Dihina oleh yang menghina secara terhina

- Advertisement -

ASALNYA saya tidak ingin mengulas berkenaan kejayaan PAS yang walaupun tewas, yang memberi tamparan kepada PH dengan jumlah pengurangan majoriti yang sangat besar di PRK Seri Setia beberapa hari lalu. Namun atas beberapa hal yang tidak dapat dielakkan, maka saya turut serta berkomentar mengenai PRK ini. Ia bukan secara khusus berkenaan strategi pengundian, tetapi bagi motivasi ahli dan penyokong PAS secara keseluruhannya. Ianya juga kerana penghinaan musuh kepada jemaah Islam PAS.

- Advertisement -

Gandingan PAS dan Umno seperti yang kita maklumi, telah memberikan satu impak negatif yang besar kepada PH di Seri Setia. Pengurangan jumlah majoriti yang sangat besar, 15 ribu pengundi PH dahulu tidak keluar, memberikan isyarat jelas bahawa PH tidak boleh tersenyum bangga dengan kemenangan lalu. Ini kerana sehingga kini, setelah tiga PRK, dua Dun majoriti pengundi Melayu yang telah terasa ditipu oleh PH tetapi masih fobia dengan Umno, pengundi Melayu masih bersikap tunggu dan lihat kepada perkembangan semasa politik tanah air. Orang Melayu sekarang sudah mulai menunjukkan cara pengundian yang pintar. InsyaAllah mereka tidak lagi mudah lupa. Bukan senang mahu melepaskan belitan puluhan tahun yang membelenggu pemikiran rakyat bahawa BN sahaja yang mampu memerintah.

PH sebagaimana yang sudah dimaklumi, tidak mempunyai akar umbi yang kuat, banyak parasit yang hanya mahu menumpang ghanimah. Mereka pada bila-bila masa, bisa ditumbangkan oleh rakyat terutama Melayu jika selalu sahaja membuat perkara bodoh. Pada masa yang sama, rakyat yang cerdik, memerhati PH. Bimbang juga apabila rakyat sudah ketagih menjatuhkan kerajaan, mereka akan bertindak lagi. Maklumlah, macam dapat permainan baharu yang anak-anak kita suka. Asyik nak ‘repeat’ sahaja kerjanya. Apabila tidak akar umbi yang kukuh, mereka hanya mempunyai undi ‘lalang’ yang besar iaitu undi yang mengikut tiupan angin isu semasa. Jika DS Anwar secara tiba-tiba bersikap gelojoh mahukan jawatan Perdana Menteri, dalam masa yang sama, Tun Mahathir masih belum mahu menyerahkannya, maka ia boleh mencetuskan perbalahan dalaman yang hebat. Ingat, aura Tun Mahathir masih hebat, masih ramai penyokongnya terutama dari kaum wanita. Dan ini saya percaya isu ini akan menjadi anai-anai kepada PH.

Takdirnya keadaan sebegini berlaku, PH sangat tidak selamat kerana rakyat yang dahulunya dipropagandakan dengan mesej mahu menjatuhkan DS Najib, sekarang boleh menjadi keliru, siapa pula yang mahu dijatuhkan? Akan tetapi, jika dibiarkan Tun Mahathir terus memegang jawatan PM, kartel-kartel dalaman PKR, pasti tidak akan duduk diam. Mereka mungkin mencetuskan gerakan dalaman menjatuhkan Tun. Sayang mereka kepada Tun, hanya sayang mahukan kuasa. Dan ‘team’ Tun pula pastinya tidak akan berputih mata. Situasi ini juga memberikan kekeliruannya yang sama kepada rakyat.

Selepas kejatuhan Datuk Seri Najib, akan menjadi tersangat mudah bagi Tun, untuk kembali menerajui Umno. Dalam PKR juga, belum tentu kartel-kartel mereka yang ada akan bersatu di bawah DS Anwar kerana laparkan jawatan. Ditambah lagi dengan banyak perkara yang rakyat tidak berpuas hati terhadap PH, maka keruntuhan Kerajaan PH, sangat nyata. Saya tidak tahu sejauh mana kuasa yang Tun ada sebagai PM untuk membubarkan Parlimen walaupun penggal masih belum berakhir setahun umurnya. Tetapi jika ianya dibenarkan berlaku menerusi Perlembagaan, maka kita semua pastinya akan dapat mengagak pembubaran Parlimen akan menjadi butang kecemasan Tun dan bagaimanakah kesudahannya.

