Bebaskan universiti dari pengaruh politik – GAMIS

- Advertisement -

TINDAKAN Menteri Pendidikan yang menerima lantikan untuk menjadi Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) adalah suatu tindakan yang sangat memelikkan dan bertentangan dengan perjuangan dan janji Pakatan Harapan ketika musim kempen dalam PRU14 yang lalu.

- Advertisement -

Menteri Pendidikan pada hari ini seolah-olah telah gelap mata dengan kehidupan yang mewah dan hidup berkuasa sebagai seorang Menteri serta telah melupakan prinsip perjuangan untuk mengangkat autonomi Universiti Awam daripada sebarang pengaruh politik seperti yang dilaungkan oleh beliau sebelum daripada terlibat dalam dunia politik tanah air Negara Malaysia.

Tindakan Menteri Pendidikan yang ghairah untuk memegang jawatan sebagai Presiden UIAM telah menimbulkan kemarahan banyak pihak termasuk Mahasiswa yang kecewa dengan janji-janji Pakatan Harapan yang semakin bertambah hari semakin banyak janji yang dimungkiri.

GAMIS menyeru kepada Menteri Pendidikan untuk bermuhasabah, bertaubat dan kembali memikirkan soal perjuangan untuk menyerahkan kembali Universiti Awam kepada ahli akademik secara sepenuhnya dan meletakkan jawatan serta merta bagi menghormati perjuangan dan janji yang telah ditaburkan sewaktu PRU14 yang lalu.

GAMIS beri masa selama seminggu (7 hari bermula hari esok) kepada Menteri Pendidikan Malaysia untuk meletakkan jawatan beliau sebagai Presiden UIAM dan sekiranya beliau masih berdegil untuk memegang jawatan tersebut, satu bantahan secara besar-besaran akan dilakukan di UIAM oleh Mahasiswa Malaysia selepas daripada ini. Ini adalah amaran dan janji daripada kami. Percayalah, apabila kami berjanji, kami akan tunaikan janji kami.

Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati Menteri Pendidikan agar tidak mengikuti jejak langkah Perdana Menteri yang sering memungkiri janji dan mengkhianati kepercayaan rakyat yang telah diberikan serta fokus untuk kerja-kerja memberdaya prestasi pendidikan negara bermula daripada pendidikan rendah sehinggalah pendidikan tinggi di pejabat Kementerian Pendidikan di Putrajaya.

Akhir kata, ketahuilah duhai Menteri Pendidikan Malaysia, sesungguhnya anda dilantik bukan untuk memegang sebanyak mungkin jawatan yang ada di dalam negara serta mengaut keuntungan ke atas segala elaun yang ditawarkan, tetapi anda dilantik adalah untuk memberikan khidmat dan berkerja untuk rakyat.

Sekian, terima kasih.

“Istiqamah Bersama Islam”

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
25 Zulhijjah 1439H / 6 September 2018M – HARAKAHDAILY 6/9/2018
 

- Advertisement -