak untuk menentukan halatuju perpaduan Islam dan Melayu yang dicadangkan.

78.     Maka dengan pelbagai dinamika politik yang terbuka berubah serta menjadi kian rencam di masa depan menuntut kefaqihan seluruh ahli PAS, termasuk Pemuda hingga berupaya menyulam gerakan secara aktif dan inovatif. Saya percaya, keupayaan sekurang-kurangnya dalam kedua cabang fiqh ini, bahkan jika boleh lebih dari itu, akan menjadikan PAS penggerak politik yang sentiasa terkehadapan.

Kesimpulan

79. Jamaah Harakah Islamiyyah kita yang bernama PAS sebagai sebuah parti politik telah melaksanakan kewajiban meletakkan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas sebagai sumber sahih rujukan dan dasar perjuangan. Amalan syura yang berkesan pula akan membantu pimpinan mengemudi organisasi dengan cekap dan mendapat keredhaan Allah S.W.T. Gabungan tenaga di antara barisan kepemimpinan yang bijak dan pengikut yang setia di bawah manhaj yang tersusun kukuh akan menghasilkan natijah yang diharapkan dan bakal melahirkan Hizbullah yang dinantikan.

80.     Dalam mengharungi kancah politik yang baru ini, kita perlu memahami bahawasanya kemenangan Islam hanya boleh dicapai dengan kesatuan umatnya. Walaupun kita mengakui tidak mampu menjadikan semua orang ahli PAS, tetapi matlamat kita adalah untuk menjadikan masyarakat Malaysia dapat mengenali Islam dan pencipta-Nya. Pengalaman ini mengajar kita bahawa dakwah dan politik yang dibawa oleh PAS ini semakin diterima oleh masyarakat agar ia menjadi motivasi bagi kita mempergiatkannya.

81.     Kita menyedari ada sebahagian masyarakat yang sudah muak dengan politik dan merasakannya memecahbelahkan umat. Namun kita meyakini mempersadakan Politik Islam ini adalah tuntutan agama yang besar dan sentiasa memberi pengharapan kepada rakyat. Justeru itu, kita memimpin masyarakat tanpa mengira latar belakang politik, dan agama agar mesej Islam yang ingin disampaikan itu tidak dikaburi dengan kebencian mereka pada politik. PAS disokong bukanlah kerana sejarah parti yang lama atau pemimpin hebat, bukanlah juga kerana ahlinya ramai. PAS disokong kerana membawa aspirasi dan perjuangan Islam.

82.     Selagi mana kita menjujung perjuangan Islam ini, selagi itulah Allah S.W.T. akan memelihara parti dan Jamaah ini. Sepertimana yang disebut oleh Amirul Mukminin Umar al-Khattab:

“Kita adalah satu kaum (Muslimin) yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selainnya, maka Allah menghinakan kita.”

83.     Selamat bermuktamar wahai syabab yang dikasihi sekalian. Jazakallahu khairan kathiran Pemuda ucapkan kepada YB Dato Ustaz Timbalan Presiden yang mewakili pimpinan tertinggi kerana merasmikan Muktamar Pemuda pada hari ini. 
 
84.     Tidak lupa penghargaan terima kasih saya buat sahabat-sahabat Panitia Muktamar DPPM kali ini khususnya Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu selaku tuan rumah yang telah bertungkus lumus mengada dan melancarkan persiapan dan meraikan para tetamu, perwakilan serta pemerhati dari seluruh Malaysia. Juga kepada semua anggota Jabatan Amal Malaysia yang bertugas melancarkan sebahagian urusan di dalam Muktamar. Semoga Allah S.W.T permudahkan segala urusan kita dalam Sidang Muktamar kali ini.

والله أعلمُ بالـصـواب

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI,
Ketua Pemuda PAS 2018 – HARAKAHDAILY 13/9/2018
 

- Advertisement -