Sebat: PAS sanggah pendirian berhelah kerajaan PH

- Advertisement -

PAS menempelak pendirian Kerajaan PH melalui kenyataan Perdana Menteri bahawa hukuman sebat syariah yang dijatuhkan dan dilaksanakan oleh MahkamahTinggi Syariah Negeri Terengganu ke atas dua pesalah wanita kerana sabitan kesalahan lesbian sebagai memberi gambaran buruk terhadap Islam.

- Advertisement -

takiHarus diingat bahawa hukuman rotan syariah adalah kaedah penalti yang dibenarkan oleh Undang-undang Islam sama ada melibatkan kes-kes Hudud mahupun Takzir. Dalam hukuman Takzir seperti mana dalam kes tersebut, budi bicara adalah terletak kepada Hakim Syarie yang menilai kes dari sudut fakta dan undang-undang di samping pengakuan bersalah tertuduh serta mitigasi yang dibuat.

Selagi hukuman itu dibuat dalam ruang lingkup undang-undang berkaitan dan tidak memprejudiskan hak tertuduh, ia bukan sahaja suatu hukuman sah dari segi undang-undang, tetapi juga memenuhi kehendak kemanusiaan dan demokrasi setelah melalui proses yang sah, telus dan terbuka.

Dalam kes tersebut, amatlah jelas mahkamah berkenaan menjatuhkan hukuman dalam ruang lingkup undang-undang iaitu tidak melebihi enam rotan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 2, Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang diluluskan pindaannya pada tahun 1984, di mana Akta 355 tersebut terpakai kepada semua Mahkamah Syariah seluruh negara.

Bagi pelaksanaan hukuman rotan di kalangan khalayak termasuk di dalam Dewan Mahkamah, ia bukanlah suatu perkara asing yang perlu dipolemikkan kerana sebelum ini terdapat banyak hukuman rotan dilaksanakan sedemikian, terutama yang melibatkan kes juvana dan remaja.

Undang-undang, penguatkuasaannya dan mahkamah antara lain berperanan penting dalam menetapkan serta melestarikan nilai dan ukuran moral unggul tertentu untuk diikuti dan dihayati oleh anggota masyarakat secara individu mahupun masyarakat secara kolektif sebagai standard bersama, terutamanya dalam ruang awam.

Semua pihak juga perlu akur hakikat bahawa meskipun Undang-undang Syariah dan penguatkuasaannya terletak di bawah bidangkuasa kerajaan negeri, ia bukanlah menjadikan kepentingan dan kredibilitinya lebih rendah daripada undang-undang dan penguatkuasaan yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat. Ia sepatutnya dihormati dalam bidang serta ruang lingkup masing-masing sebagai sebahagian daripada kehidupan bernegara kita.

Justeru, PAS berharap semua pihak terutamanya Kerajaan PH perlu akur dan menghormati keputusan tersebut dan tidak cuba mengelirukan masyarakat dengan membangkitkan fakta yang tidak benar. Tindakan inilah sebenarnya yang memberi gambaran buruk terhadap perundangan Islam yang sudah nyata lagi adil sifatnya dan juga amalan demokrasi negara ini.

Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung
Bertarikh: 7 September 2018 – HARAKAHDAILY 7/9/2018

- Advertisement -