Maszlee itu budak di UIA

- Advertisement -

DR MASZLEE Malik itu mungkin menteri pendidikan tetapi sebelum masuk politik yang aktif dia adalah pensyarah junior Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

- Advertisement -

Lima bulan selepas meninggalkan kampus dilantik menjadi pengerusi universiti itu. Terkejutlah sekalian profesor dan syeikh kanan universiti itu untuk berketuakan seorang budak di situ dulu.

Ia mengingatkan saya kepada sekali Pengetua Maktab Melayu Kuala Kangsar mengundang al-Marhum Tun Hussein Onn sebagai tetamu di hari terbukanya. Al-Marhum adalah menteri. Saya tidak pasti menteri apa. Sesuai dengan martabat sekolah berprestij itu tentulah dia menteri pelajaran.

Berbesar hatilah sekolah itu dan masyarakat Kuala Kangsar atau persetujuan orang sepentingnya jadi tetamu sekolah yang dalam sejarahnya mengeluarkan ramai pemimpin dan pembesar kerajaan.

Tiba hari tersebut dikirimnya anaknya Hishammuddin untuk mewakilinya. Bukan luar biasa perdana menteri dan menteri digantikan oleh isteri atau anaknya di majlis seperti itu. Tapi bagi Maktab Melayu itu Hishammuddin adalah bersekolah di situ dulu.

Dia mungkin pernah dirotan atau dihukum oleh guru-gurunya. Bila dia mewakili bapanya, dia pula belum ada kedudukan dalam masyarakat, maka pengetua dan guru-gurunya menyambunya. Dia duduk di pentas kehormat dan guru-gurunya duduk di bawah.

Mengikut adab guru-guru pondok tidak sopan tok guru duduk di bawah murid duduk di atas. Setua mana pun bekas murid itu dia mesti cium tangan tok guru. Maka tularlah di Kuala Kangsar Tun Hussein mewakilkan anaknya di situ. Dia boleh hantar timbalan menteri atau mana-mana pegawai kementerian.

Apa anda fikir? Bagi saya ia tidak patut.

Dan tidak patut juga Maszlee dijadikan ketua kepada sang-sang profesor dan akademis kanan sedang dia budak di situ dulu. Jika Maszlee kekal di situ, mungkin dia terpaksa tunggu 20 tahun untuk dapat status mahaguru-mahaguru di situ.

Saya kira ia juga satu kejadian tidak patut.

Dr Mahathir itu orang yang teramat tua. Wajarnya dia tidak angkat pengerusi universiti orang berhingus yang pernah jadi budak dalam masyarakat di situ. Untuk jawatan politik tidak pelik budak Syed Saddiq jadi menteri.

Saya tidak peduli, ia selari dengan semangat manifesto atau tidak. Angkatlah Maszlee untuk jadi pengerusi apa saja di tempat lain, tetapi bukan jadi ketua profesor-profesor yang mungkin pernah mentakwil kerjanya.

Dan Maszlee pula berdalih dia terima pelantikan justeru tidak mahu derhaka kepada Raja yang memperkenankannya. Raja biasanya bukan melantik bahkan memperkenan.

Maszlee sebagai anak muda pintar dan tinggi santun dan adab islaminya justeru pergaulan dan pengalaman dengan masyarakat ulama dan cerdk pandai Islam di situ, dia mesti pandang hormat kepada orang-orang kanannya di situ, ada adab yang payah baginya berketuakan orang-orang di situ.

Orang sepintar dan sewibawanya boleh nasihat Perdana Menteri yang amat tua itu betapa carilah orang lain. Sebagai menteri orang di situ wajar akur kepada dasar kerajaan dan menteri tetapi tidak kena jadi ketua orang-orang tua di situ.

Maszlee wajar cari hujah lebih kuat jika hendak pertahankan pelantikanya, bukan berdalihkan Raja. Biarlah orang dulu suka bersandar kepada Raja hingga kadang-kadang Raja boleh rebah atas dalih remeh.

Kuasa pengerusi itu besar termasuk menolak pandangan dan keputusan orang bawah. Macam mana adab Maszlee memveto orang lebih kanannya dahulu? – HARAKAHDAILY 11/9/2018

- Advertisement -