Suplemen khusus untuk ibu hamil berisiko

- Advertisement -

SEHARI dua ini heboh dalam media maya isu lambakan suplemen (pemakanan tambahan) yang dikategorikan sebagai produk sampah.

- Advertisement -

Para doktor pakar yang melihat dan membuat teguran dalam alam maya kerana banyak gejala penyakit timbul dari menggunakan produk kesihatan yang tidak dipantau keberkesannnya. Produk itu banyak termuat dalam iklan media sosial sehingga boleh mengelirukan orang ramai.

Lantas doktor yang lantang menentang segala bentuk penipuan maya menggelarkan produk berkaitan itu sebagai produk sampah, kerana dakwaan-dakwaan perubatan yang dibuat oleh jurujual melanggari akta yang dibenarkan.

Jus yang hanya campuran buah-buahan, mempunyai zat yang tersendiri tetapi didakwa boleh merawat kencing manis, darah tinggi, sakit jantung tersumbat dan pelbagai penyakit lain lagi.

Akta makanan dan pengiklanan telah melarang membuat dakwaan seperti itu bagi produk-produk kesihatan. Ini kerana produk-produk tersebut tidak pernah dibuktikan melalui kajian klinikal.

drsuhazeli6Sehubungan dengan kebimbangan dan kesedaran masyarakat itu, ramai ibu hamil yang bertanyakan kepada saya adakah suplemen yang dibekalkan oleh klinik itu juga dikategorikan sebagai produk sampah? Adakah ianya tidak dibenarkan dan tidak mendapat kelulusan daripada pihak berwajib? Adakah boleh mereka mengambil jus suplemen lain, selain yang dibekalkan oleh doktor sepanjang tempoh kehamilan?

Doktor akan membekalkan beberapa suplemen penting, khusus untuk ibu hamil yang berisiko. Antara suplemen yang selalu dibekalkan oleh pihak perubatan adalah zat besi, asid folik dan vitamin B12. Tiga suplemen ini penting dan mempunyai asas klinikal tertentu sejak sekian lama.

Contohnya asid folik, ianya adalah salah satu vitamin yang diberi kepada ibu hamil selain daripada zat besi dan vitamin B12. Pemberian asid folik kepada ibu-ibu hamil selama ini adalah disahkan selamat dan disyorkan oleh pakar-pakar obstetrik dan ginekologi seluruh dunia. Ianya telah terbukti bersandarkan kepada beribu-ribu kajian yang berwibawa.

Asid folik yang diberikan kepada ibu hamil adalah bagi mencegah berlakunya kecacatan saraf tunjang bayi (neural tube defects – Spina bifida). Kajian dari Pusat Kawalan Penyakit (CDC) menyatakan 70 peratus bayi yang berikutnya akan selamat setelah ibu hamil mengambil asid folik dari berlakunya kecacatan saraf tunjang. Kes ini terbukti dalam kalangan ibu yang sudah terdapat kecacatan saraf tunjang ke atas bayi pertama mereka. Satu peratusan yang cukup membanggakan.

Jumlah dos yang diberikan kepada ibu-ibu hamil juga sesuai dan selamat. Adalah dicadangkan pengambilan asid folik sebelum hamil bagi mengurangkan risiko mendapat bayi yang kecil saiznya (small for gestation).

Semua wanita digalakkan untuk mengambil 400 mikrogram asid folik setiap hari sebelum hamil sehingga 12 minggu kehamilan. Dos yang sama diteruskan sehingga bersalin. Dos yang lebih tinggi hanya untuk sesetengah kumpulan ibu hamil seperti ibu ada kencing manis (diabetes).

Semasa menyusu bayi pula, sebanyak 500 mikrogram disarankan demi kesinambungan pemulihan si ibu. Cadangan ini tidak tertakluk kepada berapa banyak makanan atau sayuran yang mengandungi asid folik yang boleh diambil oleh ibu hamil dalam tempoh berkenaan.

Zat besi pula penting bagi ibu hamil yang sering mengalami anemia. Anemia adalah satu penyakit di mana kandungan hemoglobin rendah dalam sel darah merah. Untuk maklumat tambahan, darah manusia mempunyai dua komponen utama sel darah iaitu sel darah putih (SDP) dan sel darah merah (SDM). Kedua-dua sel darah ini boleh berlaku penyakit dan memerlukan rawatan.

Bagi ibu hamil yang mempunyai anemia, penyakit yang selalu dikaitkan adalah Kurang Zat Besi Anemia (Iron Deficiency Anemia – IDA) dan Talasemia. Bagi kes dua jenis penyakit ini, Ujian darah yang dijalankan di klinik mendapati bacaan SDM mereka rendah.

Secara tepatnya Haemo-globin (Hb) yang terdapat dalam SDM itu rendah. Hb terdapat dua unsur yang membinanya iaitu Haem bermaksud zat besi dan globin bermaksud protein khas. Pesakit talasemia terjadi apabila unsur globin itu hilang atau berubah secara genetik. Menyebabkan Hb secara keseluruhannya rendah. Rawatan bagi pesakit talasemia adalah tambah darah.

Majoriti kes penyakit anemia pada ibu hamil ini adalah akibat dari IDA. Justeru, doktor akan membekalkan suplemen zat besi untuk membekalkan vitamin tambahan supaya pembuatan SDM berlaku. Zat besi yang dibekalkan akan digunakan oleh sum-sum tulang untuk membina SDM. SDM ini berfungsi sebagai pembawa oksigen ke sel-sel badan. Julatnya SDM (Hb) antara 11 hingga 14 g/dL. Suplemen zat besi yang dibekalkan oleh doktor mesti mempunyai dos yang tertentu. Ibu hamil tidak digalakkan mengambil suplemen lain selain apa yang disarankan oleh doktor dalam meningkatkan Hb dalam darah ini.

Manakala SDP bertugas sebagai pelindung badan dari jangkitan kuman. Terdapat jenis-jenis berlainan yang dikelaskan sebagai sel darah putih seperti eusinofil, limfosit, platelet dan lain-lain. Semuanya mempunyai fungsi khusus untuk keseimbangan badan.

Secara umumnya jika SDP meningkat dalam darah, terdapat jangkitan kuman berlaku. SDP akan diirembeskan banyak untuk melawan kuman tersebut. Jika SDP rendah, ianya mungkin rosak oleh pelbagai penyakit, antaranya leukemia. Doktor akan melakukan ujian pengesahan bagi penyakit ini.

Sekian, semoga penerangan ini memberi panduan kepada ibu-ibu hamil dalam memilih produk yang sesuai pada diri mereka. – HARAKAHDAILY 4/9/2018

- Advertisement -