Beri pengajaran kepada PH, undilah PAS

- Advertisement -

PILIHAN Raya Kecil (PRK) N32 bagi Dun Seri Setia adalah medan terbaik bagi rakyat memberikan pengajaran kepada kerajaan PH dengan mengundi calon PAS. Rakyat seharusnya sedar akan permainan kerajaan PH yang dilihat gagal menunaikan janji manifesto yang dicanangkan ketika kempen PRU14 lalu dalam tempoh 100 hari yang dijanjikan.

- Advertisement -

Manifesto berkaitan tol, peluang pekerjaan baharu untuk sejuta rakyat, PTPTN, KWSP untuk suri rumah dan banyak lagi janji hanyalah sebagai manisan untuk memancing undi namun sehingga kini masih gagal dilaksanakan.

Dengan mengundi dan memenangkan calon PAS di Seri Setia termasuklah memberi undi kepada calon MCA di Balakong adalah sebagai satu isyarat kepada kerajaan PH untuk berhati-hati agar tidak sewenang-wenangnya membuli rakyat lagi.

Pemilihan kepimpinan menerusi medium pilihan raya sama ada PRU atau PRK adalah melibatkan soal kelayakan seseorang untuk menunaikan amanah dan memberikan hak kepada mereka yang selayaknya.

Apa yang berlaku sekarang adalah akibat daripada menyerahkan urusan pentadbiran kepada mereka yang bukan selayaknya mentadbir. Pentadbiran negara menjadi tidak stabil dan terus membebankan rakyat. Ini jelas dari sabdaan Baginda SAW menerusi sebuah hadis.

إذا وُسِّدَ الأمر إلى غير أهله فانتظر الساعة

Maksudnya: “Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya yang layak, maka tunggulah kehancuran.” [Riwayat al-Bukhari]

Dalam situasi pasca PRU14 ini, kematangan dalam mewujudkan kestabilan politik di tanah air ialah dengan menguatkan peranan pembangkang. Ini membolehkan suara rakyat dapat diangkat kepada Dewan Negeri agar diberikan perhatian lebih oleh kerajaan sedia ada.

Malah dengan mewujudkan pembangkang yang kuat, ia mampu menjadi penyemak dan pengimbang terhadap perjalanan pentadbiran kerajaan agar tidak memperjudikan nasib rakyat.

Sudahlah manifesto gagal dilaksanakan dalam tempoh yang dijanjikan, apa yang berlaku pula adalah amat membimbangkan dengan isu seperti gerakan LGBT yang semakin menjadi-jadi, tidak mengutamakan isu pemerkasaan Mahkamah Syariah dan sebagainya.

Sehubungan itu, memperkuatkan suara pembangkang di negeri Selangor menerusi PRK kali ini adalah langkah terbaik dalam menstabilkan politik menerusi semak dan imbang daripada suara pembangkang yang kuat.

Oleh yang demikian, segala usaha yang menjurus ke arah membantu kepada kemenangan calon PAS yang datang daripada pelbagai pihak dan parti pembangkang lain adalah suatu usaha yang berteraskan kebaikan. Ini antara sikap yang patut dijadikan contoh dalam kematangan berpolitik bagi mempastikan kebajikan rakyat terbela.

Rekod pengalaman PAS dalam berpolitik, PAS meletakkan agenda kepentingan agama dan ummah sebagai keutamaan. Oleh itu, jalinan kerjasama PAS atas apa-apa persefahaman adalah berteraskan keuntungan kepada Islam.

Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru agar semua pengundi menunaikan kewajipan mereka dengan keluar mengundi calon PAS di Seri Setia. Kekalahan calon PH dalam PRK ini akan mengurangi kuasa kerajaan PH dan menguatkan suara pembangkang sebagai semak imbang terhadap perjalanan pentadbiran kerajaan PH.

PAS telah menyediakan calon yang sangat berpotensi dengan rekod cemerlang yang dimiliki oleh Dr Halimah Ali semasa beliau menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum ini. Semoga kemenangan berpihak kepada calon PAS di N32 Seri Setia.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Membina Negara Sejahtera”

USTAZ DATO’ DR. HAJI MAHFODZ MOHAMED
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
23 Zulhijjah 1439 / 4 September 2018 – HARAKAHDAILY 4/9/2018

- Advertisement -