Pertimbang semula pelantikan Presiden UIAM

- Advertisement -

PIHAK Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sewajarnya mempertimbangkan semula pelantikan Menteri Pendidikan sebagai Presiden UIAM yang baharu.

- Advertisement -

Terlebih wajar jawatan tersebut diberikan kepada ahli akademik yang berkredibiliti dan berpengalaman berbanding seorang ahli politik.

Permintaan ini juga selaras dengan aspirasi menteri sendiri yang mahukan universiti bebas daripada mereka yang mempunyai kepentingan politik kepartian.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan yang juga merupakan ahli parti politik PPBM turut mendesak semua penjawat awam lantikan politik dan mempunyai kecenderungan politik BN di universiti meletakkan jawatan.

Berasaskan aspirasi tersebut, beliau sewajarnya memberi laluan kepada individu lain yang lebih sesuai untuk menggalas jawatan tersebut.

Tambahan pula, seorang ahli akademik yang lebih layak perlu dilantik untuk memacu hala tuju universiti ke arah memartabatkan nilai ilmu di samping mengukuhkan autonomi dan kebebasan akademik.

PAS juga turut memberi perhatian terhadap isu pelantikan Setiausaha Politik Menteri Pendidikan yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia.

Sebelum ini, Penasihat Khas Menteri Pendidikan telah dilantik menjadi Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

Kementerian Pendidikan harus menjelaskan apakah tatacara pelantikan orang yang berkepentingan politik kepartian di jawatan-jawatan penting bagi mengelakkan persepsi buruk dan konflik kepentingan.

Jika tidak, lebih wajar agar lantikan politik tersebut digugurkan dan digantikan dengan tokoh lain yang lebih sesuai.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
24 Zulhijjah 1439 | 5 September 2018 – HARAKAHDAILY 5/9/2018

- Advertisement -