Tuntut penjelasan isu Tanah Rizab Melayu (TRM)

- Advertisement -

EKORAN daripada fakta yang dikemukakan oleh Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tun Hanif Omar kelmarin, Tanah Rizab Melayu (TRM) yang terdapat di seluruh negara hanya tinggal 12 peratus sahaja. Berdasarkan maklumat daripada Jawatankuasa Pemandu Urusan Data Tanah Rizab Melayu Semenanjung Malaysia, sehingga Oktober 2016, terdapat kira-kira 4 juta hektar TRM bersamaan dengan 31.2 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah di Semenanjung Malaysia.

- Advertisement -

DPPM menuntut kenyataan Penasihat MPM semalam harus dijelaskan semula atau adakah beliau merujuk kepada data TRM pada tahun 2005-2009? Penjelasan ini perlu diberikan untuk mengelak salah faham atau berkemungkinan berlaku kemerosotan mendadak pengurangan TRM dalam tempoh dua tahun (2016 hingga 2018) yang mungkin disebabkan oleh pembatalan status tanah dan penggunaan yang tidak diganti semula akibat pembangunan khususnya di kawasan bandar.

DPPM menggesa pihak kerajaan untuk melaksanakan syor-syor yang pernah dikemukakan oleh Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2013. Syor-syor tersebut bertujuan untuk melindungi dan meningkatkan nisbah peratusan keluasan TRM di seluruh negara yang antaranya adalah mengemaskini semula data kawasan TRM, mengambil tindakan segera menggantikan semula pengambilan TRM dan mengenal pasti kawasan baru yang bersesuaian untuk meningkatkan semula nisbah keluasan TRM. DPPM komited mendukung nisbah TRM mesti mencapai nisbah 50 peratus sepertimana yang diwasiatkan oleh Raja-raja Melayu sejak tahun 1957.

Sekian.

YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua, Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (Batu Burok)
1 Muharram 1440 | 11 September 2018 – HARAKAHDAILY 11/9/2018   

- Advertisement -