Krisis integriti dalam politik di Malaysia (Siri 2)

- Advertisement -

MENGAPA PAS terlepas dari budaya buruk dan virus yang menghinggapi semua parti politik di Malaysia?

- Advertisement -

Hal ini tidak berlaku dalam PAS kerana beberapa alasan.

Asas utamanya kerana ahli, pimpinan dan organisasi PAS memahami prinsip integriti daripada perspektif Islam.

Perkataan an-Nazaahah atau integriti banyak diperkatakan oleh ulamak terdahulu sebagai salah satu sifat yang mulia. Antaranya disebut oleh Ibn Al-Jauzi:

“Dalil kesempurnaan gambaran batin ialah kebaikan tabiat dan akhlak. Maka tabiat itu terdiri daripada sifat menahan diri daripada keburukan, integriti, menjauhi kejahilan serta menjauhi keburukan….”

Nilai amanah yang menjadi salah satu nilai yang membentuk integriti banyak diperkatakan di dalam al-Quran. Antaranya ialah sifat amanah yang membentuk integriti yang tinggi yang dimiliki oleh Nabi Musa A.S:

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

“(Maksudnya) Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.”

(al-Qasas: 26)

Pimpinan PAS pula mempunyai beberapa kekuatan yang disebut oleh kepimpinan Pemuda iaitu:

●      Kejayaan dari pemerintahan Kerajaan Negeri Kelantan. Bukan sahaja terbukti bebas rasuah, malah menunjukkan prestasi kewangan sangat cemerlang. Semua ini lantaran ketelusan yang bermula dari dasar parti menerajuinya iaitu PAS.

●    Kejayaan itu tidak hanya kerana ketelusan dan amanah pentadbiran, tetapi turut disumbang oleh kecekapan pengurusan yang bermula dari sekecil perkara yakni berjimat cermat. Lebih penting, ia adalah kekuatan aspek rohani di mana mendidik perihal ketakwaan; sesuatu yang tiada dalam ajaran selain Islam.

●      Islam yang menjadi dasar kepada parti PAS inilah hingga perkara itu dibuktikan dengan pengiktirafan markah 99.0 peratus bagi Prestasi Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2016 dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk Pejabat Menteri Besar dan SUK Kelantan.

●      Pencapaian ini berlaku dalam keadaan Kelantan dinafikan bayaran royalti petroleum, sehingga mampu mentadbir sedemikian dengan kekurangan sejak tahun 1990 angkara sekatan Kerajaan Persekutuan. Prestasi sama ditunjukkan semasa PAS mentadbir Kerajaan Negeri Terengganu tahun 1999 dan Kedah tahun 2008 dahulu.

Perkembangan terkini dalam PAS

Apa yang berlaku dalam konteks politik pra PRU14, PAS telah difitnah menerima rasuah oleh pihak Sarawak Report. Tanpa mengambil kira apakah fitnah itu benar atau sebaliknya, nama PAS dan pimpinan mereka telah difitnah sebegitu rupa sehingga RM90 juta dikatakan masuk ke dalam kantong PAS atau pemimpin mereka. 

Persoalan yang timbul, apakah isu ini akan digunakan dalam PRU15 akan datang atau mana-mana PRK yang akan berlaku?

Persoalan juga timbul apakah langkah yang patut diambil oleh pimpinan PAS supaya fitnah demikian boleh ditolak dengan mudah?

Apakah pula usaha yang boleh dilakukan oleh ahli mereka bagi memastikan nama baik pemimpin mereka, Ahli Majlis Syura (AMS), Ahli Dewan Harian (ADH), AJK PAS Pusat dan seluruh kepimpinan mereka dapat diselamatkan dari fitnah yang melibatkan integriti pimpinan mereka tercalar pada masa yang akan datang.

Persoalan ini akan dijawab dengan beberapa pandangan di bawah:-

Mengapa perlunya Jawatankuasa Integriti

Penubuhan jawatankuasa ini sangat penting untuk memastikan pimpinan PAS terselamat daripada sebarang fitnah pada masa yang akan datang. Jika berlaku apa sahaja bentuk fitnah daripada mana-mana pihak, maka pihak jawatankuasa ini boleh mengadakan siasatan, lawatan dan akhirnya mengesahkan bahawa mereka tidak melakukan sebarang bentuk tindakan yang boleh mencemarkan kedudukan mereka terutama sebagai pemimpin PAS. Jika kita sebagai ahli parti melihat pucuk pimpinan didakwa melakukan korupsi dalam pentadbiran negeri, pengurusan politik dan lain-lain, aduan dan laporan dalam bentuk penyerahan bukti, persaksian boleh dibuat terus kepada jawatankuasa ini tanpa melalui prosedur ketat seperti laporan tata tertib.

Pada masa itu, kita tidak memerlukan laporan akhbar, siasatan lanjut dan kenyataan songsang daripada mana-mana pihak kerana Jawatankuasa Integriti PAS sudah mempunyai autoriti yang cukup kuat dan tegas dalam memastikan mereka yang difitnah sebenarnya tidak terlibat dan sekali gus pihak luar gagal mencalarkan integriti pemimpin PAS terutama di peringkat Pusat dan Negeri.

Sekarang, apa yang kita boleh buat jika kita mendapati atau mendengar ada pucuk pimpinan didakwa mengambil komisyen daripada projek-projek negeri atau negara, mengambil wang daripada pihak parti musuh seperti Umno atau PH, memonopoli projek parti? Ahli di peringkat bawahan tiada ruang untuk melaporkan hal di atas kepada pihak yang bertanggungjawab.

Sekiranya hal itu tidak benar dan berlaku salah faham di kalangan ahli yang melihat daripada luaran, sudah tentu ia akan mencipta fitnah yang akan tersebar tiada kesudahan, justeru tiada penyiasatan rasmi dan telus di dalam parti melalui mekanisma Jawatankuasa Integriti yang dicadangkan.

Jika ia melibatkan korupsi yang besar seperti melibatkan penyelewengan jutaan ringgit, ia akan meletakkan ahli yang berpegang kepada nahi mungkar dalam dilema. Asas nahi mungkar ialah berusaha sehingga yang mungkar itu berhenti. Sememangnya langkah pertama ialah menegur secara tertutup tetapi ia boleh berakhir dengan meminta khalayak ramai membantu mencegah bersama sebagaimana Hadis-hadis Nabi yang berkaitan.

Penutup

Tulisan di atas adalah cadangan awal dan idea asas kepada perlunya penubuhan satu Jawatankuasa Integriti yang mengaplikasikan tanggungjawab semua iaitu “menghindarkan daripada kerosakan lebih utama daripada mendapatkan maslahat” dan lain-lain kaedah dalam Islam. Cadangan awal ini boleh dilaksanakan dalam bentuk kelulusan awal di peringkat Muktamar, penubuhan jawatankuasa khas pembentukan portfolio ini seterusnya disediakan SOP dan garis panduan pelaksanaan.

Mudah-mudahan, dengan cadangan penubuhan Jawatankuasa Integriti PAS ini akan membuktikan kepada masyarakat bahawa PAS sudah cukup bersedia menggantikan kerajaan yang diterajui oleh BN sebelum ini dan PH di peringkat Negeri dan Pusat. Dalam masa yang sama ia bersifat:

“Tegakkan Islam di dalam diri kamu, maka ia akan tertegak di tanah airmu.”

HARAKAHDAILY 12/9/2018

 

- Advertisement -