Tetapi apabila hati sudah hitam, apabila nafsu sudah bergelojak, apabila jiwa sudah kacau, orang mereka secara tiba-tiba menyerang PAS. Pelbagai asakan yang dilakukan, sebagaimana yang pernah saya tulis sebelum ini, fitnah bergabung dengan Umno adalah yang paling laris diniagakan mereka walhal pelukan mesra dan kasih sayang mereka dengan Umno di Kedah dan Perak dibuat-buat lupa. Tanda-tanda kepada kejatuhan Kerajaan PH amat nyata kerana mereka sibuk bermain persepsi dan fitnah. Pelbagai kesalahan pentadbiran yang nyata sedang dilakukan PH, tetapi masih membina persepsi kebencian terhadap lawannya. Cuba lihat Kerajaan Terengganu, tiada dihebohkan kejahatan BN yang lalu walaupun ada, tetapi kekal fokus dengan manifesto PRU. Sudah ada beberapa manifesto telah berjaya ditunaikan. Hasil diamnya Kerajaan Negeri Terengganu, rakyat mendapat ‘ubi’nya.

Pun begitu, kejayaan menunaikan manifesto oleh Kerajaan Negeri Terengganu yang sepatutnya disambut dengan kesyukuran itu, diselangi dengan kehinaan kepada PAS. Apatah lagi kerana PAS kalah di Seri Setia. Lagilah teruk mereka menghina. Tetapi saya melihat penghinaan ini dari suatu sudut yang lain. Ada yang katakan adalah lebih baik PAS berkawan dengan syaitan daripada duduk dengan gabungan parti-parti politik lain kerana semua parti gabungan yang PAS sertai sebelum ini, kalah. Jadi lebih baik bergabung dengan syaitan dan asbab gabungan itu nanti, syaitan akan kalah, dan semua orang akan masuk syurga. Gurau mereka. Saya melihat sindiran yang mungkin dianggap bernas, pintar dan hebat bagi menjatuhkan PAS ini sangat dangkal. Baiklah, mari kita lihat siapa yang kena dengan penghinaan ini. 

Masih ingatkah kepada gelaran Maha Firaun yang diberikan oleh mereka kepada Tun Mahathir suatu ketika dahulu? Gelaran ‘Maha’ seperti yang kita maklum, dahulu, kita memahaminya sebagai yang paling besar, berkuasa atau apa-apa yang semaksud dengannya. Oleh itu gelaran Maha Firaun kepada Tun adalah bermaksud Tun ialah Firaun yang terbesar, paling berkuasa. Itu maksud gelaran yang diberi ketika itu. Manakala Firaun pula ialah satu watak terhina di dalam sejarah Islam kerana kejahatan dia mengaku sebagai Tuhan.

Jika watak semelampau itu yang diberikan kepada Tun Mahathir ketika itu, dan mereka akhirnya mencium kembali tangan Tun Mahathir kini, malahan DS Anwar sendiri pun terpaksa menjilat Tun Mahathir bagi jawatan PM, jadi siapa lebih rendah kedudukannya? Hinaan mereka kepada PAS supaya duduk bergabung dengan syaitankah atau jalinan ikatan mereka dengan Maha Firaun sekarang? Mereka kini bergabung dengan watak yang tersangat jahat yang pernah mereka isytiharkan dahulu sedang PAS tidak pernah bergabung pun dengan syaitan. Tiadalah mereka merasa malu kerana syaitan telah menguasai diri mereka. PAS dilihat kononnya dihina oleh golongan yang suka menghina dengan cara terhina, tetapi akhirnya kehinaan itu kembali kepada mereka, si penghina yang terhina. Ingatlah, Firaun gilakan kuasa sehingga sanggup mengaku menjadi tuhan. Adakah logik kuasa akan diserahkan kepada musuhnya?

Teringat saya kepada beberapa tokoh besar PAS pada sekitar 80 dan 90-an dahulu yang suka mengkafirkan lawan mereka, terutamanya daripada Umno. Mereka itulah yang kemudiannya masuk Umno dan mati dalam Umno. Kemudian bergelumang dengan Umno bagi sama-sama melawan PAS. Jadi jaga-jaga dengan hinaan yang melampau, takut-takut ada yang kemudiannya menjadi syaitan itu. Dan pastinya mereka akan menjadi golongan yang terhina. Lebih baik dijenguk-jenguk dalam PH, siapa yang mengasah parang sekarang. Siapa yang akan menetak, siapa yang hendak ditetak. 

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
11 September 2018/ 1 Muharram 1440 – HARAKAHDAILY 11/9/2018

- Advertisement -