Jangan hilang fokus

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, cara sebatan syariah telah berjaya di Terengganu ke atas pesalah lesbian. Tahniah. Semua media menumpu kepada isu ini. Terdapat pemimpin negara yang memperlekeh usaha tersebut dan terdapat juga agamawan yang cuba menimbulkan keraguan. Tujuannya satu, kerana bimbang sokongan hilang nanti. Redha manusia diutamakan.

- Advertisement -

Ahli PAS dan pencinta kebenaran jangan kita lupa isu yang melanda kerajaan Pakatan Harapan (PH). Jangan hilang fokus. Kadang-kadang pemimpin PH cuba divert kepada isu lain. Janji 100 hari (mereka yang tetapkan) tidak ditunaikan. Alasan hutang banyak, sewaktu menulis, kononnya tidak cukup data. Kos sara hidup meningkat. Harga getah tidak naik.

Janji jika GST dihapuskan, harga barang keperluan turun. Apa yang turun, hanya barang daripada lori sahaja yang turun. Rakyat sedang menanti minyak RM1.50 seliter. Anak muda yang mengundi untuk hapus hutang PTPTN, sedang mengamuk. Janji untuk hapus tol jika PH menang, semuanya ilusi dan fantasi. AWAS ganti AES, dulu janji akan dihapuskan. BR1M ke arah penghapusan.

Jangan lupa isu kes Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilepaskan. Sehingga Tan Sri Rais Yatim pun memberi komentar. Isu seorang setiausaha politik menteri yang boleh selesai hutang RM800,000 kerana bankrap. Seorang exco di Melaka yang diberitakan menerima wang suapan RM2.6 juta. Menteri Pendidikan yang menjadi Presiden UIA. Kalau dulu janji untuk memberi kebebasan dan tidak campur tangan urusan menara gading. Nampaknya sama seperti janji hapus tol di Simpang Renggam.

Semua isu ini jangan dilupakan. Jangan hilang fokus. Biarpun mereka hendak alihkan ke arah isu lain. Isu yang menjadi kemarahan rakyat dan integriti yang cakap tidak serupa bikin sedang dinilai. Mereka begitu lantang sewaktu menjadi pembangkang. Apabila dapat kuasa sama sahaja, cuma salin botol tetapi ubat masih sama.

USTAZ IDRIS HJ AHMAD
Naib Presiden PAS
7 September 2018 – HARAKAHDAILY 7/9/2018

- Advertisement -