Sebat lesbian: PAS serius mahu laksana Islam

- Advertisement -

PAS membuktikan bahawa Islam bukan hanya menjadi tempelan dan slogan perjuangan, tetapi benar-benar gerakan Islam itu serius dalam melaksanakannya di medan operasi masyarakat. Meskipun dalam keterbatasan kuasa dan pemerintahan, kerajaan yang dipimpin oleh PAS di Kelantan dan Terengganu terus mengorak langkah dalam mengaplikasikan pelaksanaan Islam sebagai bahan rujukan umat dan masyarakat di negara ini seluruhnya.

- Advertisement -

riduan mnorGeger dan gegak gempita media baru dan media arus perdana termasuk BBC mengulas panjang hukuman sebat ke atas dua wanita atas kesalahan cuba melakukan hubungan seks sejenis. Ia berjaya dilaksanakan di khalayak ramai dalam kamar Mahkamah Tinggi Syariah di sini, yang dikendalikan oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia.

Hukuman dijalankan mengikut Seksyen 125 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah. Sebatan syarie ini sedikit sebanyak ia menjadi asas penting kepada masyarakat agar melihat kebaikan hukuman Islam dan kesannya kepada masyarakat.

Walaupun di saat ini ada suara menempik yang menyanggah hukuman tersebut dilaksanakan kerana pelbagai alasan, pastinya alasan utama di sebalik penentangan itu kerana mereka tidak senang jika undang-undang Islam menjadi panduan utama dalam penyelesaian masalah maksiat dan kemungkaran yang dilakukan oleh manusia.

Perlu diketahui bahawa pelaksanaan syariat Islam dengan hukuman yang disaksikan oleh khalayak ramai tidak berniat menjatuhkan maruah pesalah, tetapi ia adalah hukuman sebagai mendidik pesalah dan orang ramai.

Walaupun sebatan yang dilaksanakan tidak sekuat hukuman rotan sebagaimana mahkamah sivil, tetapi aspek pelajaran itu yang perlu dititikberatkan. Dalam aspek hukuman sebat, Islam tidak bersifat mahu mendera pesalah melalui hukuman, ianya memberi bekas pendidikan kepada semua.

Mereka yang bersuara lantang membantah pelaksanaan hukuman terbabit tidak menyedari bahaya pelakuan seks songsang, maksiat atau perzinaan dalam masyarakat. Pernahkah mereka insafi jumlah pelaku seks dari kalangan remaja dan dewasa, statistik kelahiran anak luar nikah, kes-kes rogol, sumbang mahram, lesbian, gay, dan sebagainya yang membimbangkan dalam negara ketika ini. Mereka merasa hukuman ini begitu ngeri, menyiksakan, dan memalukan sedangkan mereka tidak terfikir kejahatan yang pesalah ini lakukan serta kesannya dalam masyarakat. Mereka juga langsung tidak tergambar bagaimana Allah menyediakan solusi dalam penyelesaian masalah sosial yang rumit melalui syariat Islam.

Sepatutnya mereka yang lantang menentang hukuman ini menyaksikan sendiri pelaksanaannya dan bandingkan dengan hukuman sivil yang dibuat sekarang. Buatlah rencana, kajian, penyelidikan, tesis mahupun penelitian bagi menghakimi antara undang-undang syariat Islam dengan undang-undang sivil. Jangan kerana hukuman itu adalah hukuman Syariah, apa sahaja yang dibuat akan ditentang tanpa melihat, membaca, menelaah dan mengkaji hukuman terbabit.

Pejuang lesbian, gay, biskesual dan transgender (LGBT) mungkin merasa terancam dengan hukuman yang dikenakan ini, dan sememangnya tugas kerajaan PAS untuk meluruskan kefahaman ummah terhadap perundangan syariah.

Kelompok liberal di negara ini berdiri dibelakang tuntutan songsang untuk mengiktiraf LGBT, menguatkan kedudukan, memberi hak dan kelihatan semakin membuncah keberanian mereka di akhir-akhir ini. Setidak-tidaknya, mereka perlu sedar bahawa ramai umat Islam bangkit menentang kegiatan songsang dan kemungkaran yang dilakukan oleh segelintir manusia yang tidak takut kepada Allah dan azabnya.

Ketika suara dan perjuangan mereka memuncak, hukuman seperti ini mengendurkan diri dan menyedari bahawa mereka berada di bumi Malaysia yang diiktiraf sebagai sebuah negara Islam, dan bukan di negara-negara Barat yang bebas tanpa sekatan. – HARAKAHDAILY 5/9/2018

Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS pusat dan Pengerusi LESTARI.

- Advertisement -