Alasan ‘hilang’ RM20b elak laksana agenda rakyat

- Advertisement -

PETALING JAYA: Pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hingga mengurangkan pendapatan kerajaan sebanyak RM20 bilion tahun ini dilihat sebagai punca PH mencipta pelbagai alasan untuk tidak melaksanakan agenda rakyat.

- Advertisement -

Bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagaimanapun membidas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang beralasan bahawa duit telah hilang, sedangkan kekurangan RM20 bilion bermakna peruntukan untuk kebajikan rakyat akan ditiadakan.

Walhal jelas beliau, pelbagai pihak telah menasihati PH sebelum dari PRU14 lagi untuk tidak sewenang-wenangnya mengubah GST kerana sistem percukaian sering menimbulkan keadaan tidak tenteram terhadap rakyat.

Tan Sri Abdul Khalid yang pernah dipuji PAS sebagai tokoh ekonomi negara menerangkan demikian pada Ceramah Mega PRK N.32 Seri Setia di Padang Futsal TTDI Jaya, di sini kelmarin.

Namun katanya, oleh kerana PH mahu menunjukkan pihaknya mempunyai kuasa untuk menangani kemarahan ramai terhadap GST, maka cukai itu dimansuhkan walaupun kerajaan menanggung kekurangan pendapatan sebanyak itu.

“Sebab pendapatan kerajaan hanya cukup untuk pembayaran pentadbiran. Jadi kalau (kata) hilang RM20 bilion, (itu sebenarnya) RM20 bilion yang tidak boleh dicari (ganti oleh PH). Itu sebab (mereka timbulkan) cerita yang melampau-lampau.

“Duit hilang. Bukan, duit itu (sebenarnya) tidak dapat. SST tidak akan dapat kutip sebanyak itu. Sebab SST bukan penggunaan, ia perusahaan. Perusahaan sangat susah dikutip,” ujarnya menjelaskan rekayasa alasan PH ketika ini.

Tambah beliau, wang berkaitan juga tidak hilang kerana masuk ke akaun yang disatukan di mana ia tidak dapat dikeluarkan sebagaimana akaun biasa lainnya melainkan melalui kelulusan Parlimen.

Walaupun menyifatkan GST memberi peluang kutipan hasil kepada kerajaan sekalipun rakyat tidak membayar cukai pendapatan, tetapi beliau bersetuju dengan PAS bahawa cukai tidak harus dikutip kepada orang miskin. – HARAKAHDAILY 4/9/2018

- Advertisement -