Jabatan Amal kempen tawan Seri Setia

- Advertisement -

SHAH ALAM: Jabatan Amal Malaysia menganjurkan program kemasyarakatan `A Day for charity (AD4C) bersama jentera PAS dan wakil penduduk PPR Lembah Subang Blok G & H dalam misi membersihkan kawasan padang taman permainan dan sekitar blok perumahan.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Amal Negeri Selangor, Shehdi Hezri berkata, Jabatan Amal dimaklumkan oleh wakil penduduk dan surau kawasan itu tidak diberi tumpuan langsung oleh mana-mana pihak.

Katanya, ini kerana kawasan perumahan tersebut berada ke dalam dan di hujungnya jalan mati.

“Penduduk berterima kasih di atas bantuan yang diberikan kepada mereka. Kami sempat mengajak mereka untuk sama-sama menjaga kebersihan khususnya di kawasan tempat tinggal,” katanya.

Menurut beliau, perkara itu penting dan perlu diubah adalah bermula dari sikap individu itu sendiri.

“Kawasan ini kawasan kita maka kita perlu bertanggungjawab memastikan sampah sarap dibuang ditempat sepatutnya,” katanya kepada penduduk PPR Lembah Subang, kelmarin.

Hari berikutnya, kata beliau Jabatan Amal menumpukan Masjid Tengku Kelana untuk melebarkan program khidmat bakti AD4C.

“Di sini kami telah membersihkan kawasan luar dan dalam masjid. Terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh jawatankuasa masjid,” katanya.

Sekitar kejiranan Masjid Al Amin hadapan Sunway Piramid, Jabatan Amal Malaysia membantu membersihkan sampah sarap kawasan persekitaran perumahan penduduk sambil membuka kaunter kesihatan.

Pengerusi surau flat Desaria dan seluruh AJK adalah orang kuat Umno.

Sebelum ini kata beliau, PAS tidak pernah berjaya masuk ke kawasan perumahan tersebut.

“Alhamdulillah hari ini dalam sejarah tembok itu dapat diruntuhkan berkat kerjasama politik sempena pilihan raya kecil Dun Seri Setia.

“Kami Jabatan Amal Malaysia Pemuda PAS diberi kebenaran memberi khidmat membersihkan surau dan sekitar flat tersebut, sehingga pengerusi terharu dengan kerja membaik pulih dapur surau mereka,” katanya.

Jabatan Amal juga telah membuka kaunter perkhidmatan kesihatan percuma serta perubatan Islam Darus Syifa.

Ahad lalu, ribut telah melanda kawasan Subang menyebabkan beberapa dahan pokok tumbang di sekitar kawasan SS7 dan SS5.

“Kebetulan kami sedang berkampung di Dun Seri Setia. Satu pasukan Amal Rescue Team (ART) Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor telah digerakkan ke lokasi bagi membantu memotong dan mengalihkan dahan yang membahayakan dan mengganggu pengguna jalan raya,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/9/2018

pas4

- Advertisement -